Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tafsiran ayat ‘وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ’ (dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”.) dan apa maksud Barqalit seperti yang disebut oleh Nabi Isa AS tentang Nabi Muhammad SAW? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berita gembira kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai penutup para nabi telah dibawa oleh Nabi Isa AS, seperti dalam firman Allah SWT, ‘وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ’.  Ayat ini secara lengkapnya adalah seperti berikut:

وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُم مُّصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ فَلَمَّا جَاءَهُم بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”(Surah al-Saf: 6)

Ibn Kathir berkata: Nabi ‘Isa berkata kepada Bani lsrail, “Kitab Taurat telah memberi khabar gembira akan kenabianku dan aku ini sesuai lagi benar dengan apa yang dikhabarkan. Aku pula memberi khabar gembira akan kenabian yang datang sesudahku. Dia adalah Rasul, Nabi yang ummi (buta huruf), orang Arab, orang Makkah, iaitu Ahmad.” Nabi ‘Isa AS adalah nabi terakhir dan penutup para nabi Bani lsrail. Dia tinggal dalam kalangan Bani lsrail dan memberi khabar gembira akan kenabian Nabi Muhammad, penutup para Nabi dan Rasul yang tidak ada risalah dan kenabian setelahnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/109)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: (Yakni), sesungguhnya aku (Nabi Isa AS) adalah orang yang membawa berita gembira tentang seorang Rasul yang datang selepasku. Dia adalah seorang Rasul dan Nabi yang ummi, berasal daripada bangsa Arab Makkah. Dia adalah Ahmad, iaitu seorang yang sentiasa dipuji melebihi sesiapa pun kerana dia memiliki sifat dan kebaikan melebihi sesiapa sahaja. Dia adalah penutup bagi para Nabi dan Rasul, yang tidak ada lagi kerasulan dan kenabian selepasnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/547)

Nabi Isa AS pernah menyifatkan Rasulullah SAW dengan gelaran al-Farqalit atau al-Barqalit. Perkataan al-Barqalit (البارقليط)[1] adalah kalimah Injil mengikut lisan Nabi Allah Isa AS.

Berkenaan istilah ini, saya tertarik untuk mengemukakan kisah seorang yang bernama Abdullah[2] al-Mayorki (daripada Mayorka[3], Sepanyol), di mana beliau menceritakan, bahawa sejak daripada muda lagi, beliau berpegang kepada agamanya, iaitu Nasrani dan berkhidmat di gereja (Dir). Akhirnya seorang Paderi yang tua lagi berpengaruh yang menjadi rujukan ramai ketika itu telah singgah ke tempat anak muda ini dan tertarik dengan kehebatan dan penguasaan ilmunya.

Paderi tua yang mempunyai kedudukan utama itu bernama Niqlad Martil, menguasai ilmu agama, zuhud dan kedudukan yang tinggi berbanding dengan mana-mana paderi yang lain. Semua soalan akan diajukan kepadanya daripada seluruh pelusuk dunia dan segenap lapisan termasuk dari pihak raja-raja. Bersama dengan soalan, akan diberi kepadanya pelbagai hadiah yang besar lagi mahal. Ini bertujuan untuk bertabarruk dengannya. Jika paderi tua ini menerima hadiah mereka, ini melambangkan kemuliaan bagi mereka.

Abdullah  al-Mayorki menceritakan:[4] Aku telah menuntut dan mempelajari ilmu usul agama Nasrani dan hukum-hakamnya. Kedudukanku bertambah tinggi di sisinya kerana khidmatku sehingga kepercayaannya sampai pada tahap beliau memberi kepadaku segala kunci-kunci tempat tinggalnya dan khazanah simpanan makanannya. Semua berada di tanganku kecuali satu kunci untuk rumah yang kecil yang dia berkhalwat seorang diri. Ini adalah rumah simpanan harta yang dihadiahkan kepadanya.

Aku melaziminya dan berkhidmat melebihi 10 tahun. Kemudian beliau mula sakit dan meninggalkan majlis bacaannya. Ramai ahli majlis bermuzakarah dalam pelbagai masalah ilmu sehinggalah mereka membahaskan isu kalimah Barqalit, dan siapakah Nabi yang dimaksudkan tersebut? Masing-masing memberi pendapat dan ilmu. Sehinggalah menjadikan perdebatan tanpa mendapat jawapan yang tuntas. Aku pergi bertemu Paderi tua tersebut dan menceritakan tentang perdebatan ini kepadanya.

Jawabnya, “Hal ini tidak diketahui kecuali ulama’ yang benar-benar alim dalam ilmu sedangkan kamu belum mampu ke tahap itu kecuali sedikit sahaja.”

Aku segera sujud dan mengucup kedua kakinya seraya berkata, “Kamu tahu aku telah bermusafir dari negeri yang jauh dan berkhidmat untuk kamu selama 10 tahun dan menguasai banyak ilmu yang tidak terhitung. Mudah-mudahan dengan kemuliaan dan kebaikan ehsanmu, maka berilah jawapan tentang nama yang mulia ini kepadaku, siapakah Farqalit?”

Paderi yang tua itu menangis seraya berkata, “Wahai anakku, demi Allah sesungguhnya kamu ini mulia dan amat aku kasihi kerana khidmatmu dan kesanggupanmu. Sesungguhnya mengetahui nama yang mulia ini mempunyai faedah yang amat besar. Tetapi aku bimbang jika ia zahir kepada kamu, nescaya ramai orang Nasrani akan membunuh kamu.”

Lantas aku berkata, “Sayyidi, demi Allah yang agung dan hak Injil, dan siapa yang datang dengannya, aku tidak akan bercakap sesuatu apa pun yang kamu rahsiakan kecuali dengan perintahmu.”

Lantas jawab Paderi yang tua itu, “Hai anakku, ketika mula kamu datang, aku telah bertanya kepadamu tentang negerimu; Adakah dekat dengan orang Islam? Begitu juga, apakah mereka memerangimu atau kamu memerangi mereka? Untuk aku khabarkan apa yang ada disisimu tentang Islam. Ketahuilah hai anakku, perkataan Barqalit adalah salah satu nama daripada nama-nama Nabi Muhammad SAW. Ke atasnya diturunkan kitab yang keempat (al-Quran), yang telah disebut oleh Nabi Danial[5] AS dan telah mengkhabarkan kitab ini akan diturunkan dan agamanya adalah agama yang sebenar. Ikutannya adalah ikutan yang putih besar, yang telah disebut di dalam Injil.”

Lantas aku bertanya, “Sayyidi, apa pendapatmu tentang agama Nasara? Jawabnya kepadaku, “Hai anakku, kalaulah orang Nasara boleh mendirikan atas agama Isa yang pertama, nescaya mereka akan menganut agama Allah. Ini kerana Nabi Isa dan semua para nabi, agama mereka adalah agama Allah.”

Aku bertanya lagi, “Bagaimana untuk menyelamatkan daripada perkara ini?”  Jawabnya, “Hai anakku, dengan kamu masuk ke dalam agama Islam.”

Aku bertanya kepadanya, “Adakah selamat orang yang masuk ke dalam agamanya?” Jawabnya, “Ya, dia akan selamat dunia dan akhirat.”

Aku bertanya lagi, “Sayyidi, sesungguhnya orang berakal tidak memilih terhadap dirinya melainkan yang paling afdhal yang diketahui. Jika kamu tahu kelebihan agama Islam, apa yang menegahmu daripada memeluknya?”

Jawabnya, “Anakku, Allah telah memberi kepadaku tentang hakikat sebagaimana apa yang aku ceritakan kepadamu tentang kelebihan dan kemuliaan Islam dan nabi Islam, melainkan kerana usiaku yang telah lanjut, tubuhku sudah letih dan tiada uzur lagi bagi kami, bahkan hujah Allah ke atas kami tetap ada. Kalaulah Allah beri hidayah kepadaku dan aku seusia kamu, nescaya aku tinggalkan semuanya dan aku masuk ke agama sebenar.

Katanya lagi: ‘حُبُّ الدُّنْيَا رَأْسُ كُلِّ خَطِيئَةٍ،’ (Kasihkan kepada dunia, adalah kepala sekalian kesilapan).[6] Kamu tengoklah keadaanku di sisi orang Kristian, yang memuliakanku dan mengurniakan banyak habuan dunia. Kalau aku melencong dan cenderung kepada Islam, nescaya mereka bunuh aku dalam waktu yang singkat. Justeru, lebih baik aku selamat daripada mereka. Dan jika aku pergi kepada orang Islam, lantas aku berkata kepada mereka, aku masuk Islam, mereka akan kata, kamu telah mendapat manfaat untuk dirimu dengan memeluk agama sebenar. Jangan kamu bercita-cita ke atas kami dengan masuknya kamu kepada agama untuk menyelamatkan kamu daripada azab Allah. Justeru, jadilah aku tinggal di kalangan mereka, dalam keadaan orang tua yang fakir, berusia 90 tahun yang aku tidak faham bahasa mereka, dan mereka tidak mengetahui hak aku. Boleh jadi aku akan mati dalam kelaparan. Aku alhamdulilah, di atas agama nabi Isa dan di atas apa yang Allah tahu tentang keadaan diriku.”

Lantas aku berkata, “Sayyidi, apakah kamu tunjukkan aku untuk aku pergi ke negeri umat Islam dan aku memeluk agama mereka?”

Jawab Paderi tua tersebut, “Jika sekiranya engkau orang yang berakal, menuntut kejayaan dan keselamatan, maka segeralah ke arah itu. Nescaya kamu memperolehi dunia dan akhirat. Akan tetapi, hai anakku, perkara ini atau perbincangan ini tiada seorang pun yang hadir bersama kita sekarang. Justeru, sembunyikanlah perbincangan ini dengan seupaya kamu agar selamat. Jika hal ini diketahui bocor dan zahir, mereka akan  membunuh kamu serta-merta. Aku tidak mampu memberi manfaat dan membantumu kecuali kamu berpindah daripadaku. Dan sesungguhnya aku akan menentangnya dan mengingkarimu. Justeru, mereka akan lebih percaya kepadaku berbanding kata-katamu. Dan aku berlepas diri daripada darahmu jika hal ini tersebar.”

Lantas aku berkata, “Sayyidi, aku berlindung dengan Allah daripada perjalanan waham seperti ini.”

Akhirnya aku berpisah dengan paderi tua itu dan dia berdoa kepadaku dengan kebaikan. Kemudian dia membekalkan kepadaku sebanyak 50 dinar emas. Lantas aku menaiki kapal dan pulang ke negeriku di kota Mayorka dan menetap di sana selama 6 bulan. Setelah itu, aku bermusafir ke pulau Saqaliyah dan menetap di sana selama 5 bulan. Seterusnya, aku menunggu kapal untuk menuju ke bumi Islam. Akhirnya, datang sebuah qafilah yang akan bermusafir ke kota Tunis. Aku bermusafir bersamanya dari Saqaliyyah dan sampai ketika hampir waktu hilangnya syafaq (Isya’).

Kami sampai ke Marsa[7], Tunis sebelum matahari tergelincir. Tatkala sampai di Dewan Tunis, kedatanganku telah diketahui oleh paderi-paderi Nasrani yang membawa dengan rombongan tersebut. Mereka membawaku bersama mereka ke rumah mereka. Dan bersama kami, sebahagian peniaga yang menetap di Tunis. Aku menjadi tetamu mereka dengan penuh kemuliaan selama 4 bulan.

Kemudian aku bertanya kepada mereka, adakah di istana Sultan, terdapat seseorang yang memahami bahasa Nasara. Ketika itu, Sultan bernama Maulana Abul ‘Abbas Ahmad. Mereka menyebut kepadaku bahawa di istana Sultan, ada  seorang lelaki yang amat baik daripada pembesar yang berkhidmat kepada Sultan. Namanya Yusuf al-Tabib. Beliau adalah tabib khas kepada Sultan dan salah seorang penasihatnya yang khusus. Aku gembira dan lantas bertanyakan tempat tinggalnya. Lalu ditunjuk kepadaku. Kemudian, aku pun dapat bertemu dengannya di samping menceritakan keadaanku dan sebab kedatanganku untuk memeluk Islam. Alangkah gembiranya lelaki ini di mana khabar tersebut sampai pada dirinya terlebih dahulu.

Setelah itu, aku menunggang kuda dan dibawanya aku ke istana Sultan. Apabila dia masuk, dia menceritakan hal aku. Kemudian diizinkan kepadaku untuk bersama menghadap Sultan. Soalan pertama yang Sultan bertanya kepadaku adalah tentang usiaku. Aku menjawab, 35 tahun. Kemudian aku lalu menceritakan kepadanya hal diriku. Kemudian jawabnya, “Kamu telah datang di sebaik-baik tempat, maka Islamlah. Semoga keberkatan Allah kepadamu.”

Aku berkata melalui penterjemah iaitu tabib yang disebut tadi, “Beritahulah kepada sultan, sesungguhnya tidak keluar seseorang daripada agama kecuali akan banyaklah pengikut dan ahli yang akan berkata kepadanya dan mencelanya. Justeru, aku berharap dengan ehsanmu, kamu menjemput dari kalangan pembesar dan peniaga Nasara, termasuk pendeta mereka agar datang ke majlismu. Kemudian kamu tanya mereka tentang diriku dan kamu dengar jawapan mereka ketika ketiadaanku bersamamu. Ketika itulah, aku akan mengisytiharkan keislamanku, insya Allah.” Sultan berkata, “Ini sama seperti Abdullah bin Salam[8] ketika memeluk Islam di zaman Nabi SAW.”

Kemudian Sultan memanggil mereka semua dan memasukkanku ke dalam satu bilik berhampiran majlis tersebut. Tatkala mereka masuk, yakni golongan Nasara, lantas Sultan bertanya, “Apa pendapat kamu semua tentang Paderi yang baru datang dengan rombongannya?” Mereka menjawab, “Wahai Maulana, beliau adalah orang yang sangat alim dalam agama kami. Dan kata guru-guru kami, tidak ada yang kami lihat seorang pun yang lebih tinggi darjat ilmu dan agamanya dalam agama kami melebihinya.” Lantas Sultan berkata, “Apa pandanganmu jika sekiranya orang tersebut memeluk Islam.” Jawab mereka, “Na’uzubillah daripada demikian itu. Orang itu sekali-kali tidak akan menukar agamanya.”

Selepas mendengar apa yang diungkapkan oleh golongan Nasara, aku muncul di hadapan mereka dan mengucap dua kalimah syahadah. Maka berubahlah muka mereka dan akhirnya mereka mengingkari dengan berkata, “Orang itu tidak menukar agama kecuali cintakan perkahwinan.” Ini kerana paderi di sisi kami tidak berhak berkahwin. Lalu mereka keluar dalam keadaan terpukul dan sedih yang amat sangat.

Sultan telah anugerahkan kepadaku gaji setiap hari sebanyak seperempat dinar dan menempatkanku di rumah yang khusus di samping mengahwinkanku dengan anak perempuan al-Haj Muhammad al-Sofar. Bilamana aku ingin memulakan kehidupan dengan isteriku, maka aku dikurniakan sebanyak 100 dinar emas, sepersalinan baru yang lengkap dan aku gunakan untuk bersama dengan isteriku. Aku dikurniakan seorang anak dan aku namakannya dengan Muhammad untuk mendapat berkat bersempena dengan nama Nabi  Muhammad SAW. (Lihat Tuhfah al-Arib Fi al-Raddi ‘ala Ahli al-Salib, hlm. 41-48)

Ketika di Tunis inilah, beliau telah mengarang sebuah kitab dengan tajuk Tuhfah al-Arib Fi al-Raddi ‘ala Ahli al-Salib (Kitab ini telah ditahqiq oleh Mahmud Ali Himayah, Profesor dan Ketua Qismu al-Da’wah, Jami’ah al-Azhar, Asyut). Beliau menyebutkan kisah ini dalam mukaddimah kitab tersebut.

Adapun perkataan Barqalit, ia telah disebut oleh Dr Abdul Wahab al-Najjar, seorang ulama Azhar. Beliau berkata, aku telah menziarahi Dr Carlo Nilo. Beliau adalah Profesor Bahasa Yunan Kuno di samping sebagai seorang paderi. Aku bertanya kepada Dr Carlo, apa makna Barqalit (البارقليط) dalam bahasa Yunan kuno? Kata beliau, “Paderi-paderi di sisi kami menamakan Barqalit sebagai mu’azzi (المُعزّي).”

Aku bertanya lagi, “Apa makna Barqalit dalam bahasa Yunan Kuno? Aku tidak bertanya jawapan daripada paderi, tetapi maknanya dalam bahasa Yunan Kuno secara harfi.” Jawabnya, “Makna Barqalit atau Baraqlitus dalam bahasa Yunan Kuno adalah: Banyaknya pujian.”

Kemudian aku bertanya, “Adakah kamu mempercayai dan membenarkan Ahmad (Nabi Muhammad SAW)?” Jawabnya, “Kamu ini banyak bertanya.”  Lantas dia meninggalkanku.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 27 Oktober 2022 bersamaan 2 Rabiul Akhir 1444H

 

Nota Hujung:

[1] Kami merujuk di dalam Wikipedia, di mana kalimah Baraqlit (Bahasa Yunani: Parakletos) merupakan istilah Yunani yang memberi maksud al-mu’azzi (المُعزّي ) (yang diberi kemuliaan) atau al-mu’in (yang menolong) atau al-syafi’ (yang memberi syafaat), atau al-musa’id (yang membantu). (Lihat ar.wikipedia.org/wiki/فارقليط)

[2] Nama sebenarnya paderi Encelm Turmeda, lebih dikenali dengan nama Islamnya Abdullah al-Turjuman al-Andalusi. Dia digelar dengan laqab al-Turjuman kerana beliau menghabiskan masanya untuk menterjemah bahan karya bagi pihak Sultan Tunis iaitu Amirul Mukminin Abi al-Abbas Ahmad al-Hafsi selepas islamnya. Kitab Tuhfah al-Arib fi al-Radd ala Ahli al-Salib telah dikaryakan dalam bahasa Arab pada tahun 823 H dan telah diterjemahkan ke bahasa Perancis dan disebarkan dalam Majalah Tarikh al-Adyan di Paris tahun 1885 M.

[3] Mayorka atau Mallorca merupakan nama pulau di Sepanyol. Pulau ini bertempat di Laut Tengah dan merupakan pulau terbesar di Sepanyol. Ibu kotanya adalah Palma de Mallorca. Pulau ini memiliki luas wilayah 3,620.42 km² dan populasi 777,821 orang pada tahun (2005).

[4] Kisah ini diceritakan dalam kitabnya bertajuk Tuhfah Al-Arib Fi Al-Raddi Ala Ahli Al-Salib (hlm. 41-48), yang beliau karang selepas memeluk Islam.

[5] Nabi Daniel (bahasa Ibrani: דָּנִיּאֵל, Daniyyel, Dāniyyêl; bahasa Parsi: دانيال, Dâniyal atau Danial, juga disebut Dani, داني ; Arabic: دانيال, Danyal) adalah tokoh yang dicatat dalam sejarah sebagai salah seorang Nabi ataupun Utusan Allah (Tuhan) dalam tiga agama samawi (Islam, Kristian, Yahudi). Namun begitu, maklumat mengenai Baginda banyak tertumpu kepada catatan dalam Kitab Daniel dalam agama Kristian Katolik dan Yahudi. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Nabi_Daniel)

[6] Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (10501) dengan sanad yang hasan kepada al-Hasan al-Basri yang memarfu’kannya secara mursal, Begitu juga Ibn Abi al-Dunya dalam kitabnya al-Zuhd (497), Abu Nu’aim dalam al-Hilyah (6/388) daripada qaul Isa bin Maryam. dan Ahmad dalam Kitab al-Zuhd , daripada Sufyan, katanya: Adalah isa bin maryam berkata: ‘حُبُّ الدُّنْيَا رَأْسُ كُلِّ خَطِيئَةٍ،’ (Kasihkan kepada dunia punca setiap kesilapan).

[7] La Marsa ( Bahasa Arab Tunisia : المرسى Il Marṣā ) ialah sebuah bandar pantai di timur laut jauh Tunisia berhampiran ibu negara Tunis . Penduduk dianggarkan seramai 92,987 orang, setakat 2014. Ibu kota musim panas lama Tunisia pra-penjajahan, hari ini ia merupakan tempat percutian yang popular bagi ramai rakyat Tunisia yang kaya. Ia disambungkan ke Tunis melalui kereta api TGM. (https://en.wikipedia.org/wiki/La_Marsa)

[8] Abdullah ibn Salam (Bahasa Arab: عبدالله بن سلام) atau nama sebenar beliau ialah Mu’ammar ibn Sulaim merupakan salah seorang sahabat Nabi. Dia bersifat pendiam dan berkata apabila perlu. Apabila beliau memasuki Islam, Nabi Muhammad SAW menukar namanya kepada Abdullah ibn Salam. Sebelum memasuki Islam, Abdullah merupakan seorang pendeta agama Yahudi yang mengajar kitab Taurat di rumah ibadat Yahudi. Setelah mengkaji dan memahami isi kandungan kitab Taurat serta berjumpa dengan Baginda SAW, Abdullah memasuki Islam dan berkhidmat di samping Baginda. Rasulullah SAW memujinya dalam hadis seperti berikut: “Jikalau kamu ingin melihat orang yang berjalan di muka bumi dan juga berjalan di dalam syurga, maka Abdullah ibn Salam lah orangnya”

Leave a Reply