Soalan
Assalamualaikum Datuk. Kami ada satu soalan, kami sedang mengumpul dana sumbangan orang ramai bagi membina sebuah masjid baru anggaran RM 10 juta. Setakat ini, dalam masa lebih kurang 3 tahun kami telah berjaya mengumpul kira-kira RM 3 juta. Soalannya, adakah wang yang sudah terkumpul ini wajib dikeluarkan zakatnya ataupun tidak, apabila sudah cukup haul dan nisab? Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat.”
(Surah al-Nur: 56)
Syeikh al-Sa‘di menyabutkan, ayat di atas mengandungi perintah Allah SWT untuk mendirikan solat dengan rukun-rukunnya, syarat-syaratnya dan adab-adabnya, zahir dan batin. Begitu juga mengeluarkan zakat daripada harta-harta yang telah Allah SWT kurniakan kepada para hamba-Nya, lalu memberikannya kepada orang-orang fakir dan selainnya yang terdiri daripada penerima-penerima zakat yang telah disebutkan oleh Allah SWT. Kedua-dua ibadah ini adalah sebesar-besar ketaatan. Terhimpun padanya hak Allah dan hak makhluk-Nya iaitu mengikhlaskan diri kepada-Nya sebagai Tuhan yang berhak disembah dan bersikap ihsan kepada para hamba-Nya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 573).
Pada asasnya, zakat hukumnya adalah wajib bagi setiap orang yang memiliki harta dengan pemilikan sempurna (tam al-milk) daripada kalangan orang merdeka (bukan hamba), tidak kira anak kecil mahupun orang gila atau wanita. Tidak ada perbezaan antara mereka dalam kewajipan mengeluarkan zakat. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/329).
Selain itu, syarat wajib zakat juga adalah harta tersebut mestilah dimiliki oleh individu tertentu. Oleh itu, zakat tidak wajib ke atas insitusi atau badan yang mempunyai dana daripada sumber harta umum seperti wakaf, sedekah dan seumpamanya yang tidak mempunyai pemilik tertentu.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya harta yang diwaqafkan untuk kepentingan umum seperti untuk masjid atau orang-orang fakir, tidak dikenakan zakat kerana harta tersebut bukan milik individu tertentu.
Imam al-Nawawi ada menyebutkan, sekiranya haiwan ternak yang diwaqafkan untuk kepentingan umum seperti kepada orang-orang fakir atau masjid-masjid atau orang-orang yang berperang atau anak-anak yatim dan yang seumpama dengannya, maka tidak diwajibkan zakat padanya tanpa sebarang khilaf. Hal ini kerana harta tersebut tidak dimiliki oleh individu tertentu. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/311).
Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, hasil kebun dan hasil tanah yang diwaqafkan, jika untuk kepentingan umum, seperti masjid, jambatan, sekolah, orang miskin, mujahidin, orang asing, anak yatim, janda, dan sebagainya, maka tidak diwajibkan zakat padanya. Namun, jika ia diwaqafkan kepada orang tertentu atau golongan tertentu, atau ke atas anak-anak Zaid misalnya, maka satu persepuluh mesti ditunaikan (iaitu zakat) tanpa sebarang khilaf. Hal ini kerana mereka memiliki buah-buahan dan hasil tersebut sepenuhnya (yakni pemilikan sempurna) dan mereka boleh menguruskannya dengan pelbagai cara. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/483).
Begitu juga Imam al-Ramli turut menyatakan, di antara syarat diwajibkan zakat adalah hendaklah harta tersebut dimiliki oleh individu tertentu. Justeru, tidak diwajibkan zakat ke atas harta yang diwaqafkan untuk kepentingan umum, dan diwajibkan zakat ke atas harta yang diwaqafkan kepada pihak tertentu. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 9/200).
Di samping itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menyebutkan, tidak dikenakan zakat pada harta waqaf yang digunakan untuk masjid dan seumpama dengannya. Begitu juga tidak dikenakan zakat ke atas harta untuk kepentingan umum seperti untuk orang-orang fakir dan miskin kerana harta tersebut tidak dimiliki oleh individu tertentu. (Lihat Asna al-Matalib, 1/369).
Selain daripada itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga pernah mengeluarkan fatwa yang antara lain menyebut: Setiap harta yang bukan di bawah pemilikan individu tertentu dianggap sebagai harta milik umum yang tidak diwajibkan zakat atasnya. Termasuk dalam jenis harta ini adalah semua jenis harta yang dikelola oleh negara sebagai wakil dari rakyatnya, iaitu harta yang tersimpan dalam perbendaharaan negara dan harta di baitul mal. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, nombor 2535)
Begitu juga al-Lajnah al-Da’imah li al-Ifta’ pernah ditanya, “Adakah zakat diwajibkan terhadap harta masjid yang diwaqafkan?” Mereka menjawab, “Zakat tidak diwajibkan terhadap harta waqaf masjid dan sejenisnya, masalah ini hanya satu pendapat. Hal ini kerana tidak ada kepemilikan padanya.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah li al-Ifta’, 9/412).
Di samping itu, Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah juga pernah ditanya berkenaan ini, dan secara ringkasnya mereka menjawab, harta yang diwaqafkan untuk kepentingan umat Islam tidak dikenakan zakat padanya kerana ketiadaan pemiliknya yang tertentu.[1]
Mantan Mufti Besar Arab Saudi juga pernah ditanyakan mengenai sejumlah wang yang terkumpul padanya lebih dari setahun bagi pembinaan masjid, adakah wajib dikeluarkan zakat? Beliau menjawab, tidak ada zakat padanya secara mutlak kerana pemiliknya (yakni penyumbangnya) telah menginfakkannya pada jalan Allah. Maka wajib ke atas engkau untuk bersegera menunaikannya (pembinaan masjid tersebut). (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 14/37).
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa dana hasil sumbangan orang awam serta yang diwakafkan bagi tujuan pembinaan masjid tidak diwajibkan zakat padanya sekalipun jumlahnya banyak dan melebihi nisab serta haul. Hal ini kerana harta tersebut tidak dimiliki oleh individu tertentu dan dana sumbangan orang ramai dikira sebagai hak Allah SWT, maka tidak dikenakan zakat padanya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H
[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=2058#.ZAMIC3ZBy3A. Diakses pada 4 Mac 2023.