Soalan:
Apakah dia adab berbuka puasa yang dituntut dalam Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Antara adab-adab berbuka puasa adalah seperti berikut:
- Menyegerakan untuk berbuka puasa atau ta’jil al-iftar. Hal ini banyak disebut di dalam hadith-hadith Rasulullah SAW seperti hadith yang diriwayatkan daripada Sahl bin S’ad RA dimana beliau berkata, Nabi SAW bersabda:
لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرِ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
Maksudnya: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”
Sahih al-Bukhari (1957) dan Sahih Muslim (1098)
Hadis ini menerangkan bahawa punca kebaikan dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi SAW. Baginda SAW menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran yang menyatakan melewatkan berbuka menambah pahala. Al-Tibi Rahimahullah berkata,”Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang segera berbuka puasa ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, ia membolehkan dia menunaikan solat dengan dihadirkan hati (khusyuk). Selain itu, ia menyanggahi ahli bida’ah yang berpendapat wajib melewatkannya.” (Lihat Kitab Syarh Mishkat al- Masabih, 4/183)
- Berbuka dengan ruthob (buah kurma separuh masak), kurma atau air terlebih dahulu. Inilah amalan Rasulullah SAW sendiri ketika berbuka puasa dengan ruthob, kurma atau air. Di dalam satu hadith dinyatakan, Anas bin Malik RA berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji ruthob. Sekiranya tiada ruthob, maka baginda berbuka dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar, maka baginda meneguk beberapa teguk air.”
Riwayat Ahmad (12676) dan al-Tirmizi (696). Menurut beliau, hadith ini hasan.
Imam al-Mubarakfuri menyatakan: “Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan ruthob. Sekiranya tiada, maka berbuka dengan tamar dan sekiranya tiada, maka dengan meneguk air.” (Lihat Kitab Tuhfah al-Ahwazi, 3/311)
Manakala dakwaan yang mengatakan bahawa ianya sunat untuk berbuka dengan buah- buahan yang lain jika tiada tamar tidak mempunyai sebarang dalil daripada sunnah Nabi SAW.
- Bersederhana dalam makan dan minum ketika berbuka puasa. Elakkan daripada membazir kerana ia adalah saudara syaitan sebagaimana disebutkan di dalam nas al-Quran. Perkara ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dimana Allah SWT berfirman untuk sentiasa bersederhana ketika kita makan atau minum:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
Surah al-A’raf (31)
Hal ini juga dinyatakan oleh Nabi SAW di dalam satu hadith daripada Miqdam bin Ma’di Karib RA, Nabi SAW bersabda:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
Maksudnya: “Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suapan yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya dia tidak dapat (berbuat demikan), maka satu per tiga untuk makanan, satu per tiga untuk minuman dan satu per tiga untuk pernafasan.”
Riwayat al-Tirmizi (2380). Menurut beliau, hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al- Bari pula menyatakan hadis ini hasan.
- Berdoa ketika berbuka. Terdapat banyak hadith yang menyarankan dan menyuruh kita untuk berdoa ketika berbuka puasa kerana ia adalah antara waktu yang mustajab untuk kita berdoa. Antaranya adalah hadith daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”
Riwayat Ibn Majah (345). Sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin Abdullah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zu’rah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif.
Oleh itu, kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang yang berpuasa mustajab kerana jiwanya telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru, al-Munawi menyebut: “Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab berpuasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.” (Lihat Faidh al-Qadir, 2/500)
Terdapat doa yang dianjurkan oleh Nabi SAW ketika berbuka dan kita disunatkan membacanya. Menurut Ibn Umar RA, Rasulullah SAW apabila berbuka, Baginda SAW membaca:
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلْتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: “Telah hilang dahaga, telah basah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetap pahala, insyaAllah.”
Riwayat Abu Daud (2357). Sanadnya hasan.
- Berdoa untuk orang yang menjamu berbuka puasa. Sebagai tanda ingatan dan terima kasih kita kepada orang yang menjamu kita berbuka puasa, kita juga disunatkan untuk mendoakan mereka yang menjamu kita berbuka puasa dengan doa yang Nabi SAW pernah mengajar kita. Menurut Anas bin Malik RA, Nabi SAW pernah datang ke (rumah) Sa’ad bin ‘Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda lalu makan dan membaca:
أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأَبْرَارُ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ.
Maksudnya: “Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”
Riwayat Abu Daud (3854), Ahmad (12429) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (10129). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud (2/368).
- Telah membuat persediaan untuk solat Maghrib seperti berwudhuk dan memakai pakaian yang sesuai. Ini kerana selesai sahaja berbuka, antara 10 – 15 minit, maka hanya perlu berkumur-kumur dan terus boleh solat secara berjemaah pada awal waktu. Jika ini dapat dikekalkan dalam sebuah keluarga, maka sudah tentu keberkatan keluarga tersebut dari sudut menyusun masa dan memelihara solat pada awal waktu dapat dilaksnakan dengan sebaik mungkin. Begitu juga, memudahkan untuk pergi ke masjid sebelum waktu Isyak secara berjemaah dengan keluarga.
Semoga Ramadhan kali ini menjadikan kita dapat beramal dengan adab-adab ketika berbuka puasa.
Bertarikh: 23 Mac 2023 bersamaan 1 Ramadhan 1444H