Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kadang-kadang stress jugak duduk dalam jem ni. Kalau maki hamun sorang-sorang dalam kereta, batal puasa tak?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Dalam ibadat puasa amat perlu kita menjaga dua perkara:
Pertama, memelihara dari terbatalnya ibadat puasa seperti, makan minum dengan sengaja.
Kedua, memelihara dari terbatalnya pahala ibadat puasa seperti ucapan keji, perbuatan ;maksiat dan lain-lain. Kedua-duanya perlu dijaga.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW menyebut dalam sebuah hadith:
وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ.
Maksudnya: Maka jika seorang daripada kalian sedang berpuasa, janganlah ia berkata-kata kotor dan berkelakuan yang tidak terpuji. Jika ada seorang yang mencela atau mengajaknya bertengkar, maka hendaklah ia berkata kepada orang itu, ‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa’.
Riwayat al-Bukhari (1904)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Perkataan ‘وَلَا يَصْخَبْ’ memberi maksud pergaduhan dan bertempik dengan meninggikan suara. Larangan di sini sebagai penguat, lebih-lebih lagi ketika berpuasa. Sedangkan orang bukan puasa juga dilarang dari melakukan aksi seperti marah yang melampau dengan mengangkat suara dan bertempik. (Lihat Fath al-Bari, 4/118)
Begitu juga, dalam nas ini, disebut dengan terang supaya jangan membalas makian seseorang sekalipun orang itu memakinya. Ini bermakna, jika ia memulakan memaki hamun, maka sudah tentu ia dilarang, tetapi sebaliknya, mengendurkan diri dengan menyebut ‘ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ’ yang membawa maksud ‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa’.
Allah SWT berfirman:
مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”
(Surah Qaf: 18)
Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi dalam tafsirnya mengatakan bahawa setiap manusia akan dicatat perkataan dan amal perbuatan untuk dijadikan bukti ke atasnya pada hari kiamat. Sebagaimana Allah SWT akan mengarahkan anggota badan yang lain untuk menjadi saksi ke atas tuannya kelak, begitu juga dengan catatan amalan ini. (Lihat Tafsir Khawatir Imaniyyah, 16/700)
Begitu juga hadith Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah R.A, sabda Baginda SAW:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه
Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.”
Riwayat al-Bukhari (1770 & 5597)
Berdasarkan dua hadith ini, sama ada kita maki-hamun sorang-sorang dalam kereta juga dianggap sebagai mengurangkan pahala ibadat puasa kerana ucapan kita apabila keluar dari mulut kita akan dikira di hadapan Allah SWT. benarlah firman Allah SWT:
مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”
Surah Qaf (18)
Termasuklah zaman kita ini membuat komentar dalam YouTube, message, Whatsapp, Tiktok, Twitter, Facebook dan lain-lain lagi. Terutamanya, apabila komen tersebut mengandungi fakta yang salah, bohong atau dusta. Benarlah hadith Nabi SAW:
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Maksudnya: “Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.”
Riwayat Al-Bukhari (6484)
Semoga Allah SWT memberi kepada kita pahala dalam ibadat puasa kita yang akhirnya menatijahkan kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa. Amin.
Bertarikh: 27 Mac 2023 bersamaan 5 Ramadhan 1444H