Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Berkenaan zakat harta, di mana tempat yang paling sesuai saya bayar zakat?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Saya mulakan dengan firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Surah al-Taubah (103)
Dalam menjawab persoalan ini, saya nukilkan dua hadith: Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa tatkala Rasulullah SAW mengutuskan Muadz bin Jabal ke penduduk Yaman, baginda berpesan, antara lainnya:
فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
Maksudnya: “Maka beritahulah mereka bahawa Allah telah menfardukan ke atas mereka sadaqah (zakat wajib) terhadap harta-harta mereka, diambil daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang fakir dalam kalangan mereka.”
Sahih al-Bukhari
Daripada Abu Juhaifah RA bahawa dia berkata:
قَدِمَ عَلَيْنَا مُصَدِّقُ النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – فَأَخَذَ الصَّدَقَةَ مِنْ أَغْنِيَائِنَا فَجَعَلَهَا فِي فُقَرَائِنَا
Maksudnya: “Telah datang wakil Rasulullah SAW untuk mengutip zakat dalam kalangan kami, maka dia mengambil zakat daripada kalangan kami yang kaya dan membahagikan zakat itu kepada orang miskin dalam kalangan kami.”
Hadis riwayat al-Tirmizi, Ibn Hibban dan al-Tabrani
Nas-nas di atas difahami oleh para ulama merujuk kepada keutamaan membayar zakat di negeri yakni tempat harta-harta zakat itu diperolehi. Manakala, tugas mengurus pengedaran atau pembahagian itu dilakukan oleh wakil Ulil Amri, Baitul Mal kepada asnaf yang layak. Justeru, penentuan untuk menyalurkan harta zakat kepada kawasan lain wajar ditetapkan oleh Baitulmal yang telah diamanahkan untuk mengetahui hal ehwal asnaf setempat.
Isu sebenarnya bukan pada sah atau tidak zakat tersebut tetapi pada keutamaan membayar zakat di kawasan setempat. Ini boleh difahami melalui analogi berikut. Di tempat A, ada orang-orang kaya dan orang-orang miskin yang ramai. Lalu, orang-orang kaya mereka membayar di negeri-negeri lain, sedangkan kekayaan mereka terwujud di tempat A. Apakah perasaan orang-orang miskin di tempat A? Mereka hanya melihat tanda-tanda kekayaan di tempat mereka, tetapi tidak dapat merasa keuntungan tersebut. Pasti sedikit sebanyak terguris hati. Ini termasuklah zakat pendapatan.
Justeru, selesaikan dahulu keperluan setempat, baru diambil kira keperluan kawasan lain. Semoga jawapan ini meyakinkan kita dalam menunaikan pembayaran zakat yang wajib ke atas kita. Saya katakan jom, marilah kita berzakat. Semoga membawa berkat.
Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H