Mukadimah 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami menerima persoalan di mana kami ditanya: “Saya ada persoalan. Saya dan rakan-rakan yang senasib dengan saya mengidap penyakit asma. Adakah penggunaan inhaler di siang hari membatalkan puasa? Mohon pencerahan.”

Sebelum kami bincangkan isu ini, suka kami dahulukan beberapa persoalan sebagai pencerahan dan maklumat umum kepada khalayak.

Pertama, kami ingin tegaskan di sini bahawa isu ini adalah isu khilafiyah yang banyak dibincangkan oleh para ulama kontemporari malah dalam kalangan para ulama Syafi’iyyah kontemporari. Ini disebabkan perkembangan teknologi perubatan yang mana tidak dibincangkan pada zaman dahulu secara khusus.

Kedua, setiap perbincangan yang hendak diputuskan hendaklah difahami pengertian terlebih dahulu kerana satu gambaran yang benar dan betul boleh memberi kefahaman yang baik kepada kita. Ini selaras dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Asas dalam memberi hukum ke atas sesuatu, cabangnya adalah terlebih dahulu mesti mempunyai gambaran (menyeluruh).[1]

Ketiga, merujuk kepada pakar dalam bidang masing-masing adalah amat penting. Benarlah firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Surah al-Nahl: 43

Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya:

عَامٌّ فِيمَنْ يُعْزَى إِلَيْهِ عِلْمٌ.

Maksudnya: “(Ahli Zikri) adalah umum pada setiap orang yang disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533).

Justeru, mereka adalah yang pakar dalam bidang masing-masing.

Hal ini diterima pakai dalam pengeluaran fatwa oleh para ulama. Mereka akan bertanya kepada pakar perubatan dan mohon pencerahan daripadanya jika isu yang hendak dibincangkan adalah berkait rapat dengan perubatan. Begitulah dengan isu-isu yang lain pula. Inilah yang dilakukan oleh Badan Fatwa dunia yang berautoriti seperti Majma‘ al-Fiqh al-Islami dan lain-lain.

Keempat, berkaitan isu mentarjihkan pandangan. Sebenarnya isu tarjih dibahaskan dalam kitab usul fiqh dan ia adalah salah satu daripada metodologi yang diizinkan apabila memahami dalil-dalil dan nas. Sehingga sekarang metod sebegini diajar di pelbagai universiti yang menawarkan jurusan Syariah.

Penjelasan secara lanjut berkaitan isu pentarjihan ini boleh dilihat di dalam kitab al-Ta‘arud wa al-Tarjih baina al-Adillah al-Syar‘iyyah oleh ‘Abd al-Latif Abdullah ‘Aziz Barzanji. Guru kami Syeikh Dr. Mustafa al-Khin dan Syeikh Dr. ‘Abd al-Latif al-Farfour menggalakkan kami untuk mentarjih pendapat-pendapat sebagaimana kajian kami di peringkat sarjana yang bertajuk, al-Uqubat: Dirasah Muqaranah baina al-Syariah Islamiah wa al-Qanun al-Wadh‘i. Bahkan, hal seperti ini telah menjadi kelaziman cendekiawan Islam pada masa kini dan badan-badan fatwa di peringkat dunia.

Definisi Penyakit Asma

Kami mulakan perbincangan ini dengan mengemukakan definisi tentang penyakit asma. Asma adalah satu keadaan serius yang dialami lebih 70 juta orang di Asia. Risiko serangan mendadak, kemasukan hospital dan kematian meningkat dalam kalangan pesakit berlaku kepada mereka yang tidak menguruskan asma dengan baik. Malah, asma yang tidak diurus dengan baik juga boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit dan aktiviti harian mereka. Asma adalah satu gangguan keradangan kronik (jangka panjang) saluran udara yang menyebabkan pesakit sukar bernafas dan berdehit, sesak dada serta batuk. Kira-kira 235 juta orang di seluruh dunia menghidap asma dan angka ini terus meningkat sekali gus menimbulkan kebimbangan kesihatan dalam kalangan masyarakat.

Laporan pada 7 Jun 2022 menyebut, bahawa kira-kira 2 juta rakyat di Malaysia menghidap penyakit asma dengan 90 peratus daripada mereka dikategorikan sebagai kes tidak terkawal dan berisiko tinggi untuk mengalami tahap kesihatan yang buruk serta jangka hayat pendek.[2]

Di Malaysia saja, dianggarkan 3.4 peratus penduduk menghidap penyakit ini dan menjejaskan kualiti hidup ramai pesakit. Lebih memburukkan keadaan masalah berkenaan turut meningkatkan risiko kematian disebabkan kegagalan mengambil ubat seperti yang diarahkan dan tidak mengurus gejala yang dialami. Menurut Perunding Kanan Dada dan Pengarah Institut Perubatan Respiratori Kuala Lumpur, Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, walaupun tiada sebab yang khusus diketahui untuk penyakit asma, kebanyakan kajian yang dilakukan melaporkan faktor genetik dan persekitaran seperti asap boleh menjadi punca berlakunya masalah berkenaan.[3]

Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang membengkak dan menyempitkan saluran pernafasan. Semasa serangan asma, pesakit mungkin mengalami ‘wheezing’ (bunyi bersiul apabila sedang bernafas), kesesakan dada, sesak nafas dan batuk. Batuk yang sering berlaku adalah pada waktu malam atau awal pagi. Asma boleh menjadi penyakit yang mengancam nyawa jika tidak dirawat.

Walaupun tiada sebab yang khusus diketahui untuk penyakit asma, semua penghidap mempunyai persamaan yang sama iaitu keradangan saluran pernafasan yang kronik. Saluran pernafasan mereka adalah sangat sensitif kepada pelbagai sebab. Jika terdapat faktor yang boleh menyebabkan asma berlaku, saluran pernafasan akan menjadi radang (saluran pernafasan mengandungi lendir, bengkak, dan sempit). Seterusnya otot yang berhubung dengan saluran pernafasan ini menjadi lebih sempit daripada biasa. Ini menyebabkan pesakit sukar untuk bernafas dan boleh menyebabkan serangan asma.[4]

Definisi Inhaler dan Jenisnya

Inhaler adalah alat yang menyimpan ubat yang diambil dengan cara menyedut nafas.[5] Ia memberikan ubat ke dalam tubuh melalui paru-paru. Inhaler digunakan dalam rawatan penyakit asma.

Jenis Inhaler

Ada beberapa jenis inhaler:

  • MDI (Metered Dose Inhaler)

MDI ini diberi tekanan udara dan disukat dos bagi pesakitnya. Ubatnya disimpan dalam bentuk larutan yang diberi tekanan udara dalam tabung kecil.

  • DPI (Dry Powder Inhalers)

Selain MDI, jenis inhaler yang lain adalah DPI (Dry Powder Inhalers), yang mana dos ubatnya adalah dalam bentuk serbuk yang teramat halus (kurang daripada 1 mikron[6]) disedut oleh pesakit.

  • Nebulizer

Nebulizer yang melepaskan aerosol sebagai kabut yang dibuat dari formulasi cair.

Cara Penggunaan Metered Dose Inhaler (MDI)

MDI terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu:

  • Kanister iaitu tempat simpanan ubat
  • Actuator iaitu mekanisme bagi semburan ubat ke dalam rongga pernafasan

Berikut merupakan teknik menggunakan MDI:

  • Duduk atau berada dalam keadaan tegak
  • Buka penutup mouthpiece MDI dan pegang MDI dalam posisi menegak
  • Goncang MDI sebanyak 3-5 kali bagi memastikan kandungan kanister bercampur
  • Hembus nafas keluar dengan perlahan
  • Masukkan corong (mouthpiece) MDI ke dalam mulut dan bibir dirapatkan
  • Tekan Kanister dan tarik nafas dalam secara serentak
  • Tahan nafas sekurangnya selama 8 hingga 10 saat
  • Keluarkan MDI dari mulut dan hembus nafas keluar
  • Tutup semula penutup corong inhaler.

Ulangi langkah 3 hingga 8 sekiranya lebih daripada 1 sedutan diperlukan.

Hukum Menggunakan Inhaler di Siang Ramadhan

Kami dapati isu ini menjadi khilaf kerana kefahaman dalam kalangan ulama berkenaan bahan yang digunakan untuk semburan inhaler; adakah ia ‘ain seperti cecair atau seperti gas selepas disembur.

Berdasarkan kajian kami terhadap isu ini, kami mendapati ada dua pandangan ulama dalam isu penggunaan inhaler ini. Kami nukilkannya seperti berikut:

Pendapat Pertama: Ia Membatalkan Puasa

Pandangan pertama menyatakan bahawa penggunaan inhaler adalah membatalkan puasa. Maka tidak boleh mengambilnya di siang hari Ramadhan kecuali sekiranya sakit dan berhajat kepadanya. Oleh itu, dia boleh berbuka dan menggantikannya pada waktu yang lain.

Antara ulama’ yang berpegang dengan pandangan ini adalah:

  • Syeikh ‘Atiyyah Saqr

Beliau menyebutkan bahawa para ulama telah berpendapat bahawa ubat titik hidung dan wap (yakni wap ubat / nebulizer) yang disedut melalui corong inhaler adalah membatalkan puasa. Apabila si pesakit terpaksa menggunakannya tatkala berpuasa, maka haruslah dia berbuka dan hendaklah dia mengqadha’ puasanya setelah dia sembuh daripada penyakit. Jika sekiranya sakitnya berpanjangan tanpa ada harapan untuk sembuh, pesakit tersebut tidak perlu berpuasa, dia hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan kepada orang miskin pada setiap hari (yang dia tidak berpuasa). (Lihat Ahsan al-Kalam fi al-Fatwa wa al-Ahkam, 4/630).

  • Syeikh Dr. Ali Jumu‘ah.

Menurut beliau, setiap apa yang masuk ke dalam rongga seseorang insan melalui jalan yang terbuka secara semulajadi seperti mulut, hidung dan telinga, maka jadilah ia membatalkan puasa. Penyembur (inhaler / spray) yang digunakan seumpama dalam situasi yang disebut dalam pertanyaan (yakni penggunaan inhaler bagi penghidap asthma) memasukkan sesuatu semburan ke rongga seseorang insan yang menyebabkan terbatalnya puasa sesiapa yang menggunakannya dan tidak dikira puasanya. Sesungguhnya penyembur yang digunakan dalam situasi ini membatalkan puasa orang yang berpuasa.[7]

  • Fadhl Hasan ‘Abbas.

Beliau menyatakan bahawa penyembur inhaler mengandungi campuran bahan-bahan ubatan, air dan oksigen. Para doktor dan ahli farmasi telah mengesahkan bahawa setiap bahan tersebut masuk (sampai ke dalam) perut dengan yakin. Maka pandangan yang rajih (kuat) adalah penggunaan inhaler membatalkan puasa. (Lihat Mufattirat al-Saim fi Dhau’i al-Mustajiddah al-Tibbiyyah, hlm. 4).

  • Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Sulami,

Beliau menyebutkan tentang hukum berubat menggunakan wap. Setiap ubat yang larut dan berbentuk cecair lalu tersejat menjadi wap, kemudian dimasukkan oleh pesakit ke dalam perutnya melalui rongga mulut, maka ia membatalkan. Tidak kira sama ada penyejatan tersebut terhasil dengan cara pemanasan atau menggunakan vakum.

Syeikh Ahmad Huraidi ada mengeluarkan fatwa ketika ditanya mengenai adakah pesakit asma batal puasanya disebabkan menggunakan sejenis alat yang dikenali sebagai inhaler. Beliau menjawab, sekiranya ubat yang digunakan melalui perantaraan alat penyembur (inhaler) tadi sampai ke dalam jaufnya melalui mulut atau hidung, maka puasanya dikira terbatal. Sekiranya tidak sampai sesuatu apapun daripadanya ke dalam jauf, maka puasanya tidak batal. Perkara ini bukanlah suatu kebarangkalian lagi kerana sudah pasti ubat yang dilepaskan melalui alat penyembur (inhaler) tersebut akan masuk melepasi bahagian halkum.

Oleh itu, hukum berubat dengan debu, termasuklah juga semburan, dengan niat untuk berubat dengan bahan yang dihancurkan halus yang masuk melepasi bahagian halkum dengan semburannya melalui mulut dan (rongga) nafas, atau dengan alat; puasanya terbatal dan diwajibkan untuk menggantikan semula puasanya yang ditinggalkan, jika penyakit itu tidak berterusan. (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 10/787-788).

  • Muhammad al-Alfi,

Menurut beliau, pendapat yang kuat (rajih): Penyembur asma (inhaler) mengandungi bahan-bahan ubatan, air dan oksigen. Para doktor dan ahli farmasi telah mengesahkan kepadanya bahawa setiap bahan tersebut masuk (sampai) ke dalam perut dengan yakin. Maka penggunaan inhaler membatalkan puasa. Wallahu a‘lam. (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 10/541).

  • Syeikh Taqiyuddin al-‘Uthmani,

Beliau menyatakan, berkenaan isu alat penyembur ini, sebenarnya udara (yang dilepaskan oleh alat tersebut) masuk melalui mulut ke dalam kerongkong, dan inilah yang masuk ke dalam jauf. Akan tetapi hukum dalam permasalahan ini adalah berdasarkan sama ada terdapat sebarang ubat dalam udara tersebut ataupun tidak? Kemudian, beliau menyebutkan, apa yang beliau dengar daripada para doktor yang hadir di sini (yakni dalam persidangan tersebut) bahawa ia mengandungi sedikit peratusan ubat dan ia sampai ke dalam jauf (perut). Disebabkan oleh para fuqaha’ tidak membezakan antara sedikit dan banyak, selagi ada sesuatu yang masuk ke dalam jauf (perut), sekalipun ia sedikit, ia tetap membatalkan puasa. Mereka menyamakan perkara tersebut dengan bijan.[8] (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 10/832).

  • Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili,

Beliau menyebutkan, kita hendaklah membezakan antara sengaja (berniat melakukannya) dan tidak sengaja. Apa yang dibangkitkan oleh Dr. Raja’i berkenaan seseorang yang menghidu debu, atau asap atau bakhur, maka jika seseorang itu sengaja menghidu perkara-perkara tersebut, maka niatnya (untuk melakukan perkara tersebut) diambil kira. Sekiranya dia sengaja menghidunya atau membuka mulutnya untuk menerima debu, maka ia membatalkan puasa. Adapun jika dia berada di suatu tempat dan dia tidak berniat pun melakukannya, lalu dia menghidu bau-bauan dan menghidu asap atau debu, maka dalam situasi ini ia tidak dikira batal puasa. Selain itu, para fuqaha juga turut mempertimbangkan penggunaan kaedah lain selain kaedah membatalkan puasa iaitu “المَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرُ” (Kesusahan akan membawa kepada kemudahan). Justeru, setiap apa yang susah untuk dielakkan atau dijaga termasuk dalam perkara yang dimaafkan. Maka perkara yang membatalkan puasa bukan semata-mata memasukkan sesuatu ke dalam jauf mahupun tidak memasukkan sesuatu ke dalamnya.

Begitu juga mengqiyaskan sesuatu ke atas perbuatan berkumur-kumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung), di mana ada sesuatu ketika berkumur-kumur dan istinsyaq itu yang akan meleleh masuk ke dalam jauf. Akan tetapi para fuqaha’ tidak menghukumkannya sebagai membatalkan puasa kerana jika mereka menghukumkannya sebagaimana demikian maka akan batallah taklif syar‘i iaitu perbuatan berkumur-kumur dan istinsyaq adalah disunatkan menurut kebanyakan mazhab dan wajib di sisi mazhab Hanbali. Oleh itu, sewajarnya kita meraikan makna taklif, dan pada masa yang sama tidak sah (tepat) untuk mengqiaskan ke atas perbuatan berkumur-kumur dan istinsyaq sebahagian perkara yang masuk ke dalam jauf, sehinggakan sekalipun ia sedikit, tidak kira ia terdiri daripada jenis makanan ataupun tidak, sekalipun ia seperti bijan, kacang dan seumpamanya.

Selanjutnya, beliau turut menyebutkan bahawa apa-apa sahaja yang masuk ke dalam badan melalui sistem pernafasan seperti asap, semburan, semburan asma (inhaler) adalah membatalkan puasa. (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 10/839-840, 842).

Antara badan fatwa yang berpegang dengan pandangan ini ialah:

  • Dar al-Ifta’ Jordan

Fatwa yang dikeluarkan adalah seperti berikut:

Soalan: Saya mempunyai masalah penyakit asthma yang kronik yang menyebabkan saya perlu menggunakan ubat (ventoline), ia frasa yang merujuk kepada gas yang membantu mengembangkan saluran pernafasan. Adakah diharuskan penggunaannya pada siang Ramadhan atau ia membatalkan puasa, sedangkan saya tidak boleh meninggalkannya dalam seharian?

Jawapan: Pengambilan semburan (inhaler) sama ada melalui hidung atau mulut membatalkan puasa, kerana ubat yang terdapat di dalam semburan tersebut bertujuan untuk disampaikan ke paru-paru yang mana ia dikira sebagai perut. Sesiapa yang menggunakan semburan tersebut hanya pada beberapa hari maka dia boleh menggunakannya dan kekal menahan diri[9] (daripada makan pada siang hari tersebut), kemudian mengganti puasa pada hari lain. Dan sesiapa yang menggunakannya pada setiap hari maka dia boleh menggunakannya dan kekal menahan diri (daripada makan pada siang hari tersebut), kemudian memberi makan kepada kepada orang miskin setiap hari (sebagai ganti puasa yang ditinggalkan). Dan kadar memberi makan orang miskin menyamai 60 Piastres[10] pada tahun 1421 H.[11]

Manakala dalam ruangan As’ilah al-Siyam al-Tibbiyyah, disebutkan:

Mengambil sebarang semburan melalui hidung atau mulut membatalkan puasa, hal yang demikian kerana semburan-semburan tersebut tersebut bertujuan untuk disampaikan ke paru-paru yang mana ia dikira sebagai perut. Sesiapa yang terdesak untuk menggunakannya pada beberapa hari Ramadhan maka puasanya (pada hari tersebut) batal, dia perlu menahan diri dari makan untuk menghormati bulan Ramadhan dan mengganti semula puasa selepas Ramadhan. Dan sesiapa yang menggunakannya pada setiap hari Ramadhan kerana memerlukannya sepanjang tahun, dia boleh menggunakannya pada siang hari Ramadhan dan menahan diri  dari makan, kemudian memberi makan kepada orang miskin pada setiap hari Ramadhan dan tidak diwajibkan ke atasnya mengganti (puasa yang ditinggalkan).[12]

  • Dar al-Ifta’ al-Misriyyah

Fatwa yang dikeluarkan adalah seperti berikut:

Soalan: Apakah hukum penggunaan inhaler ketika berpuasa?

Jawapan: Penggunaan inhaler membatalkan puasa dan wajib diganti, kerana ia dikira memasukkan ubat berbentuk cecair ke dalam perut dengan cara semburan yang mengandungi jirim melalui rongga terbuka secara semulajadi iaitu mulut. Jika pesakit itu tidak mampu untuk ganti puasa dan penyakit yang dihidapi adalah kronik, maka dia perlu membayar fidyah setiap hari dengan memberi makan orang miskin dengan kadar satu cupak makanan ruji negara tersebut seperti beras. Sukatan satu cupak pula menyamai 510g gandum, dan diharuskan juga untuk mengeluarkan nilainya dan membayarnya kepada orang miskin seperti yang telah difatwakan.[13]

Manakala dalam ruangan bertajuk Mufti al-Jumhuriyyah Yujib ‘an Ahammi As’ilah al-Siyam bertarikh 22 Julai 2012 menyebut:

Apakah hukum menggunakan inhaler bagi penghidap asma ketika puasa di bulan Ramadhan?

Jika ubat yang digunakan dengan cara semburan sampai ke perut melalui mulut atau hidung maka ia membatalkan puasa. Jika ubat tersebut tidak sampai ke perut maka tidak membatalkan puasa. Pada keadaan puasa seseorang itu terbatal, dia wajib menggantikan puasa tersebut pada hari lain selepas hilang sakit tersebut.[14]

Secara ringkasnya, antara hujah mereka ialah:

  • Bahan-bahan yang terdapat di dalam inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut. Oleh itu, ia dianggap membatalkan puasa.
  • Batal puasa dengan masuk sesuatu ‘ain sekalipun sedikit ke dalam jauf atau rongga.
  • Inhaler mengandungi sejenis cecair iaitu sesuatu yang berjirim dan apabila dimasukkannya, maka hukumnya adalah batal.

Pendapat Kedua: Ia Tidak Membatalkan Puasa

Pandangan yang kedua menyatakan bahawa penggunaan inhaler adalah tidak membatalkan puasa. Kami nyatakan di sini dua bentuk fatwa yang memutuskan dengan pandangan ini seperti berikut:

Pertama: Badan Fatwa yang Berautoriti

Antara Badan Fatwa yang berpegang dengan pendapat tidak membatalkan ialah:

  • Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang bersidang di Jeddah pada tahun 1997[15] dan 2018.

Pada tahun 1997, Majma’ al-Fiqh al-Islami telah mengeluarkan resolusi – yang antara lain menyebut – bahawa ubat titis mata, atau ubat titis telinga, atau ubat pencuci telinga, atau ubat titis hidung, atau ubat semburan hidung termasuk dalam perkara yang tidak membatalkan puasa, jika dapat dielakkan daripada menelan apa yang masuk ke dalam tekak.

Selain itu, (pada tahun 1997 itu juga) mereka juga bersepakat untuk menangguhkan pengeluaran keputusan sebahagian permasalahan kerana ia memerlukan kajian lebih lanjut mengenai kesannya terhadap puasa, di samping memberi tumpuan kepada hadith-hadith Nabi dan athar-athar para sahabat dalam pengeluaran hukumnya. Di antaranya ialah semburan inhaler.

Seterusnya, dalam persidangan Majma‘ al-Fiqh al-Islami pada sesi ke-23 di Madinah Munawwarah, dalam tempoh 19-23 Safar 1440 Hijrah bersamaan 28 Oktober hingga 1 November 2018 Masihi, sebagai kesinambungan daripada keputusan Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami bernombor 93 (1/10) berkenaan perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam bidang perubatan. Di antara isu-isu yang akan dibincangkan dalam sesi tersebut ialah penggunaan inhaler.

Di dalamnya dinyatakan bahawa selepas Majlis melihat dan meneliti penyelidikan yang dikemukakan kepada Majma‘ al-Fiqh al-Islami khususnya berkenaan tajuk yang dibahaskan, dan begitu juga selepas mendengar perbincangan dan perbahasan yang panjang lebar berkenaan isu yang berkisar dengannya, Majlis memutuskan bahawa semburan inhaler tidak menjejaskan puasa kerana ia menyasarkan sistem pernafasan, dan apa yang sampai ke dalam perut daripadanya hanyalah sebahagian kecil yang dimaafkan tanpa disengajakan, kurang daripada apa yang sampai ke dalam perut daripada sisa kumur dan siwak.[16]

  • Fatwa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-’Ilmiyyah.[17]

Nas fatwa Lajnah menyebut: “Ubat bagi penyakit asma yang digunakan oleh pesakit asma adalah dengan cara penyedutan yang sampai ke paru-paru melalui trakea dan bukannya perut. Jadi, ia bukan makanan mahupun minuman atau apa-apa yang menyerupai kedua-duanya. Justeru, apa yang jelas puasa tidak batal dengan menggunakan ubat ini.” (Lihat Fatawa Islamiyyah, 1/130).

  • Islamic Organization for Medical Science (IOMS)
  • Persatuan Pengamal Perubatan Kuwait (المنظمة الإسلامية للعلوم الطبية بالكويت) dalam Nadwah Fiqh Perubatan ( الندوة الفقهية الطبية) yang ke-9 di Maghribi pada tahun 1997 M.[18]

Keputusan Seminar Fiqh Perubatan ke-9 yang diadakan di Maghribi pada 14-17 Jun 1997 di mana kebanyakan ahli majlis (yang terdiri dari kalangan pakar fiqh dan perubatan) menyatakan bahawa ubat semburan hidung (inhaler) dan ubat sedut tidak membatalkan puasa. Antara penjelasannya:

  • Pesakit asma, COPD dan seumpamanya adalah jenis acute dan chronic yang memerlukan rawatan inhaler secara berkala dan tempoh yang lama.
  • Inhaler (semburan) bersifat ‘local effect’ di paru-paru sahaja. Tidak ada kesan absorpsi (serapan) ke sistem pencernaan.
  • Inhaler tidak aktif untuk tempoh panjang. Jadi serangan acute asthma contohnya tidak dapat ditangguh rawatannya. Walaupun pesakit mempunyai maslahah untuk berbuka puasa. Namun kepada pesakit kronik yang perlu mengambil lebih dari tiga kali terutamanya waktu siang, mereka juga berhadapan masalah yang sama untuk berpuasa qadha’ nanti.
  • Inhaler (semburan) tidak memberi sebarang tenaga tambahan kepada pesakit kerana ianya tidak diserap ke sistem darah. Sekalipun ada, ia terlalu minimum.[19]

Kedua: Pandangan tokoh ulama

Pandangan yang menyatakan ia tidak batal juga adalah merupakan pandangan sebahagian besar ulama dan tokoh ilmuan seperti Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Syeikh Abdullah al-Bassam, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Syeikh Dr. Husamuddin ‘Afanah, Syeikh Abdullah bin Jibrin, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Muhammad Haitham al-Khayyat, Dr. al-Siddiq al-Dharir, Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, Syeikh Uthman al-Khamis, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz al-Tarifi, Syeikh Sa‘id al-Jabiri, Syeikh Khalid al-Jundi, Dr. Muhammad ‘Uqlah, Dr. al-Tantawi Jauhari, Faisal Mawlawi (Timb. Ketua Majlis Fatwa Eropah), Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-Zamil, Dr. ‘Adil al-Mutayrat, Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdullah al-Tuwaijiri, Dr. Sulaiman bin Fahd al-‘Isa, Dr. Abdullah bin Hamad al-Sakaki, Syeikh ‘Abd al-Salam bin Ibrahim al-‘Adhib

Seterusnya kami kemukakan pula sebahagian kenyataan dan hujah mereka sebagaimana berikut:

  • Mufti al-‘Am al-Mamlakah al-Arabiyyah al-Su’udiyyah, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz,[20]

Beliau ditanya oleh seseorang berkenaan penggunaan inhaler pada siang Ramadhan sedangkan dia berpuasa disebabkan oleh penyakit asma, dan orang tersebut mendapati rasanya adalah pahit. Justeru, adalah terbatal puasanya?

Beliau menjawab dengan menyebutkan bahawa sekiranya penggunaan inhaler itu kerana dharurah (keadaan terpaksa), maka ia tidak membatalkan puasanya, insya-Allah. Begitu juga kerana ia bukanlah seperti makanan atau minuman. Sebaliknya dia hanyalah menyedut udara kerana dia bernafas dalam keadaan tersekat-sekat. Justeru, pendapat yang tepat ialah puasanya tidak terbatal dengan syarat dia menggunakannya dalam keadaan dharurah.[21]

Dalam Fatawa al-Da‘wah (no. 979) pula, beliau menyatakan: “Penggunaan inhaler (bagi pesakit asma) tidak membatalkan puasa, kerana ia adalah gas mampat yang masuk ke dalam paru-paru dan bukannya makanan. Selain itu dia (pesakit asma) sentiasa memerlukannya pada bulan Ramadhan dan juga pada waktu lain.”

           

  • Syeikh Muhammad Abu Zahrah,

Al-Sayyid ‘Abd al-Muhsin Muhammad Khalil dari Kaherah bertanya kepada Syeikh Muhammad Abu Zahrah mengenai seseorang yang menghidap penyakit asma dan dia mengalami sesak nafas yang teruk. Sesak nafas tersebut tidak dapat dihilangkan melainkan dengan menggunakan sejenis ubat cecair. Ubat ini akan disejat dengan cara-cara tertentu, lalu berubah menjadi wap, yang kemudiannya akan disedut oleh pesakit. Apabila ia (ubat yang telah bertukar menjadi wap) sampai ke dalam paru-paru, pesakit itu akan berasa selesa dan tenang. Justeru, bolehkah pesakit tersebut berpuasa dengan menggunakan ubat ini apabila dia diserang penyakit asma?

Syeikh Muhammad Abu Zahrah menjawab, apa yang dinaskan ialah wap atau asap yang disedut bukan untuk tujuan bersedap-sedapan dan syahwat seperti asap ketuhar dan seperti asap yang telah disebutkan akan sifatnya, maka ia tidak membatalkan puasa. Adapun wap atau asap yang disedut untuk tujuan bersedap-sedapan dan syahwat, maka pengarang Fath al-Qadir menyatakan bahawa puasanya batal. Hal ini kerana puasa adalah menahan diri daripada syahwat mulut dan kemaluan, dan asap yang disedut bagi tujuan bersedap-sedapan termasuk dalam syahwat mulut.

Manakala wap atau asap yang disedut bukan bertujuan untuk bersedap-sedapan sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, maka para fuqaha’ telah menaskan bahawa puasanya tidak batal.  (Lihat Fatawa al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, dihimpun dan ditahqiq oleh Dr. Muhammad Uthman Syabir, hlm. 253).

  • Syeikh Abdullah al-Bassam,

Ketika menyebutkan perkara-perkara yang tidak membatalkan puasa, beliau menyatakan bahawa di antaranya ialah ubat penyakit asma yang disedut melalui hidung. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 3/503).

  • Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin,

Beliau menyebutkan, semburan inhaler ini mengeluarkan wap dan tidak sampai ke perut. Jadi, dinyatakan bahawa tidak mengapa menggunakannya bagi orang yang berpuasa dan puasanya tidak terbatal disebabkan oleh perkara tersebut. (Lihat Fatawa Arkan al-Islam, hlm. 475)

Begitu juga dalam Jilsat Ramadhaniyyah (1/16), beliau ditanya berkenaan adakah penggunaan inhaler dalam bulan Ramadhan membatalkan puasa?

Beliau menjawab, terdapat dua jenis inhaler. Jenis pertama, inhaler yang berbentuk seperti pistol yang diletakkan di dalamnya pil (ubat). Kemudian, ia dimasukkan dan dilepaskan di dalam mulut. Lalu ubat tersebut turun ke dalam perut. Maka, hal ini membatalkan puasa. Sekiranya seseorang itu tidak dapat bertahan tanpa menggunakannya sepanjang siang Ramadhan, maka tidak mengapa untuknya berbuka (tidak berpuasa). Perkara ini adalah luas kerana ia termasuk dalam firman Allah SWT:

وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.

(Surah al-Baqarah: 185)

Sekiranya ia difahami sebagai penyakit yang tidak boleh diubati, maka dia hendaklah memberi makan orang miskin setiap hari. Kemudian jika ditakdirkan Allah SWT menyembuhkannya, dan Allah SWT Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu; maka dia tidak perlu lagi memberi makan semula mahupun berpuasa (pada hari-hari yang ditinggalkan) kerana dia telah menunaikan kewajipannya untuk memberi makan, jadi dia tidak perlu lagi sibuk (untuk melakukannya) tanpa sebab.

Manakala jenis kedua pula ialah inhaler yang melegakan sesak nafas, dan ia merupakan udara bergas, serta tidak ada satu jirim daripadanya yang sampai ke perut. Maka dalam hal ini tidak mengapa sekalipun seseorang sedang berpuasa dan puasanya itu tidak terbatal (dengan menyedutnya).

  • Syeikh Dr. Husamuddin ‘Afanah,

Beliau menyebutkan bahawa inhaler yang disebutkan dalam soalan adalah cecair yang digunakan untuk mengembangkan arteri paru-paru apabila sesak nafas, dan ia tidak sampai ke dalam perut apabila digunakan oleh pesakit, sebagaimana yang disebutkan oleh para doktor. Berdasarkan hal tersebut, ia tidak membatalkan puasa, insya-Allah. (Lihat Masa’il Muhimmat Tata‘allaq bi Fiqh al-Saum, 1/10).

  • Syeikh Abdullah bin Jibrin,

Beliau menyatakan, berkenaan inhaler, maka sebahagian ulama memberi kelonggaran (untuk menggunakannya) dan menganggapnya udara, sama seperti oksigen yang terkandung di udara dan dihirup oleh orang itu sendiri. Akan tetapi inhaler ini mengandungi bahan yang mempunyai isipadu dan berat, maka beliau melihat bahawa ia tidak boleh digunakan ketika berpuasa kecuali dalam keadaan mendesak, dan digunakan sekadar yang diperlukan.[22]

Dalam kitabnya yang lain, beliau menyatakan penggunaan inhaler bagi pesakit asma tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana ia tidak mempunyai jirim. Kemudian, ia masuk melalui saluran pernafasan dan bukannya saluran makan dan minum. (Lihat Fatawa al-Siyam oleh al-Syeikh Abdullah al-Jibrin, dihimpun dan disusun oleh Rasyid al-Zahrani, hlm. 22).

  • Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi,

Dalam satu ucapan beliau, pada sesi akhir, beliau ada menjawab beberapa soalan yang diajukan kepadanya. Beliau menyebutkan, menggunakan berus gigi dan ubat gigi tidak membatalkan puasa. Namun, jika dia merasakan sesuatu daripadanya memasuki mulutnya, maka hendaklah dia meludahkannya sebagaimana penyembur asma (inhaler) juga tidak membatalkan puasa kerana orang yang menggunakannya tidak merasa bahawa dia sedang meminum air.[23]

  • Muhammad Haitham al-Khayyat,

Di antara hujahnya, beliau menyebutkan, para doktor pada hari ini tidak mengetahui atau mengenali apa yang dipanggil sebagai “الجوف” yakni ism makrifah dengan alif dan lam. Akan tetapi mereka mengetahui “أجوافا” iaitu menjadi ism makrifah melalui idhafah (sandaran) seperti rongga dada (yang merangkumi paru-paru, jantung, dan urat besar), rongga perut (yang merangkumi perut, usus, hati, limpa), rongga hidung, rongga mulut, rongga perut, dan rongga-rongga lain.[24]

Begitu juga para doktor dahulu juga tidak membahaskan berkenaan al-Jauf (الجوف) tersebut. Melainkan apa yang disebutkan dalam Qanun Ibn Sina mengenai rongga atas (الجوف الأعلى) dan rongga bawah (الجوف الأسفل). Kedua-duanya itu adalah rongga dada yang merangkumi jantung dan paru-paru, dan rongga perut yang merangkumi perut, usus dan seluruh viscera.

Sekiranya benar bahawa mafhum al-Jauf itu ada asalnya dalam al-Kitab dan al-Sunnah — sedangkan ia tidak benar —; maka sewajarnya untuk kita mengetahui apa yang sepadan dengannya menurut ‘uruf para doktor kini, dan ia bukanlah sistem penghadaman secara pasti; kerana sistem penghadaman bermula dengan mulut dan berakhir dengan dubur. Manakala berkumur-kumur pula tidak membatalkan puasa berdasarkan nas hadith, hadith Umar bin al-Khattab R.A yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih, katanya:

هشَشتُ فقبَّلتُ وأَنا صائمٌ، فقُلتُ: يا رسولَ اللَّهِ صنَعتُ اليومَ أمرًا عَظيمًا قبَّلتُ، وأَنا صائمٌ قالَ: أَرأَيتَ لو مَضمَضتَ منَ الماءِ، وأنتَ صائمٌ قُلتُ: لا بأسَ بِهِ، قالَ: فمَهْ ؟

Maksudnya:Aku berasa gembira lalu aku mencium (isteriku) sedangkan aku dalam keadaan berpuasa. Lalu aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, pada hari ini aku telah melakukan suatu perkara yang besar. Aku telah mencium (isteriku) sedangkan aku sedang berpuasa.’ Baginda bersabda: ‘Bagaimana pendapat engkau apabila engkau berkumur-kumur menggunakan air sedangkan engkau sedang berpuasa?’ Aku menjawab: ‘Tidak mengapa.’ Baginda bersabda: ‘Berhentilah (daripada bertanya)?!’

Riwayat Abu Daud (2385); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (3048) dan Ahmad (138)

Maka tidak ada yang tinggal melainkan sebahagian daripada rongga perut. Inilah pendapat yang paling dekat (dengan kebenaran) kerana apa yang dimakan dan diminum sampai ke dalam perut. Jika ia dicerna dan kemudian dibiarkan, maka ia adalah chyme,[25] kemudian chyle,[26] dan ia tidak akan kembali kepada makanan mahupun minuman. Jika demikian keadaannya, maka tiada justifikasi perubatan bagi sesiapa yang berpendapat batal puasa dengan sebab apa yang masuk ke dalam dubur seperti enema,[27] supositori,[28] spekulum,[29] atau jari doktor yang memeriksa, atau apa yang masuk ke dalam vagina seperti pesari,[30] vaginal ovules, spekulum, jari doktor perempuan atau bidan yang memeriksa, atau apa yang masuk ke dalam saluran kencing — sama ada saluran kencing lelaki atau perempuan — seperti kateter,[31] sistoskop,[32] bahan radiocontrast,[33] ubat, atau cecair untuk membasuh pundi, atau apa yang masuk ke dalam telinga seperti ubat titis dan ubat cuci telinga. Kesemua ini tidak sampai ke rongga perut secara pasti.

Jelas daripada nas-nas menunjukkan bahawa terdapat kuantiti tertentu yang dimaafkan. Oleh itu, tidak syak lagi bahawa orang yang berkumur-kumur, akan tersisa air kumur dalam mulutnya dan bercampur dengan air liur, dan tidak syak lagi juga bahawa dia menelannya. Akan tetapi puasanya tetap tidak terbatal berdasarkan nas hadith iaitu hadith Umar yang telah disebutkan sebelum ini.

Jika seseorang berkumur-kumur atau membilas mulutnya dengan air yang dilabelkan dengan bahan radioaktif, kita akan menemui bahan radioaktif tersebut di dalam perut selepas itu, di mana mengesahkan kewujudan sejumlah kecil yang dimaafkan. Ia adalah lebih banyak — secara pasti — daripada apa yang boleh diserap ke dalam esofagus daripada semburan inhaler — jika ia terserap — atau daripada semburan ubat hidung atau titisan ubat hidung — jika ia terserap — atau daripada tablet yang diletakkan di bawah lidah untuk merawat angina — jika ia terserap — atau daripada titisan ubat telinga yang membran timpaninya telah berlubang — jika ia terserap — maka tidak ada justifikasi, dari segi perubatan mahupun undang-undang, untuk mengatakan bahawa perkara-perkara ini membatalkan puasa, kerana apa yang sampai ke rongga perut — jika ia berlaku — adalah jauh lebih sedikit daripada jumlah yang sedikit yang dimaafkan, insya-Allah. (Lihat al-Muftirat fi Dhau’ al-Tibb al-Hadith, Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 10/774-775).

  • al-Siddiq al-Dharir,

Beliau menyatakan bahawa Dr. Hassan ada menyebutkan mengenai dhabit (prinsip umum) bagi perkara yang membatalkan puasa iaitu setiap apa yang masuk ke dalam sistem penghadaman melalui mulut dan tekak adalah sebab yang membatalkan puasa. Beginilah ungkapan atau ibarat yang terdapat dalam kertas kajiannya. Kemudian, Dr. Muhammad Ali al-Barr bersetuju dengannya berkenaan dhabit itu, dan menambah orang tersebut mestilah melakukannya dalam keadaan sengaja. Begitu juga tidak disyaratkan apa yang masuk ke dalam jauf (yakni menurutnya merujuk kepada sistem penghadaman) itu adalah makanan dan minuman, tetapi ubat dan asap turut termasuk di dalamnya.

Selanjutnya, beliau menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kedua-dua tokoh tersebut yang menjadikan batalnya puasa terikat atau tergantung dengan apa yang masuk ke dalam jauf iaitu sistem penghadaman. Hal ini kerana tidak ada dalil mengenai perkara ini sama ada daripada al-Quran mahupun al-Sunnah. Al-Sunnah tidak menyebutkan melainkan hanya makan dan minum, dan al-Quran juga tidak menyebutkan melainkan hanya ini (yakni makan dan minum). Justeru, masuknya batu kerikil ke dalam jauf tidak membatalkan puasa, begitu juga asap tidak membatalkan puasa, dan begitu juga ubat tidak membatalkan puasa melainkan jika ia adalah makanan atau minuman. Justeru, apabila disahkan kepadanya bahawa ia adalah minuman, dikatakan: “شربت الدواء” (Aku telah minum ubat), maka hal ini merosakan puasanya; atau “أدى الدواء” (makan ubat), sekalipun ia bukan makanan dan minuman tetapi ia telah menjalankan fungsinya sebagai makanan dan minuman. Oleh kerana itu, ia mengambil hukum kedua-duanya (yakni makanan dan minuman).

Begitu juga beliau tidak bersetuju dengan kedua-dua tokoh tersebut bahawa gastroskop (sejenis spekulum) membatalkan puasa kerana ia bukanlah makanan mahupun minuman, tidak dari segi bahasa mahupun ‘uruf. Apatah lagi Dr. al-Barr telah memutuskan bahawa ia langsung tidak ada kaitan dengan makanan. Kalaulah spekulum ini boleh dikategorikan sebagai makanan yang mengenyangkan, maka sudah tentu di sana terdapat pendapat yang menyatakan ia membatalkan puasa. Begitu juga beliau tidak bersetuju dengan Dr. al-Barr berkenaan apa yang masuk ke dalam dubur (enema), dan apa yang sampai (masuk) melalui telinga membatalkan puasa, melainkan jika apa yang sampai ke dalam jauf merupakan makanan yang mengenyangkan, maka dalam hal ini ia membatalkan puasa. (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 10/845-846).

  • Ahmad bin Muhammad al-Khalil,

Beliau menyatakan, pendapat yang jelas (yakni kuat menurutnya) adalah inhaler tidak membatalkan puasa. Apa yang disebutkan oleh mereka yang berpendapat tidak batal puasa adalah sesuai dan logik, serta qiyas mereka terhadap berkumur-kumur dan bersiwak adalah qiyas yang betul. Wallahu subhanahu wa ta‘ala a‘lam. (Lihat Muftirat al-Siyam al-Mu‘asirah, hlm. 46-50).

  • Syeikh Uthman al-Khamis,

Beliau berpendapat inhaler tidak membatalkan puasa kerana ia bukan makanan mahupun minuman atau apa-apa yang menyerupai kedua-duanya (yakni pada maknanya).[34]

  • Syeikh ‘Abd al-‘Aziz al-Tarifi,

Beliau berpendapat, penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa kerana ia sampai ke paru-paru dan bukannya ke jauf. Jauf yang dimaksudkan di sini ialah perut yang mana makan dan minum mengambil tempatnya. Boleh jadi ada sebahagian kecil daripadanya yang sampai ke jauf, akan tetapi ia tidak memiliki jirim yang jelas. Ringkasnya, apa yang sampai ke dalam jauf daripada jirim semburan inhaler adalah lebih sedikit berbanding jirim air yang sampai ke jauf ketika berkumur-kumur (sedangkan ia diberi keringanan). Oleh sebab itu, ia tidak dikira membatalkan puasa kerana jumlahnya yang terlalu sedikit.[35]

  • Syeikh Sa‘id al-Jabiri,

Beliau menyebutkan, pendapat yang paling dekat (dengan kebenaran) ialah inhaler tidak membatalkan puasa orang yang berpuasa, bukan kerana sesuatu yang masuk atau sampai ke dalam kerongkong itu tidak dikira sebagai ‘ain, akan tetapi disebabkan oleh masyaqqah (kesusahan) dan kepayahan.

Fuqaha dalam kalangan mazhab Syafi‘i ada membahaskan beberapa permasalahan, yang mana daripadanya dikeluarkan hukum atau keputusan berkenaan persoalan inhaler yang dibincangkan ini. Di antaranya:

Dimaafkan debu jalan dan tepung yang diayak (jika termasuk dalam rongga). Mereka menyatakan sebabnya adalah kerana kesukaran untuk berjaga-jaga daripadanya. Bahkan mereka turut menyebutkan, jika orang yang berpuasa itu sengaja membuka mulutnya, lalu sedikit debu masuk ke dalamnya, maka ia tidak memudaratkan (membatalkan puasanya) disebabkan oleh kemaafan yang telah diberikan dalam hal tersebut dan juga kepada jenisnya.

Begitu juga jika kolon orang yang terkena penyakit buasir terkeluar (dari duburnya), lalu dia memasukkannya semula, maka hal tersebut tidak membatalkan puasanya disebabkan oleh keadaan terdesak. Dinyatakan dalam al-Tuhfah, adapun keluarnya kolon (kerana buasir) adalah termasuk dalam penyakit yang tidak boleh diubati, yang mana jika berlaku ia akan berpanjangan. Maka, keadaan tersebut dihukumkan sebagai keadaan dharurat yang dimaafkan.

Begitu juga dimaafkan untuk mengeluarkan kahak kerana ia berulang-ulang, sedangkan jika berdasarkan kaedah qias perbuatan tersebut membatalkan puasa seperti mana muntah. Oleh sebab itu, para fuqaha menyebutkan berkenaannya (permasalahan kahak) sejurus selepas (permasalahan) muntah sebagaimana yang terdapat dalam al-Minhaj, bagi menjelaskan bahawa hukumnya adalah berbeza dengan hukum muntah.

Begitu juga dimaafkan bagi orang yang menelan darah gusinya, yang mana tidak mungkin untuk dia elakkannya sebagaimana ditunjukkan dalam al-Tuhfah, dan di dalamnya dinyatakan: Kemudian aku melihat sebahagian mereka membincangkan mengenainya dan beristidlal dengan dalil-dalil mengangkat kesusahan daripada umat.

Sekiranya dikatakan bahawa menggunakan inhaler hukumnya sama seperti hukum orang yang terpaksa makan dan minum. Lalu puasanya terbatal dengan makan dan minum tersebut.

Maka, jawapannya ialah hal ini adalah seperti penyakit yang tidak boleh diubati, yang mana jika berlaku ia akan berpanjangan. Maka, keadaan tersebut dihukumkan sebagai keadaan dharurat yang dimaafkan. Berbeza halnya dengan lapar yang bersangatan kerana ia jarang berlaku dan tidak berterusan. Maka ia hanya dikategorikan sebagai sakit.[36]

  • Syeikh Khalid al-Jundi,

Beliau menyebutkan bahawa beliau cenderung kepada pendapat yang menyatakan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana ia tidak masuk (sampai) ke dalam jauf, tetapi masuk ke dalam paru-paru. Jauf yang dimaksudkan di sini ialah sistem penghadaman. Oleh itu, ia masuk melalui saluran pernafasan dan bukannya melalui saluran makanan. Kemudian beliau mengkiaskan inhaler ini dengan habuk di jalanan, habuk daripada kilang dan habuk simen yang masuk kedalam mulut, yang mana kesemua ini termasuk dalam perkara yang tidak mampu dielakkan.[37]

  • Faisal Kailani al-Mahdi (Wa‘iz bi al-Azhar al-Syarif),

Dalam permasalahan ini, terdapat dua pendapat. Pendapat pertama, penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa kerana qias ke atas berkumur-kumur dan istinsyaq, di mana kedua-dua perbuatan tersebut meninggalkan (sedikit) baki sisa air, dan pada masa yang sama ia masuk ke dalam jauf bersama air liur, dan tidak dikira sebagai membatalkan puasa. Begitu juga berdasarkan qias ke atas siwak. Sesungguhnya ia mengandungi lapan bahan kimia, tetapi tidak ada dalam kalangan fuqaha yang mengatakan bahawa ia adalah salah satu perkara yang membatalkan puasa. Manakala pendapat kedua pula menyatakan penggunaan inhaler termasuk salah satu perkara yang membatalkan puasa. Hal ini kerana bahan atau kandungan semburan inhaler itu terdiri daripada air, yang masuk ke dalam jauf dengan sengaja. Oleh sebab itu, ia dikira membatalkan puasa.

Maka, berdasarkan kepada pendapat-pendapat di atas, perkara yang lebih utama adalah meninggalkan penggunaan inhaler pada waktu siang Ramadhan kerana keluar daripada perkara yang diperselisihi (khilaf) adalah lebih baik berbanding jatuh di dalamnya. Akan tetapi sesiapa yang terdesak untuk menggunakan inhaler, maka tidak mengapa untuk dia menggunakannya berdasarkan kaedah:

مَنِ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَف فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya:Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”[38]

Secara ringkasnya, antara hujah para ulama yang berpegang dengan pendapat yang tidak membatalkan ini ialah:

  • Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit dan hanya akan terjadi sekiranya tersalah teknik semburan, kerana itu, hukumnya tidak membatalkan puasa, sebagai qiyas kepada berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk).
  • Terdapat riwayat daripada Laqit bin Sabirah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ، إِلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

Maksudnya: “Dan berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung melainkan kamu dalam keadaan berpuasa.”

Riwayat al-Tirmizi (788); Abu Daud (142) dan al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih

Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, janganlah berlebih-lebih — yakni memasukkan air ke dalam hidung ketika berpuasa. Sesungguhnya dihukumkan sebagai makruh perbuatan berlebih-lebih memasukkan air ke dalam hidung bagi orang yang berpuasa kerana khuatir air itu sampai ke halkumnya yang boleh menyebabkan puasanya batal.” (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 1/165).

Begitu juga Ibn Qudamah al-Maqdisi turut menyebutkan, hal ini kerana berkemungkinan dengan perkara tersebut menyebabkan air sampai ke halkumnya. Antara perkara lain yang menarik, Ibn Qudamah mengatakan terdapat dua pendapat dalam masalah jika air sampai ke halkum. Pertamanya, puasanya terbatal kerana Nabi SAW melarang daripada perbuatan berlebih-lebihan ketika istinsyaq bagi memelihara puasa. Justeru, ia menunjukkan kepada batalnya puasa dengannya. Begitu juga kerana air itu sampai disebabkan oleh perbuatannya pada perkara yang dilarang — yakni berlebihan dalam istinsyaq. Maka, dia menyerupai orang yang sengaja. Keduanya, puasanya tidak terbatal kerana ia dilakukan tanpa sengaja. Beliau mengumpamakan perbuatan tersebut dengan seseorang yang terhisap debu tepung. (Lihat al-Mughni, 4/356-357).

Oleh itu, satu alat inhaler MDI mengandungi 10 mililiter cecair, yang mengandungi bahan ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan lebih kurang 200 kali semburan. Setiap kali semburan, ia mengeluarkan jumlah yang sangat sedikit iaitu tidak sampai 0.01 mililiter yang mana ia juga tidak sampai setitis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar akan memasuki bahagian pernafasan.[39] Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut.

Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, sebagai qiyas kepada air yang terlekat pada tekak hasil berkumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburan inhaler yang memasukinya. Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (seperti mineral atau vitamin, yang hanya boleh dilihat melalui mikroskop), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut, tetapi di dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan. Kuantiti sisa air daripada berkumur dan istinsyaq tersebut dari segi keyakinannya, sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaler yang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasuki kerongkong. (Lihat Muftirat al-Siyam al-Mu‘asirah oleh Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, pensyarah bahagian Syariah di Universiti al-Qasim, Arab Saudi).

  • Masuknya sesuatu ke dalam perut daripada inhaler itu bukanlah sesuatu yang qat‘i (pasti) bahkan ia diragui. Selepas diberi penjelasan oleh pakar kepada kami bahawa inhaler yang digunakan di mana wapnya masuk ke dalam paru-paru. Maka yang asalnya adalah tidak batal puasanya dan tidak pula puasanya rosak. Ini berdasarkan kaedah:

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Keyakinan itu tidak akan hilang dengan adanya syak.”

Dalam erti kata lain, masuknya ke dalam paru-paru itu adalah pasti tetapi ke dalam perut adalah syak.

  • Semburan inhaler itu bukanlah seperti makanan atau minuman. Bahkan ia seperti pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi bahan bergizi (nutritive).[40]
  • Adapun inhaler, bahan semburan tersebut akan keluar dalam bentuk wap dan tidak sampai ke perut sebaliknya hanya sampai ke dalam saluran pernafasan di dalam paru-paru sahaja.[41]
  • Pakar-pakar perubatan memperakui penggunaan siwak (kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia, yang dapat mengawal gigi dan gusi daripada serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak, apabila seseorang bersiwak. Di dalam Sahih al-Bukhari terdapat riwayat daripada ‘Amir bin Rabi‘ah:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَاكُ وَهُوَ صَائِمٌ، وَفِيْ رِوَايَةٍ مَا لَا أُحْصِيْ

Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW bersiwak, sedangkan Baginda dalam keadaan berpuasa.” Dalam satu riwayat lain datang dengan lafaz, “Dengan bilangan yang tidak dapat dihitung.” (Dikeluarkan oleh al-Bukhari secara mu‘allaq; Lihat juga Fath al-Bari, 4/158).

Oleh yang demikian, sekiranya bahan-bahan kimia yang termasuk ke dalam tekak ini (melalui bersiwak) dimaafkan, kerana kuantitinya yang sedikit dan tidak disengajakan begitulah juganya keadaan penggunaan inhaler yang mana memasuki tekak, maka ia juga dimaafkan.

Kesimpulan (Tarjih)

Setelah melihat kepada kedua-dua pendapat berdasarkan hujah-hujah yang telah dikemukakan, kami lebih cenderung kepada pendapat bahawa penggunaan inhaler di siang hari bulan Ramadhan bagi pesakit asma yang serangannya tidak terkawal adalah tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana:

  • Ini adalah pendapat badan-badan fatwa yang berautoriti di dunia seperti al-Majma‘ al-Fiqh al-Islami.
  • Keputusan ini adalah berdasarkan daripada pakar-pakar perubatan[42] yang memberi pencerahan kepada para ulama.
  • Begitu juga kami mendapati bahawa serangan asma ini berlaku pada bila-bila masa sahaja. Alangkah toleransinya agama Islam kita ini dalam memberikan pengecualian bagi penggunaan inhaler kepada golongan ini (tidak batal puasa mereka jika menggunakan inhaler ketika berpuasa) sedangkan mereka juga ingin meraih fadhilat berpuasa sepertimana orang lain. Ini selaras dengan maqasid syariah berkenaan dengan hifz al-din. Pada saat yang sama, penggunaan inhaler termasuk dalam hifz al-nafs yang berada pada dharuriyyat (keperluan mendesak). Justeru, pesakit asma yang terpaksa berpuasa dan memakai inhaler telah memelihara hifz al-din dan hifz al-nafs.
  • Pendapat ini amat sesuai dan ia juga logik. Qiyas yang digunakan, iaitu berkumur, istinsyaq dan siwak adalah qiyas yang betul.
  • Penggunaan inhaler ketika serangan asma bertaraf dharurat kerana terdapat kes yang banyak kematian disebabkan tidak menggunakan rawatan seperti inhaler dan lain-lain. Hal ini kerana, ‘Abd al-Rahman Ba ‘Alawi al-Syafi‘i dalam Fatawa al-Masyhur menyebutkan, jika seseorang ditimpa penyakit telinga yang tidak tertahan sehingga tidak mampu duduk diam, kecuali dengan diletakkan ubat dalam minyak atau kapas ke dalam telinga yang boleh melegakan atau menghilangkan penderitaan tersebut, berdasarkan pengetahuan dirinya atau pemberitahuan doktor, maka harus berbuat demikian dan puasanya sah kerana alasan dharurah. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 229).

Sedangkan pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafi‘i menyatakan bahawa lubang telinga termasuk di dalam kategori lubang terbuka yang sampai kepada rongga yang batal jika masuk ain ke dalam bahagian batinnya. Tetapi di dalam keterangan di atas, pengecualian diberikan dalam keadaan darurat untuk menggunakan ubat telinga. Diketahui bahawa ubat telinga yang cair juga tidak sampai ke perut atau usus. Maka tidak batal puasa jika menggunakannya atas alasan terdesak. Begitu juga hukum orang yang sakit buasir memasukkan kembali kolon yang terkeluar daripada duburnya menggunakan jari sehingga masuk ke rongga, maka harus dan tidak batal puasa kerana darurat. (Lihat Fath al-Mu‘in, hlm. 114).

  • Namun, keadaan terdesak (dharurah) itu ditentukan mengikut kadarnya. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur:

الضَّرُوْرَةُ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 184-186).

Justeru, penggunaan inhaler itu hanyalah ketika adanya keperluan mendesak, jika tiada keperluan mendesak, maka ia tidak dibenarkan.

  • Ia bukan proses pemakanan dan tidak mengenyangkan begitu juga tidak menghilangkan dahaga tetapi hanya kepada saluran pernafasan sahaja.
  • Isu penggunaan inhaler bagi pesakit asma adalah isu yang diperselisihkan oleh para fuqaha. Justeru, adalah dibolehkan untuk kita memilih salah satu daripada dua pendapat ini selama mana ia tidak bercanggah dengan nas dan juga ijmak para ulama.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penghujahan dan ‘illah yang kami kemukakan ini, kami berpendapat bahawa penggunaan inhaler bagi pesakit asma yang serangannya tidak terkawal dan adanya keperluan mendesak untuk menggunakannya adalah tidak membatalkan puasa. Begitu juga, sebarang penyakit kronik yang memerlukan penggunaan inhaler ketika serangan adalah diharuskan. Walau bagaimanapun, kami juga mencadangkan agar pengguna tersebut hendaklah berkumur-kumur selepas selesai menggunakannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 29 Mac 2023 bersamaan 7 Ramadhan 1444H

__________________________

[1] Ini merupakan antara kaedah yang masyhur dan amat mulia dalam kalangan ulama yang merentasi mazhab. Al-Jurjani berkata: “Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah maksud dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata gambaran pada zihin pada akal dari sesuatu. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 59)

Abu al-Baqa’ al-Kafawi berkata: “Kadangkala tasawwur dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Hal ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir yang selamat daripada kesilapan. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 290)

Imam al-Ghazali turut menekankan peri pentingnya bagi seorang ilmuwan itu untuk memahami hakikat sebenar perkara yang dibahaskan sebelum itu layak untuk mengkritik atau menerimanya. Beliau menegaskan seseorang yang mengkritik sesuatu perkara tanpa terlebih dahulu memahaminya dengan mendalam adalah ibarat orang yang memanah dengan mata yang tertutup. (Lihat al-Munqiz min al-Dhalal, hlm. 578)

[2] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/963221/dua-juta-rakyat-malaysia-hidap-asma

[3] Lihat https://asthmamalaysia.org/blog/62-tidak-lena-tidur. Diakses pada 15 April 2022.

[4] Lihat http://www.myhealth.gov.my/asma/. Diakses pada 15 April 2022.

[5] Lihat https://patient.info/chest-lungs/asthma-leaflet/asthma-inhalers. Diakses pada 15 April 2022.

[6] Saiz organisma yang dibawa oleh udara seperti bakteria, virus, spora dan pollen.  

[7] Lihat fatwa beliau yang bernombor 557, yang bertajuk: “Hukum Penggunaan Inhaler bagi Pesakit Asma yang Berpuasa.” Tarikh Jawapan: 25/10/2004.

[8] Bijan | بيجن Definisi: 1. sj tumbuhan (pokok yg buahnya mengandungi minyak), ginjili, lenga, til, Sesamum orientale; 2. biji kecil berwarna keputih-putihan daripada pokok bijan yang digunakan sebagai bahan makanan dan juga menghasilkan minyak untuk masakan dan sebagainya. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=bijan&d=394756&. Diakses pada 28 Mac 2023).

[9] Menahan diri pada baki siang hari Ramadhan adalah disunatkan.

[10] Matawang syiling di Jordan, 60 piastres dianggarkan menyamai RM 3.75.

[11] Lihat fatwa no. 1389, di bawah Samahah al-Mufti al-’Am Dr. Nuh ‘Ali Salman. https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=1389#.ZB0veXZBzIU. Diakses pada 27 Mac 2023.

[12] Lihat https://www.aliftaa.jo/Article.aspx?ArticleId=164#.ZB0vf3ZBzIU. Diakses pada 27 Mac 2023.

[13] Lihat https://bit.ly/40rs6GU. Diterbitkan di laman facebook Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pada 23 Januari 2014.

[14] Lihat https://bit.ly/3nlvbtR

[15] Isu ini telah dibincangkan pada peringkat awal di dalam Majma‘ al-Fiqh al-Islami dan ia dipersetujui oleh sebahagian ahli Majma‘ sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami 93 (1/10). Majlis Majma‘ al-Fiqhi al-Islami yang diadakan pada kali ke-10 di Jeddah, Arab Saudi (23 Safar sehingga 28 Safar 1418 H bersamaan 28 Jun sehingga 3 Julai 1997 M). (Lihat juga https://iifa-aifi.org/ar/2009.html#_ftn1. Diakses pada 27 Mac 2023).

[16] Lihat keputusan Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami bernombor: 219 (3/23). (Lihat juga https://iifa-aifi.org/ar/4876.html. Diakses pada 27 Mac 2023)  

[17] Lihat Fatwa no. 6449.

[18] Lihat juga al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah (1/400), di mana mereka menukilkannya daripada rekod lengkap keputusan simposium mengenai pandangan Islam tentang beberapa permasalahan perubatan kontemporari yang diadakan di Casablanca (hlm. 639) daripada bahan penerbitan Persatuan Pengamal Perubatan.   

[19] Lihat seperti yang dinukilkan dalam https://www.imedik.org/fiqh-perubatan-dan-berpuasa-penggunaan-inhaler-membatalkan-puasa/. Diakses pada 27 Mac 2023.

[20] Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 15/265.

[21] binbaz.org.sa/fatwas/14371/حكم-استعمال-الصاىم-لبخاخ-ضيق-التنفس.

[22] Lihat http://cms.ibn-jebreen.com/fatwa/home/section/4176. Diakses pada 27 Mac 2023.

[23] Lihat laporan berita al-Masdar Online, bertarikh: 18 Ogos 2010. (https://bit.ly/3Kb8CRM)

[24] Yang ingin dimaksudkan dengan kenyataan Dr. Muhammad Haitham adalah “الجوف” yang diterjemahkan sebagai “rongga” tidak dapat difahami dengan baik oleh para doktor perubatan hari ini, akan tetapi mereka mengetahui apa yang dimaksudkan dengan “rongga” jika disandarkan pada organ badan tertentu seperti rongga dada, rongga perut, rongga hidung, rongga mulut dan sebagainya.

[25] Chyme ialah jisim separa cecair tebal makanan yang dicerna separa dan rembesan pencernaan yang terbentuk dalam perut dan usus semasa penghadaman. (Lihat https://www.britannica.com/science/chyme. Diakses pada 28 Mac 2023)

[26] Chyle, limfa yang sarat dengan lemak yang telah diserap ke dalam aliran darah dari usus kecil. Gumpalan lemak, yang memberikan chyle rupa seperti susu, mempunyai salutan protein yang nipis dan bersaiz mikron atau kurang (terdapat kira-kira 25,000 mikron hingga satu inci). Selepas makan, ia mengambil masa dua hingga tiga jam untuk lemak diserap dari usus kecil, bergerak melalui saluran limfa yang lebih besar sehingga ia mencapai saluran toraks (salah satu daripada dua batang limfa utama), dan memasuki aliran darah melalui pembukaan dari saluran ke dalam vena brachiocephalic kiri. (Urat ini mengumpul darah dari lengan kiri, leher, dan kepala). (Lihat https://www.britannica.com/science/chyle. Diakses pada 28 Mac 2023).

[27] (Enema) 1. pemasukan cecair ke dalam dubur, terutamanya untuk memudahkan buang air besar; 2. cecair yang dimasukkan ke dalam dubur, terutamanya untuk memudahkan buang air besar. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=enema. Diakses pada 28 Mac 2023).

[28] Supositori ialah ubat pejal berbentuk silinder atau kon yang dimasukkan ke dalam dubur atau faraj supaya larut dan melepaskan bahan aktifnya. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=supositori. Diakses pada 28 Mac 2023).

[29] Spekulum ialah alat yang dimasuk­kan ke dalam rongga tubuh untuk tujuan pemeriksaan. (Lihat Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=spekulum. Diakses pada 23 Mac 2023).

[30]  (Pesari) 1. sejenis ubat berbentuk pepe­jal yang dimasukkan ke dalam faraj dan melebur untuk merawat jangkitan dan sebagainya; 2. alat yang dimasuk­kan ke dalam faraj untuk menyokong uterus atau mencegah kehamilan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pesari. Diakses pada 28 Mac 2023).

[31] Kateter ialah tiub nipis yang diperbuat daripada bahan gred perubatan yang mempunyai pelbagai fungsi. Kateter ialah alat perubatan yang boleh dimasukkan ke dalam badan untuk merawat penyakit atau melakukan prosedur pembedahan. Kateter dihasilkan untuk aplikasi khusus, seperti prosedur kardiovaskular, urologi, gastrousus, neurovaskular dan oftalmik. Proses memasukkan kateter dipanggil sebagai kateterisasi. (Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Catheter. Diakses pada 28 Mac 2023).

[32] Sistoskop ialah alat yang digunakan untuk pemeriksaan bahagian dalam pundi kencing melalui saluran uretra. (Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Cystoscopy. Diakses pada 28 Mac 2023).

[33] Radiocontrast ialah bahan yang digunakan untuk meningkatkan kontras imej, untuk meningkatkan keterlihatan struktur dalaman dalam teknologi X-Ray. (Lihat https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6822330/. Diakses pada 28 Mac 2023).

[34] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=mokywlZK0Bc. Diakses pada 27 Mac 2023.

[35] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=zVLddGlw3ok. Diakses pada 27 Mac 2023.

[36] Pendapat ini boleh dirujuk dalam telegram rasmi beliau di pautan berikut: https://web.telegram.org/z/#-1241489670

[37] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=JIAg7BN1T3w. Diakses pada 29 Mac 2023.

[38] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=OUlzHHvg67I. Diakses pada 29 Mac 2023.

[39] Berdasarkan keterangan daripada pakar yang kami temui ketika menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan, kuantiti bagi setitis air adalah 0.05. Manakala kuantiti satu dos/semburan inhaler berbentuk cecair adalah 0.025 lebih sedikit berbanding setitis air. Satu dos itu juga terbahagi kepada dua, majoritinya akan ke saluran pernafasan manakala bakinya sehingga 30% berkemungkinan ke saluran makanan. Ia bergantung kepada cara penggunaannya dan masih lagi bersifat kemungkinan dan hal ini sukar untuk dielakkan kerana ia diluar kawalan. Justeru, yang masuk ke dalam saluran makanan adalah terlalu sedikit.

[40] Ini seperti mana fatwa Syeikh Ibn Baz (15/265).

[41] Ini seperti mana fatwa Syeikh Ibn al-‘Uthaimin (19/211).

[42] Kami telah merujuk kepada beberapa pakar perubatan semasa menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan dahulu, di antaranya:

  • Abdul Latif bin Mohamad, Pakar Kardiologi, Hospital Pakar Annur pada 4 Jun 2017 bersamaan 9 Ramadhan 1438H.
  • Begitu juga Dr. Mohamad Shahbodin bin Sarik, pakar kanak-kanak di Pantai Hospital Sungai Petani pada 5 Jun 2017 bersamaan 10 Ramadhan 1438H.
  • Selain itu, pada 14 Jun 2017 bersamaan 19 Ramadhan 1438 H, kami juga telah berbincang dengan Dr. Nazrila Hairizan Binti Nasir merupakan Pakar Perunding Perubatan Keluarga (Ketua Perkhidmatan Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya), Dr. Jamalul Azizi Bin Abdul Rahaman merupakan Pakar Perunding Kanan Respiratori (Ketua Perkhidmatan Respiratori Kebangsaan, Hospital Serdang), Dr. Salmah Binti  Bahri merupakan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi (Kementerian Kesihatan Malaysia), Dr. Fahmi Bin Hassan merupakan Ketua Penolong Pengarah (Amalan Dan Perkembangan Farmasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi) dan Dr. Nor Aziah Binti Abdullah merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Amalan Dan Perkembangan Farmasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM).

Leave a Reply