Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, kami pelajar universiti menghadapi peperiksaan dalam bulan Ramadhan, di mana ia memerlukan pengorbanan yang bersungguh-sungguh. Kalau kami puasa, mungkin memberi mudarat seperti boleh gagal. Apakah boleh kami berbuka?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mempelajari ilmu adalah tuntutan Islam, bukan semata-mata ilmu agama, tetapi ilmu berkenaan kehidupan juga. Ia adalah salah satu bentuk jihad dalam membasmi buta kejahilan dan kedangkalan akal fikiran. Justeru, cara yang terbaik adalah dengan menguasai ilmu. 

Allah muliakan ahli ilmu sehingga disebut banyak nas, antaranya:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”

Surah al-Zumar (9)

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.”

Surah al-Mujadalah: 11

Ibn ‘Abbas berkata: “Beza antara satu darjat dengan satu darjat, perjalanan selama jarak 500 tahun.” (Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 13)

Dan Allah menyuruh kita merujuk dalam semua bidang kepada mereka yang berkeahlian atau disebut sebagai ahli zikir. Firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Surah al-Nahl (43)

Dalam menjawab persoalan di atas, kita lebih mengetahui keadaan diri kita dan kemampuan untuk mentaqdirkan darurat sehingga keharusan berbuka. Pendapat dari Mufti Mesir, al-Allamah Dr Shauqi ‘Allam (2023), antara lain menyebut: “Harus bagi pelajar untuk berbuka jika sekiranya mereka merasakan darurat dengan sebab puasa kepada darurat yang besar, seperti boleh membawa kegagalan. Semua manusia adalah pemegang amanah kepada agamanya sendiri dan hatinya untuk mengenali tahap sebenar rukhsah yang terpakai kepadanya dan mentaqdirkan darurah sehingga keharusan baginya berbuka.”

Sejujurnya, alangkah baiknya, jika seseorang itu mampu melakukan ibadat puasa kecuali masyaqqah yang amat membebankannya serta memudaratkan seperti soalan yang diajukan ini. Bagi mereka yang berbuka, hendaklah qadha’ selepas selesai Ramadhan kerana hutang Allah lebih aula ditunaikannya. Benarlah sabda Nabi SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Hutang kepada Allah SWT itu lebih berhak untuk ditunaikan.”

Riwayat al-Bukhari (1953)

Semoga Allah kurniakan kepada kita ilmu dan basirah dalam melayari kehidupan mengikut neraca Islam.

Bertarikh: 3 April 2023 bersamaan 12 Ramadhan 1444H

Leave a Reply