Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanya kepada Dato’ Seri, adakah hukum pengharaman perang pada bulan-bulan haram masih dikekalkan hingga ke hari ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ اللَّهِ ۚ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati).”

(Surah al-Baqarah: 217)

Syeikh al-Sa’di berkata: Berperang sewaktu bulan-bulan haram di Tanah Haram (Mekah) merupakan satu mafsadah, namun demikian fitnah yang dilakukan oleh kaum Musyrikin iaitu menghalang manusia daripada agama Allah dan melakukan syirik merupakan mafsadah yang lebih besar. Maka berperang dalam keadaan tersebut adalah diharuskan. Daripada ayat ini jugalah salah satu kaedah fiqh yang masyhur diambil: “Mengambil / melakukan mudarat yang lebih kecil untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.” (Lihat Taisir al-Karim ar-Rahman, 1/89 dan 1/97)

Berkenaan persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif (116) seperti berikut:

Para ulama telah berselisih pendapat, sama ada pengharaman ini masih kekal atau telah dihapuskan. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa pengharaman tersebut telah dihapuskan hukumnya. Inilah seperti yang dinyatakan oleh Imam Ahmad dan selainnya.

Sekelompok ulama’ salaf termasuk Ata’ berpendapat bahawa larangan itu adalah kekal. Sebahagian ulama’ khalaf menguatkan pendapat ini dan mereka berdalilkan dengan ayat dari surah al-Ma’idah, di mana surah ini merupakan surah yang paling akhir diturunkan dari al-Quran. Dalam satu riwayat, dinyatakan:

أَحِلُّوا حَلَالَها وَحَرِّمُوا حَرَامَهَا

Maksudnya: “Halalkan apa yang dihalalkan dalam al-Quran dan haramkan apa yang telah diharamkan.”

Riwayat Ahmad (6606)

Pendapat lain menyatakan bahawa tidak ada yang dihapuskan dalam masalah ini.  Diriwayatkan bahawa Aisyah R.Anha berkata:

فَإِنَّهَا آخِرُ سُورَةٍ نَزَلَتْ، فَمَا وَجَدْتُمْ فِيهَا مِنْ حَلَالٍ فَاسْتَحِلُّوهُ، وَمَا وَجَدْتُمْ فِيهَا مِنْ حَرَامٍ فَحَرِّمُوهُ

Maksudnya: “Itulah surah terakhir yang diturunkan, apa yang kamu semua dapatkan padanya berupa sesuatu yang halal, maka halalkanlah. Dan apa yang kamu semua dapatkan padanya berupa sesuatu yang haram, maka haramkanlah.”

Riwayat Ahmad (25547), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11138), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (7/278) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (3210). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan, isnadnya sahih berdasarkan syarat Muslim dalam takhrij Musykil al-Athar (6/304).

Imam Ahmad juga meriwayatkan dalam Musnadnya, daripada Jabir R.A, katanya:

لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْزُو فِي الشَّهْرِ الْحَرَامِ إِلَّا أَنْ يُغْزَى – أَوْ يُغْزَوْا – فَإِذَا حَضَرَ ذَاكَ، أَقَامَ حَتَّى يَنْسَلِخَ

 Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak pernah berperang di bulan haram, kecuali jika diserang terlebih dahulu. Jika bulan haram tiba, beliau berhenti sehinggalah bulan haram itu berlalu.”

Riwayat Ahmad (14583), al-Harith dalam al-Musnad (645) dan al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar (4879). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih berdasarkan syarat Muslim dalam takhrij Syarh Musykil al-Athar.

Sebahagian ulama menyebut bahawa Nabi SAW mengepung Taif pada bulan Syawal. Ketika memasuki bulan Zu al-Qa’dah, Baginda beristirahat dan tidak memerangi orang-orang kafir, tetapi hanya mengepung mereka, kemudian kembali ke tempat semula. Begitu juga, ketika umrah dalam peristiwa Hudaibiyyah, Baginda SAW tidak berperang. Sehinggalah apabila mendengar khabar Uthman R.A dibunuh, maka Baginda membai’ah para sahabat untuk berperang. Namun, setelah jelas bahawa berita itu tidak benar, maka Baginda SAW menahan niatnya untuk memerangi kaum kafir.

Jumhur ulama’ berdalilkan bahawa para sahabat, setelah kewafatan Rasulullah SAW sibuk mengadakan perluasan wilayah ke pelbagai negeri dan melanjutkan jihad. Tidak pernah dinukilkan satu riwayat bahawa ada dari kalangan mereka yang berhenti berperang, dalam keadaan telah berniat untuk berjihad pada bulan-bulan haram. Ini menunjukkan kesepakatan mereka tentang dihapusnya hukum berperang pada bulan tersebut. Wallahu a’lam. (Lihat Lata’if al-Ma’arif Fi Ma Li Mawasim al-’Am Min al-Wazaif , hlm. 116-117)

Justeru, kami tegaskan di sini bahawa pendapat pengharaman bulan-bulan haram untuk berperang telah dinasakhkan berdasarkan nas dan amalan para sahabat selepas itu. Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita semua. Amin.

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply