Soalan: 

Assalamualaikum Dato Seri, apakah hukum sujud pada dahi?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Daripada Abdullah Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ على سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الجَبْهَةِ، وأَشارَ بيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ واليَدَيْنِ والرُّكْبَتَيْنِ، وأَطْرافِ القَدَمَيْنِ

Maksudnya: “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, iaitu dahi (sambil Baginda SAW mengisyaratkan tangganya ke bahagian atas hidung), kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.”

Riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas menyatakan bahawa sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh dan mesti seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab Syafie, Malik dan kebanyakan ahli ilmu. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 4/206)

Dalam hadith riwayat Abu Humaid RA, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا سَجَدَ أَمْكَنَ أَنْفَهُ وَجَبْهَتَهُ مِنَ الأَرْضِ، وَنَحَّى يَدَيْهِ عَنْ جَنْبَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ.

Maksudnya:Sesungguhnya Nabi SAW bila bersujud, Baginda akan sentuhkan hidungnya dan dahinya dengan tanah dan baginda menjauhkan kedua-dua belah tangan daripada dua rusuknya dan meletakkan kedua-dua belah tapak tangan selari dengan dua bahunya.”

Riwayat al-Tirmizi (270)

Syeikh al-Mubarakfuri dalam syarahnya menyebutkan, “Jumhur mengatakan bahawa wajib sujud dengan dahi tanpa disekalikan dengan hidung.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi,2/125)

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, turut dijelaskan berkenaan syarat sujud. Untuk menjadikan sujud itu sah, perlu diberi perhatian kepada beberapa perkara. Antaranya, menyentuh tempat sujud dengan dahi yang terdedah. Selain itu, hendaklah ditekankan dahi di tempat sujud sehingga sekiranya kapas atau seumapanya yang diletakkan di bawah dahi tertindih dan meninggalkan kesan sujud yang jelas di atasnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/379)

Kesimpulannya, hukum sujud pada dahi ketika sembahyang adalah wajib tanpa perselisihan ulama dan lebih aula (baik) jika seseorang itu sujud pada keseluruhan dahi tersebut. Ini kerana, yang dituntut ketika sujud itu adalah menyentuh sebahagian dahi seseorang yang sembahyang itu ke atas tempat sujudnya.

Di samping itu, tidak memadai perbuatan sujud itu dengan hanya sekadar menyentuh atau meletakkan dahi ke atas tempat sujud. Bahkan wajib ditetapkan seketika dahi pada tempat sujud dan diberikan sedikit tekanan berat daripada kepala dan tengkuk pada dahi tersebut.

Semoga kita diberi kefahaman berkenaan dengan agama kita dalam hukum-hakam berkaitan solat. Dan ianya menjadikan solat kita lebih sempurna. Marilah sama-sama kita berdoa semoga kita menjadi ahli solat dan juga zuriat kita.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply