Soalan:

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu soalan. Apakah hukum menyembelih ayam jantan berwarna putih dalam Islam Bahkan sebahagian tempat mengkhususkan untuk menyembelih ayam hitam bagi satu-satu upacara? Mohon pencerahan Datuk.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat Abu Musa al-Asy‘ari bahawa beliau berkata:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْكُلُ دَجَاجاً

Maksudnya: “Aku telah melihat Nabi SAW makan (daging) ayam

Riwayat al-Bukhari (5517)

Al-Mubarakfuri menyebutkan, hadith di atas menunjukkan bahawa diharuskan untuk memakan ayam jinak dan ayam liar secara sepakat para ulama. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/450).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya, ayam jantan tidak kira warna apa pun, sama ada berwarna putih, warna hitam atau warna selainnya termasuk dalam jenis binatang yang dihalalkan oleh Allah SWT untuk dimakan. Justeru, boleh untuk menyembelihnya dan tidak menjadi masalah kerana hukum asalnya adalah halal untuk dimakan.

Walau bagaimanapun, sembelihan yang dilakukan kepada ayam tersebut mestilah memenuhi syarat-syarat penyembelihan mengikut syariat. Dalam bahasa mudahnya, ia disembelih kerana Allah SWT bagi mendapatkan dagingnya dan bukannya disembelih untuk acara pemujaan atau tujuan-tujuan seumpamanya. Ringkasnya, menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, penyembelihan mengikut syariat dapat disempurnakan dengan beberapa syarat, iaitu:

  1. Hendaklah disembelih binatang itu atau dilakukan nahr dengan alat yang tajam yang dapat mengeluarkan darah dan memutuskan urat pernafasan, meskipun peralatan itu daripada batu atau kayu. 
  2. Hendaklah disembelih pada leher atau pada lubbah (jika dilakukan nahr). Perkara itu adalah dengan dipotong pada lehernya yang akan menyebabkan mati kerananya atau ditusuk pada lubbahnya yang juga akan menyebabkan mati kerananya.
  3. Hendaklah dia tidak menyebut selain daripada nama Allah SWT. Perkara ini telah disepakati oleh semua ulama. Sebabnya golongan jahiliyah biasanya mendekatkan diri mereka kepada tuhan-tuhan mereka dan berhala-berhala mereka dengan menyembelih binatang kerana tuhan dan berhala tersebut, sama ada dengan disebutkan nama-nama tuhan atau berhala ketika menyembelihnya atau dengan menyembelihnya kepada berhala-berhala tersebut secara khusus. 
  4. Hendaklah dia menyebut nama Allah SWT ke atas sembelihan itu (ketika menyembelihnya), dan perkara ini adalah jelas (zahir) berdasarkan semua nas yang ada; al-Quran al-Karim dan al-Sunnah. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 55-56).

Begitu juga dalam ruangan yang lain, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan, termasuk dalam jenis haiwan yang diharamkan (untuk dimakan) ialah apa yang disembelih bukan kerana Allah SWT. Binatang yang disembelih dan yang ditujukan bukan dengan nama Allah SWT adalah seperti sembelihan yang dimaksudkan atau ditujukan untuk patung-patung berhala. Ini kerana selalunya penyembah berhala sering menyebut nama-nama berhala itu ke atas penyembelihan mereka, seperti nama Lata, ‘Uzza dan lain-lain. Semua ini adalah untuk mendekatkan diri kepada selain Allah SWT dan beribadat dengan selain nama-Nya Yang Maha Agung.

Justeru, ‘illah (sebab) pengharaman di sini ialah `illah agama semata-mata, dengan tujuan memelihara tauhid (pengesaan Tuhan), membersihkan kepercayaan (akidah) dan memerangi syirik dan upacara keberhalaan pada semua upacaranya.

Sesungguhnya Allah SWT sahajalah yang mencipta manusia, dan ditundukkan segala yang ada di muka bumi ini kepada manusia serta dijinakkan sesetengah binatang untuk kepentingannya dengan membolehkan mencabut nyawanya untuk kemaslahatan dirinya dengan syarat disebutkan nama Allah SWT ketika menyembelihnya. Menyebut nama Allah SWT ketika penyembelihan itu membawa maksud dia melakukan seperti itu terhadap binatang yang hidup dengan keizinan daripada Allah SWT dan keredhaan-Nya.

Akan tetapi jika dia menyebut selain dari nama Allah SWT ketika menyembelih binatang itu, maka samalah seperti dia membatalkan keizinan itu, dan wajarlah untuk diharamkan memakan binatang yang disembelihnya dengan cara yang sedemikian. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 46).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menyembelih mana-mana ayam, tidak kira yang berwarna putih mahupun hitam atau warna-warna yang lain. Hal ini kerana ayam itu sendiri termasuk dalam jenis haiwan yang telah dihalalkan oleh Allah SWT untuk dimakan. 

Walau bagaimanapun, penyembelihan tersebut mestilah dilakukan kerana Allah SWT bagi mendapatkan dagingnya (untuk dimakan) dan bukannya bertujuan untuk tujuan-tujuan lain. Sekiranya ayam itu tidak kira berwarna hitam atau putih disembelih bagi suatu upacara pemujaan atau demi berhala, jin, dan penunggu tertentu, atau bukan kerana Allah, maka ia adalah haram untuk dimakan sekalipun disebut nama Allah ketika proses penyembelihannya. Bahkan perbuatan tersebut dikhuatiri akan menjerumuskan pelakunya kepada kesyirikan. Na‘uzubillah min zalik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

 

Bertarikh:10 April 2023 bersamaan 19 Ramadhan 1444H

Leave a Reply