Soalan:

Kalau seseorang mengeluarkan air mani secara beronani dalam keadaan dia tahu hukumnya haram, tetapi tidak tahu hukumnya membatalkan puasa, adakah terbatal puasanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Onani bermaksud mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani menggunakan tangan isteri.[1]

Hukum perbuatan beronani menurut kebanyakan ulama’ adalah haram dan wajib ke atas pelakunya untuk mandi jika terkeluar air mani. Allah SWT berfirman:

فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya: “Kemudian siapa yang menginginkan selain dari yang demikian (isteri atau hamba perempuan mereka), maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”[2]

Imam al-Syafi‘i ketika mengulas ayat di atas menyebutkan: “tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Begitu juga tidak halal perbuatan beronani.”[3]

Dalil yang kewajipan mandi wajib jika terkeluar air mani adalah berdasarkan hadith ‘Aisyah RA katanya:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يَجِدُ الْبَلَلَ وَلاَ يَذْكُرُ احْتِلاَمًا قَالَ : يَغْتَسِلُ. وَعَنِ الرَّجُلِ يَرَى أَنَّهُ قَدِ احْتَلَمَ وَلاَ يَجِدُ الْبَلَلَ قَالَ: لاَ غُسْلَ عَلَيْهِ. فَقَالَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ: الْمَرْأَةُ تَرَى ذَلِكَ أَعَلَيْهَا غُسْلٌ قَالَ: نَعَمْ ، النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati dirinya basah tetapi dia tidak ingat mimpinya. Rasulullah SAW menjawab: ‘Dia hendaklah mandi.’ Baginda juga ditanya tentang seorang lelaki yang bermimpi tetapi mendapati dirinya tidak basah. Baginda menjawab: ‘Dia tidak wajib mandi.’ Kemudian Ummu Sulaim pula bertanya: ‘Jika perempuan bermimpi demikian, adakah dia wajib mandi?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Ya, kerana perempuan ialah pasangan kepada lelaki’.”

 Riwayat Abu Dawud (236)

Berdasarkan hadith di atas, ulama’ menyimpulkan bahawa mandi hanya diwajibkan jika seseorang terkeluar air mani, adapun jika air mani tidak keluar maka tidak wajib ke atasnya untuk mandi. Imam al-Nawawi menyebutkan: “Sekiranya seorang lelaki mencium perempuan kemudian dia terasa seakan air mani ingin keluar, lalu dia menahan zakarnya dan air mani tidak keluar, dan dia juga tidak mengetahui (nampak tanda-tanda) keluarnya air mani tersebut selepas itu, maka majoriti ulama termasuk mazhab Syafi‘i berpendapat tidak perlu mandi wajib.”[4]

Tidak Tahu Onani Membatalkan Puasa

Ulama’ berbeza pendapat berkenaan masalah ini sama ada ia membatalkan puasa atau tidak.

Sebahagian ulama’ mensyaratkan ilmu (mengetahui) bahawa perkara tersebut membatalkan puasa, tanpa memperincikan masalah tersebut jika orang tersebut baru memeluk islam atau tinggal di pedalaman yang jauh dari masyarakat islam.

Kata Sheikh Muhammad Bin Salih Al-‘Uthaimin: “Pendapat yang benar adalah mensyaratkan ilmu (mengetahui ia membatalkan puasa), ia berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadith Nabi SAW. Maka syarat-syarat perkara yang membatalkan puasa ada tiga: Tahu (tidak jahil), ingat (tidak lupa) dan sengaja (bukan dipaksa).”[5] Antara yang meletakkan syarat ilmu (mengetahui) ini ialah Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah seperti di dalam Al-Fatawa Al-Kubra[6] dan Imam Ibn Al-Qayyim di dalam I‘lam Al-Muwaqqi‘in[7].

Mereka menjelaskan, puasa seseorang itu dikira terbatal jika dia melakukannya dalam keadaan dia tahu bahawa perkara tersebut membatalkan puasa. Hal yang demikian kerana jika dia tahu, berkemungkinan dia tidak akan melakukannya. Terdapat banyak ayat al-Quran menyebutkan bahawa seseorang tidak akan dihukum melainkan sampai padanya penerangan tentang perkara yang benar dan salah. Antaranya firman Allah SWT:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا

Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengazab sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan salah).”[8]

Dan juga firman Allah SWT:

لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ

Maksudnya: “supaya tidak ada bagi manusia hujah (alas an untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu.”[9]

Pernah juga terjadi peristiwa di mana seorang sahabat tersilap memahami ayat dalam surah Al-Baqarah ayat 187 tentang tempoh yang dibolehkan untuk makan ketika malam Ramadhan. Sebahagian mereka ada yang meneruskan makan sehinggalah benang hitam yang diikat di kaki mereka menjadi jelas, sedangkan waktu fajar telah lama masuk.

Firman Allah SWT:

الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنْ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ

Maksudnya: “Benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam).”[10]

Rasulullah SAW tidak memerintahkan sahabat yang tidak tahu itu untuk memperbaharui puasanya hanya kerana dia tersilap faham ayat di atas secara literal.

Sebahagian ulama’ Mazhab Syafi‘i menyatakan, puasanya tidak batal secara umumnya jika dia jahil (tidak tahu) perkara tersebut membatalkan puasa. Ini merupakan pendapat yang kuat di sisi Sheikh Zakariyya Al-Ansariy, beliau mengatakan orang tersebut diibaratkan seperti baru memeluk islam.[11] Ini adalah pandangan yang dipegang oleh Sheikh Abdul Wahid Al-Ruyani seperti di dalam kitabnya Bahr al-Mazhab.[12]

Sebahagian yang lain pula memperincikan perbahasan ini berdasarkan keadaan orang tersebut.

Jika dia baru memeluk islam, atau menetap di kawasan pedalaman yang jauh daripada ulama’ dan masyarakat islam, maka puasanya tidak batal kerana jahil. Kata Imam Al-Nawawi: Jika orang yang sedang berpuasa makan, minum, atau bersetubuh kerana dia jahil tentang pengharamannya (di siang hari Ramadhan), jika dia baru sahaja memeluk islam atau menetap di pedalaman yang jauh (daripada ulama’ dan masyarakat islam) -yang mana boleh jadi tidak sampai padanya bahawa perbuatan tersebut membatalkan puasa, puasanya tidak terbatal, dia juga tidak berdosa kerana diumpamakan seperti orang yang lupa.”[13]

Jika perbuatan tersebut telah jelas hukumnya haram, maka puasa orang tersebut tetap terbatal walaupun jahil (tidak tahu) ianya membatalkan puasa. Pandangan ini disebutkan oleh Sheikh Abu Bakar Al-Bakri Al-Dimyati di dalam I‘anah Al-Talibin: “Tidak diberikan keuzuran melainkan jika dia jahil (tidak tahu) tentang sesuatu itu haram dan membatalkan puasa. Jika dia tidak jahil tentang kedua perkara tersebut – yakni tahu bahawa perbuatan tersebut haram dan membatalkan puasa, atau dia tahu akan salah satu daripada dua perkara tersebut dan jahil tentang yang lainnya, maka puasanya telah rosak dan dia tidak diberikan keuzuran. Ini kerana jika dia mengetahui perkara tersebut adalah diharamkan tetapi tidak tahu ia membatalkan puasa, ataupun sebaliknya, sepatutnya dia tidak melakukannya.”[14]

Demikian seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi: “Jika dia berada dalam persekitaran masyarakat islam yang memungkinkan dia untuk tahu bahawa perbuatan tersebut adalah haram, maka puasanya terbatal kerana dia ibarat menghina (bulan Ramadhan).”[15]

Hal yang demikian kerana terdapat sebuah hadith daripada Rafi‘ bin Khadij bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَفْطَرَ الْحَاجِمُ والمَحْجُومُ

Maksudnya: “Telah berbuka (terbatalnya puasa) orang yang membuat bekam dan orang yang dibekam.”

Riwayat Tirmizi (774), Al-Albani mensahihkan hadith ini.

Di dalam hadith di atas, Rasulullah SAW tidak memberikan keringanan kepada dua orang tersebut meskipun mereka tidak tahu akan pengharamannya di siang Ramadhan.[16]  Beginilah yang disebutkan oleh Ibn Qudamah di dalam kitabnya Al-Kafi, kerana mereka tidak tahu pada perkara yang tidak diberikan keuzuran padanya (disebabkan perkara tersebut masyhur dalam masyarakat).[17]

Kesimpulan

Kami cenderung memilih pandangan Mazhab Syafi‘i yang mengatakan batal puasa jika beronani pada siang hari Ramadhan walaupun tidak tahu ia membatalkan puasa. Hal ini kerana perbuatan beronani adalah haram dan wajib ditinggalkan. Tambahan pula ia dilakukan di siang hari bulan Ramadhan seakan mempersendakan bulan suci ini.

Hal yang demikian kerana ia dianggap sebagai satu penghinaan terhadap bulan suci Ramadhan apabila dilakukan dalam keadaan dia mengetahui pengharamannya.

Manakala pendapat yang meletakkan ilmu (mengetahui bahawa perbuatan tersebut membatalkan puasa) sebagai salah satu syarat untuk puasa seseorang itu terbatal, ia hanya boleh terpakai jika diyakini orang tersebut baru memeluk islam, atau diyakini tidak sampai padanya hukum tersebut kerana tinggal berjauhan dari masyarakat islam.

Akhir kata, kami menasihatkan agar orang tersebut dapat bersabar. Berkahwinlah jika berkemampuan agar syahwatnya dapat disalurkan dengan cara yang dihalalkan, serta banyak menyibukkan diri dengan amal ibadat dan berpuasa jika dia belum berkemampuan untuk berkahwin. Nabi SAW bersabda di dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: ““Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang mampu untuk (membiayai) perkahwinan, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).”

Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)

Wallahua‘lam.

 

[1] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97.

[2] Surah Al-Mukminun: 7.

[3] Lihat Al-Umm, 5/102.

[4] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/140.

[5] Lihat Al-Syarh Al-Mumti‘, 6/387.

[6] Lihat Al-Fatawa Al-Kubra, 2/19.

[7] Lihat I‘lam Al-Muwaqqi‘in, 4/66.

[8] Surah Al-Isra’: 15.

[9] Surah Al-Nisa’: 165.

[10] Surah Al-Baqarah: 187.

[11] Lihat Asna Al-Matalib, 1/415.

[12] Lihat Bahr al-Mazhab, 3/260.

[13] Lihat Al-Majmu‘, 6/352.

[14] Lihat I‘anah Al-Talibin, 2/260.

[15] Lihat Al-Majmu‘, 6/352.

[16] Lihat Al-Mughni, 4/368.

[17] Lihat Al-Kafi, 1/443.

Bertarikh:13 April 2023 bersamaan 22 Ramadhan 1444H#

Leave a Reply