Soalan

Apakah disunatkan melakukan idhtiba’ ketika melakukan tawaf wada’?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Idhtiba’ (اضطباع) ialah seseorang lelaki yang berihram dengan meletakkan kain selendang yang dipakainya di bawah ketiak kanan dan kemudian melemparkan hujung kain tersebut ke sebelah tengkuk kiri dan membiarkan bahu kanannya terbuka. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 5/109)

Dalam al-Taqrirat al-Sadidah, Idhtiba’ adalah meletakkan kain ihram yang dipakainya di bawah ketiak kanan dan kemudian melemparkan hujung kain tersebut ke sebelah tengkuk kiri dan membiarkan bahu kanan terbuka. Hukumnya adalah sunat di sisi mazhab Syafie (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 482). 

Hukum idhtiba’ adalah sunat (mustahab) sebagaimana riwayat daripada Ibn Ya’la meriwayatkan daripada bapanya bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم طَافَ بِالْبَيْتِ مُضْطَبِعًا وَعَلَيْهِ بُرْدٌ

Maksudnya: “Nabi SAW melakukan tawaf di Baitullah dalam keadaan beridhtiba‘ dan Baginda memakai Burd (sejenis pakaian).”

Riwayat al-Tirmizi (859)

Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis di atas menukilkan daripada al-Qari yang menyatakan, idhtiba‘ dan ramal (berlari-lari anak) adalah disunatkan pada setiap tawaf yang selepasnya dilakukan sa‘ie. Selain itu, idhtiba‘ juga adalah disunatkan pada setiap pusingan berbeza halnya dengan ramal. Selain daripada itu, idhtiba‘ tidak disunatkan pada selain tawaf, dan apa yang dilakukan oleh orang awam iaitu dengan beridhtiba‘ ketika bermulanya ihram semasa haji atau umrah adalah sesuatu yang tiada asal baginya, bahkan dimakruhkan semasa solat. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/506).

Manakala perkataan Ramal yang dimaksudkan adalah merujuk kepada perbuatan seseorang itu bersegera dalam berjalan atau berjalan dengan laju semasa tawaf serta bergoncang kedua bahunya. Perbuatan Ramal ini adalah di antara perkara sunat dalam tawaf dan disunatkan pada tiga pusingan tawaf yang pertama yang terdapat sa’ie selepasnya. Inilah pendapat majoriti para fuqaha dan mereka turut menyatakan bahawa perbuatan Ramal ini hanyalah disunatkan kepada golongan lelaki sahaja dan bukannya orang perempuan.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَصْحَابَهُ اعْتَمَرُوا مِنَ الْجِعْرَانَةِ فَرَمَلُوا بِالْبَيْتِ وَجَعَلُوا أَرْدِيَتَهُمْ تَحْتَ آبَاطِهِمْ قَدْ قَذَفُوهَا عَلَى عَوَاتِقِهِمُ الْيُسْرَى

Maksudnya: “Rasulullah SAW dan para sahabatnya melakukan umrah dari Ji‘ranah, maka mereka melakukan ramal (berlari-lari anak) mengelilingi al-Bait (Kaabah) dan memasukkan pakaian ihram mereka di bawah ketiak mereka (sebelah kanan), dan melemparkan hujungnya (iaitu yang datang dari bawah ketiak kanan) ke atas bahu kiri mereka.”

Riwayat Abu Dawud (1884)

Sebagaimana yang saya nukilkan daripada Hasyiah al-Idhah oleh Ibn Hajar al-Haitami, makruh meninggalkan idhtiba’ dan ramal bagi orang yang mengerjakan tawaf (pada tiga pusingan pertama) tanpa keuzuran seperti yang dinaskan oleh Imam Syafi’i. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-’Umrah, hlm. 174).

Tawaf yang dituntut untuk melakukan Idhtiba’

Idhtiba’ dan ramal hanya disunatkan pada tawaf umrah dan tawaf Qudum bagi yang mereka yang melaksanakan haji ifrad dan qiran. Adapun pada selain daripada kedua tawaf ini, maka idhtiba’ dan ramal tidak disyari’atkan. Bahkan tawaf ifadhah (tawaf haji) tidak ada idhtiba’ dan ramal, sama ada ia dilakukan dalam keadaan berihram atau tidak.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَرْمُلْ فِي السَّبْعِ الَّذِي أَفَاضَ فِيهِ

Maksudnya:Nabi SAW tidak melakukan ramal pada ketujuh putaran dalam tawaf ifadhah”.

Riwayat Abu Dawud (2001)

Idhtiba’ dan ramal ini saling berkait, jika disyariatkan ramal maka disyariatkan juga idhtiba’, jika tidak ada ramal, maka tidak adalah idhtiba’.

Imam al-Nawawi berkata: “Idhtiba’ ini tidak dapat dipisahkan dengan ramal, pada saat dihukumkan sebagai sunat ramal maka demikian juga dengan idhtiba’, dan jika ramal tidak disunatkan maka idhtiba’ juga demikian — yakni tidak disunatkan. Sekiranya ada perbezaan pendapat, maka perbezaan tersebut juga terjadi pada ramal dan idhtiba’, dan tidak ada perbezaan pendapat dalam hal ini. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/43)

Beliau juga berkata: “Ramal dan idhtiba’ itu berbeza dalam satu perkara sahaja, iaitu idhtiba’ itu disunatkan pada tujuh kali pusingan tawaf, adapun ramal hanya disunatkan pada tiga pusingan pertama sahaja, dan pada empat pusingan seterusnya dilakukan dengan berjalan biasa”. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/20)

Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa disunatkan idhtiba’ dan ramal pada tawaf umrah dan tawaf Qudum. Lalu beliau menyatakan, tidak disunatkan ramal dan idhtiba’ ketika tawaf kecuali pada apa yang telah kami sebutkan (tawaf umrah dan tawaf qudum). Hal ini kerana Nabi SAW dan para sahabat Baginda hanya melaksanakan ramal dan idhtiba’ pada keadaan tersebut. (Lihat al-Mughni, 5/221).

Al-Lajnah al-Daimah dalam fatwanya menyebut: “Disunatkan untuk melakukan idhtiba’ pada semua pusingan ketika tawaf Qudum secara khusus, sebagaimana juga disyari’atkan ramal pada tiga pusingan pertama pada saat tawaf Qudum bagi jemaah haji dan umrah.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 11/225)

Idhtiba’ ketika tawaf wada’

Berdasarkan persoalan di atas, tawaf wada’ tidak disunatkan untuk dilakukan idhtiba’ padanya kerana ia tidak termasuk dalam tawaf yang dituntut untuk melakukan idhtiba’ seperti tawaf umrah dan tawaf qudum (hal ini jika seseorang itu tawaf wada’ dalam keadaan memakai ihram).

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply