Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, semoga sentiasa dalam rahmat dan redha Allah. Saya nak tanya satu soalan. Saya pergi memikat ayam hutan, kemudian saya dapat seekor dan saya letak di dalam beg. Kemudian, saya lihat ayam itu seperti nyawa-nyawa ikan, mukanya menjadi biru tetapi masih hidup, saya ambil pisau dan saya sembelih Adakah boleh untuk saya makan ayam tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, sembelih binatang adalah salah satu daripada cara menjadikannya halal untuk dimakan. Antara syarat sembelihan ialah:

  • Binatang mestilah hidup
  • Hidup tersebut bersifat mustaqirrah atau tetap

Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ۚ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ ۗ 

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (iaitu binatang yang tidak disembelih), darah, daging babi, dan binatang yang disembelih untuk selain Allah, (binatang) yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu bertenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Demikian itu adalah perbuatan fasik.”

Surah al-Maidah (3)

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT telah mengharamkan memakan binatang tercekik, terjatuh, dipukul, ditanduk oleh binatang lain atau yang diterkam oleh binatang buas kecuali yang sempat disembelih ketika nyawanya masih ada. 

  • Ibn ‘Abbas RA berkata, “Mana-mana dari binatang tersebut yang sempat kamu sembelih ketika ia masih mempunyai ruh/nyawa, maka makanlah kerana ia adalah bersih.”
  • Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada Saidina ‘Ali RA, “Jika binatang tersebut menggerakkan ekornya atau menggerakkan kakinya atau mengerdip matanya (selepas kamu menyembelihnya), maka makanlah.”
  • Ibn Jarir meriwayatkan juga daripada Saidina ‘Ali RA “Jika binatang yang tercekik, dipukul, terjatuh dan sebagainya itu sempat kamu menyembelihnya ketika ia masih menggerakkan kakinya, maka makanlah.”
  • Tawus dan al-Hasan juga berkata, “Binatang yang disembelih jika ia masih bergerak dengan suatu pergerakan yang menunjukkan ia masih ada nyawa pada badannya selepas disembelih, maka ia adalah halal.”
  • Imam Ahmad berkata, “Jika ia menggerakkan ekornya, mengerdipkan matanya dan mengalir keluar darah darinya (selepas disembelih), haruslah memakannya.” 

Berdasarkan pendapat para sahabat dan ulama ini, dapatlah kita memahami dengan lebih sempurna maksud ‘memiliki nyawa yang tetap (hayah mustaqirrah)’ yang kita sebutkan tadi.

Saya katakan isu yang anda bangkitkan tadi masih menjadi perbincangan. Justeru, saya katakan, jika masih lagi hidup, maka hukumnya halal dimakan apabila disembelih. Sementelahan lagi, cara untuk mendapatkannya melalui memikat yang mungkin terdapat sedikit kecederaan.

Semoga jawapan ini dapat memberi kelegaan dan kefahaman kepada kita dalam berinteraksi dengan binatang atau haiwan buruan.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply