Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya tentang sujud sajadah. Ketika solat tarawih, imam membaca surah yang bukan selalu dibaca, dan sujud sajadah. Di bahagian Muslimah, kami tak nampak yang imam sujud sajadah, jadi Muslimat semua rukuk. Kemudian imam bangun dan meneruskan bacaan surah tersebut. Apakah yang perlu dilakukan oleh makmum yang rukuk ketika imam sujud sajadah supaya solat tidak terbatal? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan takrif sujud sajadah dan sujud tilawah. Sujud sajadah adalah merupakan sujud yang yang dilakukan ketika seseorang itu membaca atau mendengar ayat sajadah. (Lihat Sujud Tilawah Wa Ahkamuhu, hlm. 17; al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 112)

Sujud tilawah membawa takrifan yang sama dengan sujud sajadah. Akan tetapi perbezaan antara keduanya adalah sujud sajadah dilakukan di dalam sembahyang, manakala sujud tilawah dilakukan di luar sembahyang.

Amalan ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ، فَيَقْرَأُ سُورَةً فِيهَا سَجْدَةٌ، فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ مَعَهُ، حَتَّى مَا يَجِدُ بَعْضُنَا مَوْضِعًا لِمَكَانِ جَبْهَتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika membaca al-Quran dan baginda membaca surah yang terdapat padanya ayat sajadah, maka baginda bersujud dan kami turut bersujud bersamanya sehingga tiada bagi kami tempat untuk sujud.”

(Riwayat Muslim: 575)

Terdapat beberapa tempat dalam al-Quran diperintahkan kita untuk sujud tilawah atau jika dalam solat disebut sebagai sujud sajadah. Antaranya:

  • Surah al-A’raf ayat 206
  • Surah al-Ra’d, ayat 15
  • Surah al-Nahl, ayat 49-50
  • Surah al-Isra’, ayat 109
  • Surah Maryam, ayat 58
  • Surah al-Hajj, ayat 18
  • Surah al-Hajj, ayat 77
  • Surah al-Furqan, ayat 60
  • Surah al-Naml, ayat 25-26
  • Surah al-Sajdah, ayat 15
  • Surah Fussilat, ayat 38
  • Surah al-Najm, ayat 62
  • Surah al-Insyiqaq, ayat 21
  • Surah al-’Alaq, ayat 19

Dalam masalah ini, teruskan sahaja mengikut imam. Ini kadang-kadang berlaku bukan sekadar di tempat kita, tetapi di masjidil haram dan Masjid Nabi SAW pun berlaku. Pernah sekali saya solat di Masjid Nabawi di mana imam membaca surah yang terdapat ayat sajadah, lantas dia rukuk kemudian bangkit dari rukuk sedangkan makmum yang memahaminya terus sujud sajadah. Apabila hal ini berlaku, maka menjadi perbincanganlah di kalangan para pelajar dan guru. Lantas, seorang syeikh bernama Syeikh Ghunaiman telah memberi pandangan sehingga melegakan semua pihak.

Justeru, saya katakan dalam isu di atas amat perlu para Muslimah bahkan makmum keseluruhannya mempelajari al-Quran dan mengenali ayat-ayat sajadah agar dapat mengikuti pergerakan imam sama ada dia sujud sajadah atau dia hanya rukuk sahaja. Saya katakan, jika terjadi seperti persoalan yang ditanya, maka selepas daripada imam bangkit dari sujud sajadah dengan takbir, sedangkan makmum yakni Muslimat bangkit dari rukuk, teruskan mengikut seperti biasa. Kerana perbuatan ini adalah tersilap atau tersalah. 

Apabila imam rukuk, maka rukuklah dan ikutlah imam sehingga selesai salam. Wallahu a’lam.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply