Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin solat berjemaah di masjid tapi saya ada ibu di rumah yang solatnya cuma atas kerusi. maknya, dia tak dapat nak solat dengan sempurna akibat sakit lutut. jadinya, mana lebih afdhal bagi saya, solat berjemaah di masjid atau saya berjemaah dengan ibu saya di rumah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat berjemaah adalah tuntutan di dalam Islam. Sebahagian mazhab menganggap hukumnya wajib seperti mazhab Hanbali. Dengan sebab itu, terlalu banyak nas yang menggesa kita melakukan soat berjemaah. Antaranya, daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali darjat.”

 Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (1477)

Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Nabi SAW:

لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَتُقَامَ ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى مَنَازِلِ قَوْمٍ لَا يَشْهَدُونَ الصَّلَاةَ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.”

Riwayat al-Bukhari (2420) dan Muslim (651)

Berdasarkan kepada kes saudara, saya syorkan saudara gabungkan dua perkara, pergi ke masjid dan setelah itu solat dengan ibu saudara di rumah. Hal ini berdasarkan kepada perbuatan Muaz bin Jabal yang datang solat bersama Nabi SAW dan sesudah itu beliau menjadi imam di masjid. Ini kerana beliau meraikan dua tuntutan. Sebenarnya, solat yang kedua hukumnya menjadi sunat kerana telah selesai dengan fardhu apabila dilakukan solat kali yang pertama. 

Daripada Jabir bin Abdullah, katanya:

أَنَّ مُعَاذَ بْنَ جَبَلٍ كَانَ يُصَلِّي مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِشَاءَ ثُمَّ يَأْتِي قَوْمَهُ فَيُصَلِّي بِهِمْ تِلْكَ الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Bahawasanya Mu’az bin Jabal pernah solat Isya’ bersama Rasulullah SAW. Kemudian dia pergi kepada kaumnya dan mengimami mereka solat (yang telah ditunaikannya) tersebut.”

Riwayat Muslim (465), Abu Daud (599) dan Ahmad (14241)

Saya juga katakan, berbaktilah kepada ibu anda saat dia masih hidup bersama dengan anda. Hal ini selaras dengan perintah Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

(Surah al-Isra’: 23)

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply