Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Soalan saya dari anak saya. Sekiranya seorang telah membunuh orang lain, lalu dihukum gantung, apakah hukum orang yang menggantung si pembunuh itu? Apakah dia patut dihukum gantung juga? Sekian terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ‎

Maksudnya: “Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 179)

Imam al-Baiḍawi berkata: “Kalimah al-qisas (الْقِصَاصِ) ditaʿrifkan dan ḥayah (حَيَاةٌ) dinakirahkan, untuk merujuk kepada hukum yang menjamin suatu bentuk kehidupan yang lebih signifikan. Itu kerana seseorang yang ingin membunuh akan mencegah dirinya daripada membunuh apabila mengetahui hukum tersebut lalu menjadi sebab terjaminnya dua nyawa di situ (mangsa dan pembunuh). Ini juga kerana (pada zaman Jahiliyyah) mereka akan membunuh semua orang (yakni kabilah si pembunuh itu). Dibunuh satu kumpulan atas kesalahan seorang sahaja. Maka ini akan mendatangkan fitnah kekacauan antara pihak-pihak yang terlibat. Justeru, apabila qisas hanya berlaku kepada pembunuh sahaja, maka selamatnya orang lain dan inilah sebab bagi keselamatan nyawa mereka.” (Lihat Anwār al-Tanzīl wa Asrār al-Ta’wīl, 1/122) 

Firman Allah SWT dalam ayat yang lain:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى ۖ الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. 

(Surah al-Baqarah: 179)

Berdasarkan kepada soalan di atas, kami berpandangan bahawa hukum qisas ke atas kesalahan membunuh dengan cara digantung juga menepati syariat kerana kedua-duanya bermatlamatkan kepada qisas yang dibalas dengan setimpal, iaitu kematian. Cuma kaedah dan cara pelaksanaannya berbeza.

Hal ini berasaskan kepada ijtihad serta pandangan pemerintah sesebuah negara. Ia juga tertakluk kepada kemaslahatan yang difikirkan oleh pihak pemerintah, selaras dengan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.”  

Kami mengharapkan mereka yang berada dalam situasi ini perlulah memohon keampunan kepada Allah SWT, bertaubat dengan taubat nasuha yang akhirnya menjelmakan keampunan daripada Allah SWT. Kisah seorang lelaki yang membunuh 99 orang dan akhirnya kepada 100 yang disebut oleh Imam al-Nawawi dalam Riyadh al-Solihin dengan panjang lebar adalah jawapan betapa keampunan Allah SWT amatlah luas. 

Berkenaan persoalan apakah dia patut dihukum gantung juga, yakni kepada penggantung, jawapnya tidak. Ini kerana beliau melaksanakan perintah Allah SWT. Begitu juga, seperti orang yang melaksanakan perintah memotong tangan si pencuri apabila cukup syaratnya. Juga tidak dipotong tangannya. Ini kerana, melaksanakan tanggungjawab bagi hukuman hudud.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply