Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Malik memakruhkan puasa 6 hari pada bulan Syawal dan apakah sebabnya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Apabila tibanya Syawal, antara amalan sunat yang boleh dilakukan ialah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Hal ini sebagaimana hadith yang menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan riwayat daripada Abu Ayub al-Ansari RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.”

Riwayat Muslim (1164)

Imam al-Nawawi di dalam syarahya menyebutkan: Hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’e, Hanbali dan juga Dawud al-Zahiri bahawa disunatkan untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (إِنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا). (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/56)

Pahala berpuasa sepanjang tahun diibaratkan dengan setiap amalan kebaikan digandakan dengan 10 dan ini bermakna 30 hari pada bulan Ramadhan digandakan dengan 10 kebaikan bersamaan 300 dan puasa sunat syawal 6 hari bergandaan dengan  10 kebaikan bersamaan 60. Ini menjadikan jumlahnya 360 dan daripada perkiraan inilah dikatakan seumpama berpuasa sepanjang tahun  (mengikut kiraan hijriyyah).

Puasa 6 Hari pada Bulan Syawal di Sisi Imam Malik

Terdapat satu riwayat daripada Yahya bin Yahya Al-Laythi, beliau berkata: Aku mendengar Malik bin Anas berkata tentang puasa enam hari setelah Eid al-Fitri:

إِنَّهُ لَمْ يَرَ أَحَدًا مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ وَالْفِقْهِ يَصُومُهَا. وَلَمْ يَبْلُغْنِي ذَلِكَ عَنْ أَحَدٍ مِنَ السَّلَفِ. وَإِنَّ أَهْلَ الْعِلْمِ يَكْرَهُونَ ذَلِكَ. وَيَخَافُونَ بِدْعَتَهُ. وَأَنْ يُلْحِقَ بِرَمَضَانَ مَا لَيْسَ مِنْهُ، أَهْلُ الْجَهَالَةِ وَالْجَفَاءِ. لَوْ رَأَوْا فِي ذَلِكَ رُخْصَةً عِنْدَ أَهْلِ الْعِلْمِ. وَرَأَوْهُمْ يَعْمَلُونَ ذَلِكَ

Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat seorang pun daripada ahli ilmu dan fiqh yang berpuasa enam pada hari tersebut. Dan tidak ada yang menyampaikan hal itu kepadaku daripada salah seorang daripada salaf. Bahkan ahli ilmu dan fiqh memakruhkan hal itu dan takut akan kemungkinan bid’ahnya dan bimbang orang-orang yang tidak berpengetahuan dan kasar mungkin akan menambahkan hal tersebut ke dalam Ramadhan. Jika mereka melihat bahawa ahli ilmu memberikan kelonggaran dalam hal itu, mereka juga akan melakukannya.'” (Lihat al-Muwatta’, 1/310).

Al-Baji dalam syarahnya untuk kitab al-Muwatta’ menyatakan: “Puasa enam hari setelah Hari Raya Eid al-Fitri bukanlah puasa yang biasa dilakukan oleh orang-orang terdahulu (al-Salaf). Hal ini sebagaimana yang dikatakan, dan diketahui bahawa Imam Malik dan beberapa ulama lain menolak puasa tersebut, sementara sekumpulan yang lain membolehkannya dan tidak melarangnya. Imam Malik menolaknya kerana khuatir bahawa orang awam akan menganggap bahawa puasa tersebut sebagai sebahagian daripada puasa Ramadhan, dan kemudian mereka tidak boleh membezakan antara kedua puasa tersebut sehingga menganggap keduanya (puasa ramadhan dan puasa 6 hari pada bulan syawal) sama-sama wajib. Asal daripada puasa enam hari setelah Eid al-Fitri adalah hadith yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Sa’id daripada Umar bin Thabit, daripada Abu Ayyub Al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti enam hari pada bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun.” 

Sa’ad bin Sa’id adalah orang yang tidak suka mempromosikan hal seperti ini. Oleh sebab itu, ketika hadith ini disebutkan dan Imam Malik sebagai salah satu ulama’ Madinah menolak untuk mengamalkannya kerana dianggap bermasalah, beliau lebih memilih untuk tidak melakukannya agar ia tidak menjadi sebab untuk orang mengamalkan berdasarkan apa yang beliau katakan. Mutarrif mengatakan bahwa Imam Malik menolaknya hanya untuk mencegah orang awam menganggap bahawa puasa enam hari tersebut adalah sebahagian daripada puasa Ramadan. Namun, bagi sesiapa yang ingin melakukannya berdasarkan dalil yang ada, maka tidak ada yang menghalangi. Wallahu a’lam wa ahkam. (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’,2/76)

Imam Malik selaku penduduk Madinah mendapati bahawa ahli Madinah sendiri tidak berpuasa enam, sedangkan wujudnya hadith ahad berkenaan hal itu. Hal ini kerana dalam mazhab Maliki, sesuatu hadith ahad itu tidak boleh diterima secara bulat-bulat kecuali jika ia disokong dengan amalan penduduk Madinah kerana mereka adalah golongan yang paling hampir dengan Rasulullah SAW. Justeru, mereka lebih memahami tentang apa yang dilakukan Baginda SAW. (Lihat Taisir Usul al-Fiqh li al-Mubtadiin, 8/15)

Imam Ibnu Rusyd memberikan beberapa penafsiran ke atas fatwa Imam Malik ini, antaranya ialah Imam Malik bimbang orang yang jahil akan menambah hari ke atas bulan Ramadhan, atau beliau tidak mengetahui akan hadith ini, dan yang paling sahih menurut Imam Ibnu Rusyd ialah Imam Malik tidak menganggap hadith ini sebagai sahih. (Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 2/71)

Namun begitu, Para Fuqaha’ mazhab Maliki menyatakan bahawa puasa 6 bulan Syawal ini menjadi makruh jika bersamanya beberapa syarat dan sekiranya syarat tersebut tidak dipenuhi, maka puasa 6 hari pada bulan Syawal ini tidak menjadi makruh.

Hal ini sebagaimana yang disebut oleh al-Dasuqi, katanya: Kemakruhan puasa enam pada bulan Syawal itu hanya terpakai untuk mereka yang jahil dan dibimbangi akan terkeliru Syawal dengan Ramadhan. Selain itu dimakruhkan juga bagi yang menganggap pahala hanya akan diperolehi jika puasa dilaksanakan secara berturut-turutan dan bersambung. Hukum makruh hanya terpakai jika keadaan ini wujud, jika tidak maka hukumnya harus. (Lihat Hasyiyah al-Dasuqi ‘ala as-Syarh al-Kabir, 1/517)

Imam al-Nawawi dalam mengulas berkenaan pendapat Imam Malik yang menyatakan bahawa Ahli Madinah tidak mengamalkan puasa 6 hari pada bulan Syawal, berkata apabila sesuatu sunnah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana ia tidak diamalkan oleh sebahagian, atau kebanyakan atau semua orang sekalipun. (Lihat Syarh al-Nawawi ’ala Sahih Muslim, 8/56).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan pendapat Jumhur Ulama’ berkenaan puasa 6 hari pada bulan Syawal adalah lebih rajih sebagaimana hadith yang sahih berkenaannya. Namun begitu, kami berpandangan bahawa pendapat Imam Malik dalam hal ini adalah tidak sesuai untuk diamalkan kerana ‘illah atau sebab yang beliau gunakan iaitu kebimbangan beliau berkenaan  orang yang jahil akan mengganggap puasa enam hari pada bulan Syawal sebagai sebahagian Ramadhan tidak lagi timbul pada zaman sekarang. Hal ini kerana semua orang telah mengetahui perbezaan antara puasa wajib pada bulan Ramadhan, puasa sunat pada bulan Syawal, dan keharaman puasa pada 1 Syawal.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply