Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada persoalan berkaitan tanggungjawab adik-beradik terhadap adik-beradiknya yang lain. Emak saudara saya telah kehilangan anakanda tunggalnya yang tercinta. Dia tiada siapa-siapa lagi selain dari adik-beradiknya dan juga isteri kepada almarhum anakandanya. Siapakah yang lebih bertanggungjawab dalam menjaga hal ehwal kehidupan emak saudara saya itu? Adakah adik-beradiknya yang semua lelaki atau isteri kepada almarhum anaknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Surah al-Nisa’ (1)

Dalam menjawab persoalan di atas, orang yang berhak mewarisi harta pusakanya itulah yang utama dan aula untuk menjaga dan memelihara ibu saudara. Dalam hal ini, sudah tentu pada asalnya usul (ibu bapa ke atas) atau furu’ (anak cucu dan ke bawah). Begitu juga, selepas itu, adik-beradiknya terutama yang lelaki. Sebagaimana hadith Jabir yang telah memelihara adiknya yang perempuan selepas kematian bapanya Abdullah bin Jabir dalam Peperangan Uhud.

Menjaga silaturrahim serta membantunya adalah pahala yang besar serta akan memperolehi banyak kurniaan Allah SWT. Antaranya, seseorang itu akan dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan diberkati dalam kehidupan. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

Semoga kita mengambil kecaknaan terhadap keluarga yang mengalami kehidupan yang susah seperti yang digambarkan dalam persoalan di atas. Amin.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply