Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri, bagaimana amalan yang dianggap paling baik di sisi Allah SWT, ketika mana kita berinteraksi dengan orang ramai atau masyarakat?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam kehidupan ini, selain daripada melaksanakan kefardhuan Islam seperti solat, puasa Ramadhan, zakat dan menunaikan ibadah haji, terdapat juga amalan-amalan yang lain yang digalakkan. Antaranya, banyakkan zikrullah, menghadiri majlis ilmu, bersedekah, infak, membaca al-Quran, selawat atas Nabi SAW, dan lain-lain lagi. 

Tetapi, tidak kurang pentingnya terdapat beberapa amalan-amalan yang mulia sebagai mana Rasulullah SAW menyeru dalam hadith-hadithnya yang mulia untuk memperbanyakkan perbuatan yang baik, antaranya termasuklah memberikan senyuman dan menggembirakan hati seorang Muslim yang lain.

Walaupun perkara ini dipandang enteng, tetapi fadhilatnya cukup besar, manfaatnya cukup banyak dan kesannya amat baik kepada ummah dan masyarakat. Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa ada seorang lelaki yang datang bertemu Rasulullah SAW. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, manusia apa yang paling dicintai oleh Allah? Dan amalan apa yang paling dicintai oleh Allah ‘azza wa jalla?” Rasulullah SAW menjawab:

أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ، وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ، أَوْ تَكْشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً، أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دِينًا، أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا، وَلَأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخٍ لِي فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ، يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ، شَهْرًا، وَمَنْ كَفَّ غَضَبَهُ سَتَرَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ كَظَمَ غَيْظَهُ، وَلَوْ شَاءَ أَنْ يُمْضِيَهُ أَمْضَاهُ، مَلأَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ قَلْبَهُ أَمْنًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ مَشَى مَعَ أَخِيهِ فِي حَاجَةٍ حَتَّى أَثْبَتَهَا لَهُ، أَثْبَتَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ قَدَمَهُ عَلَى الصِّرَاطِ يَوْمَ تَزِلُّ فِيهِ الأَقْدَامُ.

Maksudnya: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain, manakala amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kebahagiaan yang engkau berikan kepada diri seorang Muslim atau engkau menghilangkan kesulitannya atau engkau melunaskan hutangnya atau membebaskannya dari kelaparan. Dan sesungguhnya (jika) aku berjalan bersama saudaraku untuk menunaikan suatu hajat/keperluan lebih aku sukai daripada aku beri’tikaf di masjid ini, iaitu masjid Madinah selama sebulan. Dan sesiapa yang meninggalkan sikap marahnya, nescaya Allah akan tutup aurat (kesalahan)-nya. Sesiapa yang menahan marahnya sedangkan dia mampu melakukannya, nescaya Allah ‘azza wa jalla akan memenuhi hatinya dengan rasa aman pada hari kiamat. Sesiapa yang berjalan bersama saudaranya untuk menunaikan satu keperluan hingga keperluan itu dapat ditunaikan baginya, nescaya Allah ‘azza wa jalla akan mengukuhkan kakinya di atas sirat pada hari di mana banyak kaki yang tergelincir padanya.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (13646), al-Mu’jam al-Ausat (6026) dan al-Mu’jam al-Saghir (861). Diriwayatkan juga oleh Abu al-Syaikh dalam al-Taubikh (94); al-Syajri dalam al-Amali (2298); Ibn ‘Asakir dalam al-Tarikh (64/17).

Hal ini juga bertepatan dengan beberapa hadis lain, yang menyebut bahawa antara perbuatan dan adab di mana ia adalah amalan yang mudah, yang tidak merugikan seseorang sedikit pun adalah senyuman yang dilontarkan kepada Muslim, dan bertemu dengannya dengan wajah yang ceria dan gembira, sepertimana hadith Rasulullah SAW, daripada Abu Zar RA, sabda Baginda SAW:

لاَ تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوْفِ شَيْئاً، وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Maksudnya: “Janganlah kamu memandang rendah sedikit pun suatu kebajikan, walaupun sekadar kamu bertemu saudaramu dengan wajah berseri-seri.”

Riwayat Muslim (2626)

Daripada Abu Zar RA, bahawa Rasulullah SAW turut bersabda:

تَبَسُّمُكَ فِى وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Senyumanmu di hadapan saudaramu (sesama muslim) adalah (bernilai) sedekah bagimu.”

Riwayat al-Tirmizi (1956) dan Ibn Hibban (474).

Al-Mubarakfuri berkata: Memperlihatkan wajah ceria dan berseri-seri ketika bertemu dengan seorang Muslim lain akan memperoleh ganjaran pahala seperti pahala bersedekah. Memperlihatkan wajah yang manis di hadapan seorang Muslim akan menyebabkan hatinya merasa senang dan bahagia, dan melakukan perbuatan yang menyebabkan bahagianya hati seorang Muslim adalah suatu kebaikan dan keutamaan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/76)

Daripada Jabir bin Abdillah dan Huzaifah bin al-Yaman R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW turut bersabda:

كُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ، وَإِنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ، وَأَنْ تُفْرِغَ مِنْ دَلْوِكَ فِي إِنَاءِ أَخِيكَ

Maksudnya: “Setiap kebaikan adalah sedekah. Dan termasuk kebaikan adalah engkau bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang berseri-seri; dan engkau menuangkan air dari baldimu ke dalam bejana milik saudaramu.”

Riwayat al-Bukhari (6021), Muslim (1005) dan Abu Daud (4947)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW yang bersabda:

مَن نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Siapa yang melepaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Daud (1455), al-Tirmizi (2945), Ibn Majah (225) dan Ahmad (7427)

Semoga kita mampu melaksanakan amalan-amalan yang baik, mulia dan terpuji ini. Dan kita termasuk di kalangan hadith yang disebutkan di atas. Amin.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply