Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah fungsi “join a boost mission” dalam aplikasi boost halal & di bolehkan? Untuk join mission kadangkala perlu gunakan boost point tetapi misson yang disertai memang confirm dapat diselesaikan (contohnya bayar bil) dan memang pasti akan dapat reward yang dinyatakan. Adakah wujud unsur gharar di situ atau ia di bolehkan kerana sekadar strategi syarikat untuk meningkatkan penggunaan apps tersebut. Ianya berbeza dengan fungsi boost “pick and win” yang jelas berunsur judi. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, Misi Boost ialah tempat anda boleh memperoleh sendiri syiling Boost dan ganjaran pulangan tunai dengan menyelesaikan tugasan tertentu. Dengan setiap misi, ganjaran yang berbeza ditawarkan. Misi ini terdiri daripada sama ada Boost Coin dan / atau ganjaran pulangan tunai. Pastikan anda menyemak bahagian butiran misi sebelum menerima misi.

Dalam menjawab persoalan di atas, semua hal ini perlu kepada keredhaan antara dua pihak sebagai mana hadith menyebut:

إنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya: “Hanyasanya jual beli itu apa yang diredhai oleh pembeli dan penjual.”

Riwayat Ibn Hibban (4967). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij Sahih Ibn Hibban menyatakan isnadnya kuat.

Keduanya, hendaklah selamat dariapda sebarang unsur penipuan serta penindasan. Rasulullah SAW pernah bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

Al-Syaukani berkata: “Dalam hadis lain riwayat Muslim, Rasulullah menyebut: “Bukan daripada kalanganku.” Al-Nawawi berkata: “Maknanya adalah tidak mengikuti panduanku (yakni Nabi SAW), ilmu, amalan, dan perlakuan atas jalanku.” (Lihat Nail al-Autar, 5/251)

Jika dua perkara di atas yang kami nyatakan telah memenuhinya maka, kami nyatakan hukum join Boost mission dalam applikasi Boost adalah halal dan dibolehkan. Sebaliknya, jika tidak memenuhi maka hukumnya adalah haram dan tidak dibolehkan. Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama termasuk dalam isu muamalat. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply