Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya tengok, bila orang nak bermusafir sekarang ini, sangat mudah. Kerana kenderaan sudah canggih dan moden. Jadi, persoalan saya, adakah masih boleh dilakukan jamak qasar, dalam keadaan perjalanan sudah jadi semakin mudah dan pantas, tak seperti dulu-dlu. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, solat qasar dan jamak adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

 وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Ayat di atas menjelaskan bahawa rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya.

Berkenaan persoalan di atas, kami nukilkan kisah daripada Saidina Umar bin al-Khattab R.A, di mana diriwayatkan daripada Ya’la bin Umayyah, katanya: Aku bertanya kepada Umar bin al-Khattab tentang firman Allah SWT:

فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا

Maksudnya: “Maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.”

Surah al-Nisa’ (10)

(Kataku kepada Umar): “Sedangkan (sekarang ini) keadaan manusia sudah aman?” Maka Umar menjawab: Aku juga pernah berasa ajaib seperti mana yang engkau rasa, lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW, baginda pun menjawab:

صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللهُ بِهَا عَلَيْكُمْ، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya: “(Ia adalah) sedekah yang Allah berikan kepada kamu semua, maka terimalah sedekah dari-Nya.”

Riwayat Muslim (686), Abu Daud (1199), al-Tirmizi (3034), al-Nasa’i (1433), Ibn Majah (1065) dan Ahmad (174).

Nas ini menunjukkan bahawa sama ada terdapat masyaqqah (kepayahan) atau tidak, ia tetap merupakan kurniaan Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata: “Maka harus bagi orang bermusafir untuk memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat dan juga menjamakkan di antara solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak. Ini adalah sedekah yang diberikan kepada kita semua.” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 149/1)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika mengulas berkenaan hikmah diberikan rukhsah qasar dan jamak menyebut bahawa ia bagi menolak kepayahan yang ada ketika permusafiran dan memberi kemudahan untuk menunaikan kewajipan yang telah difardukan. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/319)

Bahkan, terdapat hadith Nabi SAW yang menyebut secara umum:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنْ الْعَذَابِ يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ فَإِذَا قَضَى نَهْمَتَهُ مِنْ وَجْهِهِ فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: “Permusafiran itu adalah sebahagian daripada azab. Ianya menghalang kamu daripada tidur dan makan. Apabila telah selesai menunaikan hajat daripada permusafiran tersebut, maka segeralah kembali kepada ahli keluarganya.”

Riwayat al-Bukhari (5429) dan Muslim (1927) daripada Abu Hurairah R.A

Kata ulama’, musafir itu sejuzuk daripada kesengsaraan, yang merangkumi perasaan kejiwaan, perpisahan dengan orang yang dikasihi dan pelbagai lagi.

Al-Qadhi ‘Iyadh menjelaskan: “Di dalam permusafiran terdapat kepenatan dan kesusahan. Ia juga menghalang dari makan dan minum kerana terkadang itu makanan dan minuman boleh jadi ada dan boleh juga tiada ketika permusafiran.” (Lihat Ikmal al-Mu’lim Bi Fawaid Muslim, 6/178)

Mulla Ali al-Qari menyebut: “Permusafiran menyebabkan kita terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga dan sahabat, serta susahnya hidup (di permusafiran).” (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Mishkat al-Masabih, 7/414)

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply