Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah boleh jamak qasar bagi seseorang yang bermusafir ke suatu tempat untuk menghadiri kursus yang diadakan selama seminggu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 80 km.
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Justeru, dapat difahami berdasarkan syarat keempat di atas, bahawa jika seseorang telah berazam untuk tinggal di tempat yang dia akan pergi selama empat hari atau lebih, maka ia bermaksud dia telah bermukim di tempat itu. Maka, sebaik sahaja dia sampai di tempat tersebut, statusnya dikira sebagai orang bermukim dan bukan lagi bermusafir. Oleh itu, dia wajib mendirikan solat secara sempurna seperti biasa.

Inilah juga seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya:

وَلَوْ نَوَى إقَامَةَ أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ بِمَوْضِعٍ انْقَطَعَ سَفَرُهُ بِوُصُولِهِ. وَلَا يُحْسَبُ مِنْهَا يَوْمَا دُخُولِهِ وَخُرُوجِهِ عَلَى الصَّحِيحِ.

Maksudnya: “Sekiranya seseorang berniat untuk bermukim selama empat hari di tempat yang ditujunya, maka terputuslah musafirnya sebaik sahaja dia tiba (di tempat tersebut), dan tidak dikira dari tempoh itu, hari dia masuk (ke tempat itu) dan keluar (dari tempat itu) menurut pendapat yang sahih.” Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh, hlm. 44)

Hal ini kerana menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, apabila berniat menetap selama empat hari (atau lebih), maka jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186).

Ini berdasarkan hadith al-‘Ala’ bin al-Hadhrami bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يُقِيمُ الْمُهَاجِرُ بِمَكَّةَ بَعْدَ قَضَاءِ نُسُكِهِ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Orang Muhajirin bermukim di Makkah selepas selesai menunaikan manasik selama tiga hari.”

Riwayat Muslim (1352)

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply