Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan berkenaan Bai‘ al-‘Inah, adakah ianya dibolehkan dalam Pembiayaan Peribadi Islamik?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Definisi al-‘Inah (العِينَةُ)
Pertama sekali, kami definisikan terlebih dahulu al-‘Inah sebagai gambaran umum agar lebih mudah difahami. Al-‘Inah menurut bahasa Arab bermaksud hutang. Ia ditakrifkan oleh al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah sebagai pembelian barangan secara bayaran tangguh, kemudian menjualnya secara bayaran tunai kepada penjual tadi dengan harga lebih rendah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/147)
Dr Wahbah al-Zuhaili mendefinisikan jual beli dengan kaedah al-‘Inah sebagai suatu helah dalam jual beli untuk berhutang secara riba, dengan cara seseorang menjual aset dengan bayaran tangguh, kemudian membeli semula aset tersebut dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual secara bayaran tunai. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/467)
Hukum al-‘Inah
Terdapat perbezaan pendapat berkenaan hukum urusniaga dengan kaedah al-‘Inah. Sebahagian mereka mengatakan al-‘Inah adalah haram, sebahagian lainnya pula mengatakan bahawa hukumnya adalah harus.
Pendapat pertama: Hukumnya haram.
Majoriti ulama’ berpendapat bahawa hukumnya adalah haram, ini berdasarkan dalil daripada hadith Rasulullah SAW, athar[1] para sahabat, dan hujjah akal.
Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma secara marfu‘ (disandarkan kata-kata ini kepada Nabi SAW), katanya:
إِذَا تَبَايَعْتُمْ بِالعِينَةِ وَأَخَذْتُمْ أَذْنَابَ البَقَرِ، وَرَضِيتُمْ بِالزَّرْعِ، وَتَرَكْتُمُ الجِهَادَ، سَلَّطَ اللهُ عَلَيْكُمْ ذُلاًّ لاَ يَنْزِعُهُ حَتَّى تَرْجِعُوا إِلَى دِينِكُمْ
Maksudnya: “Sekiranya kalian berjual beli dengan cara ‘inah, dan kalian memegang pada ekor lembu, dan kalian redha dengan tanaman, sehingga kalian meninggalkan jihad, pasti Allah akan memberikan kehinaan kepada kalian dan Dia tidak akan mencabutnya sehingga kalian kembali kepada agama kalian.”
Riwayat Abu Dawud (3462) dan al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (5/316)
Abu al-Hasan al-Sindi berkata ketika mensyarahkan hadith di atas bahawa, al-‘inah itu merupakan perbuatan seseorang menjual barang kepada individu lain dengan harga yang ditentukan secara tangguhan hingga waktu tertentu, kemudian ia membelinya kembali dengan harga yang lebih rendah daripada harga asal.
Manakala (وَأَخَذْتُمْ أَذْنَابَ البَقَرِ), yang dimaksudkan bahawa mereka yang sibuk dengan pertanian dan meninggalkan jihad sehingga kembali kepada agama asal (kekufuran). Dalam hal ini terdapat petunjuk bahwa siapa yang melakukan jual beli riba dan meninggalkan jihad, maka dia telah keluar dari agama. (Lihat Fath al-Wadud Syarh Sunan Abi Dawud, 3/570)
Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ بَاعَ بَيْعَتَيْنِ فِي بَيْعَةٍ فَلَهُ أَوْكَسُهُمَا أَوِ الرِّبَا
Maksudnya: “Barangsiapa yang melakukan dua urusniaga dalam satu (akad) transaksi, maka dia akan memilih salah satunya atau riba.”
Riwayat Abu Dawud (3461) dan al-Tirmizi (1231)
Diriwayatkan daripada al-Auza‘ie bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَسْتَحِلُّونَ الرِّبَا بِالبَيْعِ
Maksudnya: “Akan datang kepada manusia satu zaman di mana mereka menghalalkan riba dengan jual beli.”
Riwayat Ibn Battah, disebutkan oleh Ibn al-Qayyim di dalam Tahzib al-Sunan (9/345)
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa dia ditanya berkenaan al-‘Inah, lalu dia menjawab:
إنَّ الله لا يُخدع، هذا ممَّا حرَّم اللهُ ورسوله
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak dapat diperdaya, ini (al-‘Inah) adalah salah satu daripada apa yang Allah dan Rasul-Nya haramkan.” (Lihat Tahzib al-Sunan, 9/338)
Adapun hujjah akal yang disebutkan oleh jumhur, al-‘Inah ini merupakan zari‘ah[2] kepada riba, dan ia membawa kepada mengharuskan perkara yang Allah SWT telah haramkan. Dengan menggunakan kaedah Sadd Zari‘ah (menutup pintu zari‘ah) bagi menghalang daripada berlakunya riba.
Pendapat kedua: Hukumnya harus.
Ini merupakan pandangan ulama’ Mazhab al-Syafi‘i dan al-Zahiri. Mereka berhujjah dengan dalil daripada al-Quran, dan hadith Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
(Surah al-Baqarah: 275)
Pada zahirnya, al-‘Inah ini terdiri daripada dua urusan jual beli yang berbeza, maka ia tidak terkeluar daripada umum maksud ayat di atas tentang keharusan jual beli.
Diriwayatkan sebuah hadith daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya: “Bilal R.A datang bertemu Nabi SAW dengan membawa kurma barni, lalu Baginda SAW bersabda:
مِنْ أَيْنَ هَذَا؟ قَالَ بِلاَلٌ: كَانَ عِنْدَنَا تَمْرٌ رَدِيءٌ، فَبِعْتُ مِنْهُ صَاعَيْنِ بِصَاعٍ لِنُطْعِمَ النَّبِيَّ ﷺ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: أَوَّهْ أَوَّهْ، عَيْنُ الرِّبَا، عَيْنُ الرِّبَا، لاَ تَفْعَلْ، وَلَكِنْ إِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَشْتَرِيَ فَبِعِ التَّمْرَ بَبَيْعٍ آخَرَ، ثُمَّ اشْتَرِهِ
Maksudnya: “’Mana kamu dapat kurma ini?’, Bilal menjawab: ‘Aku mempunyai kurma yang buruk, lalu aku menjualnya dua gantang kurma itu dengan satu gantang (kurma yang baik) untuk diberi makan kepada Nabi SAW’. Baginda SAW bersabda: Aduhai! Aduhai! Ini adalah riba, ini adalah riba, jangan melakukannya. Tetapi jika kamu ingin membeli (kurma barni itu), maka juallah kurma (yang kamu ada) dengan transaksi yang berbeza, kemudian belilah (kurma barni) itu’.”
Riwayat al-Bukhari (2312) dan Muslim (1594)
Hukum Kaedah Al-‘Inah dalam Pembiayaan Peribadi Islamik
Mazhab yang dijadikan ikutan umum kaum muslimin di Malaysia adalah Mazhab al-Syafi‘i. Oleh yang demikian, badan-badan yang terkait dalam mengeluarkan hukum berkenaan kaedah al-‘Inah majoritinya berpegang dengan dalil dan hujjah yang dibawakan oleh ulama’ mazhab, maka hukumnya dibolehkan.
Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang bersidang buat kali ke-5 pada 29 Januari 1997 telah memutuskan bahawa kaedah al-‘Inah ini adalah harus berdasarkan hujjah yang telah dibawa oleh ulama’ Mazhab al-Syafi‘i.
Namun begitu, kemas kini telah dilakukan pada 31 Disember 2021 oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, mereka memutuskan bahawa al-‘Inah adalah diharuskan, tetapi mestilah menepati yang telah ditetapkan:
- Penjualan dan pembelian aset hendaklah dilaksanakan menerusi dua kontrak jual beli yang jelas dan berasingan.
- Penjualan dan pembelian aset hendaklah tidak mengandungi syarat pembelian semula atau penjualan semula aset.
- Masa bagi pemeteraian kedua-dua kontrak jual beli hendaklah berbeza.
- Turutan pemeteraian setiap kontrak jual beli hendaklah berdasarkan turutan yang betul.
- Penjualan dan pembelian aset hendaklah memberikan kesan pemindahan hak milik aset serta wujud qabdh (pegangan aset) yang sah menurut Syariah dan ‘urf tijari (amalan pasaran).
(Lihat Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, hlm. 10 – 13)
Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia juga telah memutuskan di dalam pada mesyuarat ke-8 bertarikh 12 Disember 1998 bahawa urus niaga yang berasaskan kaedah al-‘Inah dalam pasaran wang antara bank secara Islam adalah dibenarkan, berdasarkan syarat-syarat berikut:
- Urus niaga dengan kaedah al-‘Inah mestilah mengikut aturan-aturan yang diterima oleh Mazhab al-Syafi‘i.
- Barangan yang diurusniagakan mestilah bukan barangan ribawi.
(Lihat Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam Edisi Kedua, hlm. 111)
Pelaksanaan kaedah al-‘Inah dalam Pembiayaan Peribadi Islamik ini bergantung kepada Bank. Secara umumnya, terdapat dua akad jual beli yang berlaku dalam kaedah ini, iaitu jual beli secara bertangguh dan jual beli secara tunai.
Jual beli secara tangguh ini berlaku apabila pihak bank menjual barang kepunyaan mereka kepada pelanggan dengan tangguhan bayaran.
Jual beli secara tunai pula berlaku apabila pihak bank membeli barang daripada pelanggan dengan bayaran tunai.
Dengan cara ini, pelanggan akan memperolehi jumlah wang yang dikehendaki secara tunai, dan membayar semula hutangnya dengan pihak bank ketika jual beli yang pertama (secara tangguh) secara ansuran dalam tempoh yang telah dipersetujui oleh kedua belah pihak. (Lihat Pelaksanaan Bay al-Inah Dalam Pembiayaan Peribadi (Personal Loan) di Malaysia, hlm. 2 – 3)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan dan keputusan-keputusan mesyuarat yang kami bawakan, kami cenderung mengatakan bahawa Pembiayaan Peribadi Islamik berdasarkan kaedah al-‘Inah adalah diharuskan, berdasarkan hujjah yang telah dibawakan oleh ulama’ Mazhab al-Syafi‘i.
Akan tetapi, keharusan ini mestilah dengan menepati syarat-syarat seperti yang disebutkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan juga Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia.
Wallahua‘lam
[1] Athar menurut pakar bidang hadith bermaksud sesuatu hadith sama da marfu’(disandarkan kepada Nabi SAW) atau mawquf (disandarkan kepada sahabat R.Anhum) atau maqtu’ (disandarkan kepada tabiin).
[2] Zari‘ah dari segi bahasa ialah perantara dan penyebab kepada berlakunya sesuatu. Dari segi istilah pula bermaksud sesuatu yang pada zahirnya adalah harus, tetapi ianya boleh membawa kepada perkara yang haram. (Lihat Taj al-Lughah wa Sihah al-Arabiyyah, 2/248; Irsyad al-Fuhul, 2/193)
Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H