Soalan :

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Saya nak bertanya berkenaan bayaran fidyah. Saya dah tinggal bertahun puasa dan saya nak bayar fidyah. Tapi saya tak mampu untuk langsaikan semua  fidyah. Apa yang perlu saya lakukan?

Jawapan :  

Definisi Fidyah

Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

Dalil Pensyariatan Fidyah

Firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Yang bermaksud: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

  (Surah al-Baqarah: 184)

Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut : Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihar Ruh al-Ma’ni,14/212).

Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامُ شَهْرٍ فَلْيُطْعَمْ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya: “Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.” 

Riwayat al-Tirmizi(718) dan Ibnu Majah(1757)

Menjawab bagi persoalan di atas, orang yang tidak mampu membayar fidyah dikategorikan sebagai mu’sir, iaitu orang yang susah. Mereka ialah orang yang tidak memiliki harta untuk membayar fidyah. Harta yang ada hanya cukup untuk keperluan dirinya sendiri sahaja.ulama berbeza pandangan berkenaan dengan isu ini:

Pertama :

Fidyah tidak akan gugur dari tanggungannya tetapi tetap menjadi kewajipan yang harus dipenuhinya. Namun, jika sudah mampu maka, dia wajib  membayar fidyah tersebut. Ini adalah pendapat  mazhab Syafi’I dan juga mazhab Hanbali .

Al-khatib al-Syarbini menyatakan : Tidak ada perbezaan dalam kewajipan membayar fidyah antara orang kaya dan orang miskin.Oleh itu,denda fidyah  yang belum di bayar menjadi hutang  walaupun dia tergolong dari golongan  miskin.(Lihat Mughni al-Muhtaj,2/174)

Kedua :

Gugur fidyah tersebut dan tidak wajib sekiranya seseorang itu tidak berkemampuan.Fidyah tidak menjadi kewajipan baginya miskipun dia menjadi orang yang mampu di kemudian hari. Ini adalah pandangan yang jelas dalam mazhab Hanafi, dan juga pendapat yang dikemukakan oleh Imam Nawawi dalam mazhab Syafi’i, serta pendapat yang dipilih oleh Imam Ibn Qudamah dalam mazhab Hanbali, dan fatwa ini juga dikeluarkan oleh Ibnu Baz.

Puasa dan memberi makan kepada fakir miskin (fidyah) bergantung kepada kemampuan seseorang; hal ini berdasarkan firman Allah SWT :

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya  : Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.

(Surah al-Taghabun:16)

Oleh kerana itu, golongan yang tidak mampu berpuasa dan tidak mampu memberi makan kerana kemiskinannya, maka, tidak ada kewajipan ke atasnya.Allah berfirman :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

(Surah al-Baqarah:286)

Gugurnya kewajipan ke atas seseorang untuk membayar fidyah kerana dia sendiri telah dikategorikan sebagai orang susah. Sedangkan fidyah juga syaratnya perlu diberikan kepada golongan fakir juga.Imam al Nawawi menyatakan: fidyah itu gugur (bagi orang mu’sir) dan tidak wajib juga membayarnya apabila sudah senang. Sama seperti hukum membayar zakat fitrah, kerana dia tidak berkemampuan semasa taklif (tidak mampu ketika diberi tanggungjawab) sedangkan dia juga tidak dikenakan apa-apa balasan kerana suatu perbuatan jenayah atau seumpamanya.(Lihat Majmu’ Syarh al-Muhazzab ,6/259)

Ibn Baha’ al-Baghdadi al-Hanbali menyatakan: Jika dia tidak mampu memberi makan, maka tidak ada kewajipan baginya. Allah tidak membebani seseorang melampaui kemampuannya. (Lihat Fath al-Malik al-Aziz Bi Syarhil al-Wajiz,3/364 )

Kesimpulan

Kami berpandangan tidak harus dilaksanakan pembayaran fidyah bagi golongan yang tidak berkemampuan. Membayar fidyah boleh dilakukan ketika seseorang itu mampu untuk melaksanakannya dan sekiranya tidak mampu maka, diperbolehkan untuk menqadha’ puasa yang telah ditinggalkan. Namun jika mempunyai kemampuan untuk membayarnya maka wajiblah baginya untuk membayar fidyah tersebut.

 Wallahu a’lam

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply