Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Adakah sah haiwan yang dikasi atau dikembiri untuk dijadikan sebagai haiwan korban? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif kasi atau kembiri. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kembiri bermaksud tidak ada jantannya atau sifat kejantanannya, sudah dihilangkan jantannya. Manakala mengembiri bermaksud menghilangkan jantannya atau sifat kejantanannya.[1] Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil sebagai Castration. Castration atau kastrasi ini ialah proses mengeluarkan buah zakar haiwan jantan atau proses menjadikannya steril tanpa membuang buah zakar. Testis bertanggungjawab untuk kejantanan dan perkembangan hormon jantan seperti testosteron.
Umumnya, pengembirian dilakukan ke atas haiwan semasa mereka masih muda. Ini kerana otot sembuh lebih cepat pada usia muda, dan pulangan juga akan lebih tinggi, yang akhirnya meningkatkan keuntungan keseluruhan ladang. Amalan atau prosedur ini dilakukan terutamanya pada kambing, seperti Kambing Damascus untuk pengeluaran daging yang lebih baik. Pada masa kini, ayam juga dikembiri. Lembu jantan juga digunakan dalam prosedur ini untuk menjadikannya lebih jinak. Ramai pemilik haiwan peliharaan menggunakan prosedur ini pada kucing dan anjing untuk mengawal populasi dan keagresifan mereka.
Orang yang melakukan pengembirian mesti mengetahui prosedurnya. Sebagai contoh, mereka boleh menjadi pengurus ladang atau doktor haiwan. Jika pemgembirian dilakukan dengan cara yang salah, ia boleh membahayakan nyawa haiwan tersebut.[2]
Berkenaan hukum mengkasi atau mengembiri haiwan ternakan, ulama mazhab Syafi‘i membolehkan mengembiri haiwan yang halal dimakan ketika haiwan tersebut masih lagi kecil, dan mengharamkannya ketika haiwan tersebut sudah besar. Imam al-Nawawi menukilkan pendapat Imam Baghawi yang menyebutkan, diharamkan untuk mengembiri semua haiwan yang tidak boleh dimakan. Adapun haiwan yang boleh dimakan maka boleh mengembirinya ketika masih kecil, dan haram ketika ia sudah besar. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 9/117).
Begitu juga ulama mazhab Hanbali turut berpendapat, dibolehkan mengembiri binatang ternakan kerana ia akan mengelokkan (menggemukkan) dagingnya, dan menghukumkan sebagai makruh mengembiri binatang yang tidak halal kerana tidak ada manfaatnya dan menyakiti mereka. Begitu juga para ulama mazhab Hanafi dan Maliki juga membolehkan pengembirian pada haiwan ternakan yang halal dimakan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/122).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya di antara syarat haiwan korban ialah haiwan tersebut tidak mengalami kecacatan yang menyebabkan kurang dagingnya. Hal ini jelas sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa disyaratkan pada haiwan korban itu mestilah selamat daripada kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya. Justeru, tidak sah haiwan yang sangat kurus, gila, terpotong sebahagian telinga, tempang, buta sebelah mata, sakit dan kudis yang jelas kelihatan. Tidak memberi kesan (kepada kesahan haiwan korban itu) jika kecacatan yang disebutkan tadi sangat sedikit, begitu juga ketiadaan tanduk-tanduknya, koyak telinga, dan tebukan pada telinga mengikut pendapat yang paling sahih. Kemudian, beliau menyebutkan bahawa menurutnya, pendapat yang sahih dan yang dinaskan adalah tidak sah kudis yang sedikit. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 320).
Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra’ bin Azib R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:
أَرْبَعٌ لاَ تُجْزِيْ فِي الأَضَاحِي: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءِ بَيِّنٌ عَرَجُهَا وَلاَ الْعَجْفَاءُ الَّتِى لاَ تُنْقِ
Maksudnya: “Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan qurban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang.”
Riwayat al-Tirmizi (1497); riwayat Abu Daud (2802)
Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, semua kecacatan dan aib yang menyebabkan kurangnya daging haiwan itu diqiaskan kepada empat kecacatan tersebut (yang dinyatakan dalam hadith di atas). (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/482).
Seterusnya, dalam sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُضَحِّيَ ، اشْتَرَى كَبْشَيْنِ عَظِيمَيْنِ، سَمِينَيْنِ، أَقْرَنَيْنِ، أَمْلَحَيْنِ مَوْجُوءَيْنِ
Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW hendak melaksanakan korban, maka Baginda membeli dua ekor kibasy yang besar, gemuk, bertanduk dan berwarna belang (hitam dan putih) yang dikasi.”
Riwayat Ibn Majah (3122), Ahmad (25046) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (18827) dan Syu‘ab al-Iman (1486)
Manakala dalam lafaz yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.A, beliau berkata:
ذَبَحَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ الذَّبْحِ كَبْشَيْنِ أَقْرَنَيْنِ أَمْلَحَيْنِ مُوجَأَيْنِ
Maksudnya: “Nabi SAW pada hari raya korban menyembelih dua ekor kambing yang bertanduk, hitam putih bulunya, dan dikasi.”
Riwayat Abu Daud (2795)
Dalam menjelaskan maksud “أَمْلَحَيْنِ”, al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan, perkataan amlah (أَمْلَح) bermaksud yang berwarna hitam dan putih, tetapi warna putihnya lebih banyak, dan kadang-kala disebut aghbar. Demikian menurut al-Asma’i. Al-Khattabi pula menambah, ia adalah yang berwarna putih dan terdapat warna hitam di sela-sela bulunya. Ada pula yang berpendapat bahawa ia adalah yang berwarna putih bersih, sepertimana pendapat Ibn al-A‘rabi. Pendapat ini dijadikan dalil ulama mazhab Syafi‘i yang mengutamakan haiwan putih untuk dijadikan korban. Menurut sebahagian ulama lain, ia adalah yang banyak warna merahnya. (Lihat Fath al-Bari, 27/225).
Imam al-Khattabi menyebutkan, sebahagian ulama menghukumkan sebagai makruh haiwan yang dikembiri (untuk dijadikan sebagai haiwan korban) kerana kekurangan anggotanya. Namun, pendapat yang sahih, ia tidaklah makruh. Ini kerana pengembirian (castration) akan memberikan manfaat pada dagingnya (menjadi enak dan gemuk), dapat menghilangkan lemak serta bau busuk haiwan. Apatah lagi, anggota tersebut juga bukan anggota yang dimakan. (Lihat Syarh al-Sunnah, 4/335 dan juga Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani, 10/10).
Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa dibolehkan sebagai binatang korban sama ada jantan, betina atau yang dikasi. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 320). Begitu juga al-Bujairimi turut menyebutkan bahawa dibolehkan haiwan korban daripada binatang ternakan seperti unta, lembu dan kambing sama ada hawian tersebut betina atau jantan meskipun yang dikembiri. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj, 4/397).
Bahkan Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya, para ulama telah bersepakat bahawa korban tidak sah atau tidak dibolehkan melainkan hanya dengan binatang ternakan iaitu unta, lembu, dan biri-biri dengan segala jenisnya mencakupi yang jantan atau betina, sama ada yang dikembiri ataupun yang tidak dikembiri. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/259).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, haiwan ternakan yang telah dikembiri adalah boleh dan sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban. Hal ini kerana ia tidak dikira sebagai kecacatan yang menghalang kesahan haiwan ternakan tersebut untuk dijadikan sebagai korban. Lebih-lebih lagi, terdapat hadith yang menceritakan bahawa Baginda SAW sendiri juga pernah melaksanakan ibadah korban dengan kambing yang dikembiri sebagaimana yang telah kami sebutkan di atas.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kembiri. Diakses pada 29 Mei 2023.
[2] Lihat https://agriculturistmusa.com/methods-of-castration-in-farm-animals/. Diakses pada 29 Mei 2023.
Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H