Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bolehkah kita bermain atau membeli barang melalui mesin tikam seperti gambar di bawah ini?

 

 

Adakah permainan tersebut diharamkan kerana ada unsur judi atau lebih kepada jual beli sebab kalau kita masukkan duit, confirm kita dapat barang, walaupun tak pasti barang apa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Capsule Vending Machine atau lebih dikenali dalam masyarakat kita sebagai ‘mesin tikam’ adalah suatu permainan yang popular bagi kanak-kanak. Kanak-kanak yang ingin bermain mesin tersebut akan memasukkan sejumlah wang (biasanya duit syiling) ke dalamnya, lalu perlu memutarkan atau menekan sesuatu bagi membolehkan capsule di dalamnya keluar, seterusnya kanak-kanak itu berjaya memperoleh barang yang diletakkan dalam capsule tersebut. Barang-barang yang diletakkan dalam capsule itu juga berbeza-beza dari segi jenis dan nilainya. Justeru, pemain tidak ada pilihan dan hanya perlu menerima serta redha untuk mengambilnya walaupun mungkin barang tersebut nilainya tidak sepadan dengan bayaran yang telah dimasukkan bagi bermain permainan tersebut. Jika mahukan barang yang lain, maka pemain perlu memasukkan sekali lagi wang ke dalamnya dan terus bermain sehingga dapatlah capsule yang mengandungi barang yang diingini.

Secara umumnya, praktikal dalam permainan ini mempunyai unsur perjudian yang diharamkan oleh syariat agama Islam. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya, ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan kedua-duanya boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk pengambilan harta orang lain secara batil. Di samping itu, ia juga melalaikan manusia daripada mengingati Allah SWT dan mengerjakan solat.

Beliau menjelaskan lagi, pertaruhan di dalam perjudian akan menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan ada yang sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.

Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga dia tidak ingat selain daripada harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 6/49 dan 12/82).

Tambahan lagi, pengarang al-Fiqh al-Manhaji turut menyatakan, setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membantutkan akal fikiran seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan jenis ini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/146).

Selain daripada itu, konsep yang diketengahkan dalam permainan ‘mesin tikam’ ini juga adalah menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar. Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan). Tambahan lagi, sebagaimana yang telah kami sebutkan di atas, ia dilihat mengandungi unsur jual beli yang dilarang iaitu unsur perjudian di mana merangkumi jual beli yang tidak menyatakan barangan yang dijual secara jelas.

Di antara bentuk jual beli yang dilarang yang dinyatakan oleh nas ialah jual beli munabazah (campak-mencampak) dan mulamasah (sentuh-menyentuh). Iaitu kedua-dua pihak berurusan dengan suatu barangan yang tidak ditentukan mana satu.  Dengan itu, apabila penjual mencampakkan mana-mana satu barangan atau pembeli menyentuh mana-mana satu barangan, barangan tersebutlah yang akan dijual. Termasuk dalam erti kata jual beli ini adalah menjual baju dalam gelap dan pembeli akan menyentuh tanpa melihat barangan yang ingin dibeli.

Begitu juga pembelian sesuatu barangan walaupun sudah ditentukan, tetapi dikira berlaku terus apabila sahaja barang tersebut dilempar atau disentuh. Jelas dalam contoh yang pertama, wujud keadaan tidak mengetahui barangan yang dijual. Sementara dalam contoh yang kedua, wujud keadaan kehendak salah satu pihak dinafikan. Ini kerana pembeli atau penjual tidak mengetahui sebaik sahaja sesuatu barang dicampak atau disentuh, pihak yang satu lagi mesti membeli atau menjual barang tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/36).

Terdapat riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ لِبْسَتَيْنِ وَعَنْ بَيْعَتَيْنِ، نَهَى عَنِ الـمُلاَمَسَةِ وَالـمُنَابَذَةِ فِي البَيْعِ. وَالـمُلاَمَسَةُ: لَمْسُ الرَّجُلِ ثَوْبَ الآخَرِ بِيَدِهِ بِاللَّيْلِ أَوْ بِالنَّهَارِ وَلاَ يُقَلِّبُهُ إِلَّا بِذَلِكَ. وَالـمُنَابَذَةُ: أَنْ يَنْبِذَ الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ بِثَوْبِهِ، وَيَنْبِذَ الآخَرُ ثَوْبَهُ، وَيَكُونَ ذَلِكَ بَيْعَهُمَا عَنْ غَيْرِ نَظَرٍ وَلاَ تَرَاضٍ، وَاللِّبْسَتَيْنِ: اشْتِمَالُ الصَّمَّاءِ، وَالصَّمَّاءُ: أَنْ يَجْعَلَ ثَوْبَهُ عَلَى أَحَدِ عَاتِقَيْهِ، فَيَبْدُو أَحَدُ شِقَّيْهِ لَيْسَ عَلَيْهِ ثَوْبٌ. وَاللِّبْسَةُ الأُخْرَى: احْتِبَاؤُهُ بِثَوْبِهِ وَهُوَ جَالِسٌ، لَيْسَ عَلَى فَرْجِهِ مِنْهُ شَيْءٌ.

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada dua cara berpakaian dan dua jenis jual beli. Baginda melarang daripada mulamasah dan munabazah dalam jual beli. Mulamasah ialah seseorang memegang pakaian orang lain dengan tangannya pada waktu malam atau siang hari tanpa membalikkannya (memeriksanya dengan teliti) kecuali demikian (sudah dianggap sebagai jual beli). Munabazah adalah seseorang melemparkan pakaiannya kepada orang lain dan orang itu juga melemparkan kain kepadanya, maka terjadilah perbuatan itu sebagai jual beli antara kedua-duanya tanpa memeriksa barangan tersebut terlebih dahulu dan juga tanpa keredhaan. Adapun dua cara berpakaian (yang dilarang) salah satunya adalah isytimal al-samma’. Al-Samma’ adalah meletakkan pakaian di atas salah satu bahunya sehingga bahagian badannya yang lain terbuka tanpa ada kain yang menutupi, dan cara berpakaian yang lain (yang juga dilarang) adalah ihtiba’ dengan pakaian, dalam keadaan dia duduk tanpa ada sebarang kain yang menutupi kemaluannya.

Riwayat al-Bukhari (5820)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyebutkan, lafaz pada hadith Abu Sa‘id “ نَهَى عَنْ الْمُنَابَذَةِ” (melarang jual beli munabazah) iaitu seseorang melemparkan kainnya kepada orang lain untuk dijual sebelum orang itu membalikkan atau melihatnya. Baginda juga melarang jual beli mulamasah, dan mulamasah ialah seseorang menyentuh kain tanpa melihat kepadanya. Adapun munabazah pula ialah seseorang melemparkan kainnya kepada orang lain, lalu orang lain itu melemparkan pula kain miliknya, maka jual beli (barter) antara keduanya berlangsung tanpa memeriksa barang dan tanpa didasari oleh suka sama suka.

Dalam riwayat Abu ‘Awanah, daripada jalur lain, daripada Yunus disebutkan: “Dan yang demikian itu adalah orang-orang yang melakukan jual beli barang tanpa melihat kepadanya dan tidak pula memberitahukan tentangnya, atau orang-orang yang saling melempar kain sama seperti itu.Justeru, hal ini termasuk dalam kategori qimar (judi).

Begitu juga dalam riwayat Ibn Majah, daripada jalur Sufyan, daripada al-Zuhri disebutkan bahawa munabazah ialah seseorang mengatakan, “Lemparkan kepadaku apa yang ada padamu, dan aku akan melemparkan kepadamu apa yang ada padaku.” Manakala al-Nasa’i meriwayatkan daripada hadith Abu Hurairah bahawa mulamasah ialah seseorang berkata kepada orang lain, “Aku menjual kepadamu kainku dengan kainmu.” Masing-masing daripada keduanya tidak melihat kepada kain yang hendak dijual kepadanya, akan tetapi mereka sekadar merabanya. Sedangkan munabazah pula ialah seseorang mengatakan, “Aku melemparkan apa yang ada padaku dan engkau melemparkan apa yang ada padamu.” Keduanya melakukan jual beli (barter) tanpa ada satu pihak pun di antara keduanya yang mengetahui apa yang ada pada pihak yang lain, dan yang sepertinya. (Lihat Fath al-Bari, 6/473).

Jual beli yang hampir sama dengan jual beli sentuhan dan campakan ialah jual beli baling batu (hasah). Dalam jual beli ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk berjual beli salah satu barang dan ia ditentukan dengan cara yang salah seorang antara mereka membaling anak batu, dan mana-mana barangan yang terkena batu tersebut akan dijual. Terdapat nas yang melarang jual beli seperti ini dan para fuqaha’ pula merumuskan jual beli seperti ini tidak sah kerana wujudnya ketidakpastian dan penafian kepada kehendak salah satu pihak yang berjual beli. Abu Hurairah RA berkata:

أن النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ

Maksudnya:Nabi SAW melarang jual beli baling batu.”

Riwayat Muslim (1513)

Demikian juga dengan jual beli yang diamalkan hari ini. Iaitu beberapa barangan diletakkan di suatu tempat dan sekeping papan atau besi akan dipusingkan. Mana-mana barangan yang berada di tempat papan atau besi itu berhenti akan dijual kepada pembeli dengan harga tertentu. Begitu juga dengan barangan yang ditandakan dengan nombor, kemudian dipusingkan papan putar nombor yang ada pada barangan tersebut akan diambil sebagai barangan yang dijual dan pembeli mesti membelinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/36-37).

Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan menyebutkan, dilarang daripada jual beli secara mulamasah (sentuh-menyentuh) dan munabazah (campak-mencampak) kerana terdapatnya ketidaktahuan (jahalah) yang membawa kepada pertelingkahan. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 6/93).

Jual beli sebegini, menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani sebagai bentuk jual beli Jahiliyyah. (Lihat Fath al-Bari, 4/358). Imam al-Nawawi menyifatkan jual beli sebegini adalah batil dan tidak sah kerana mengandungi unsur gharar. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/155).

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, katanya:

أنَّ النَّبِي صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang jual-beli gharar (tidak jelas statusnya).”

Riwayat Muslim (1513); Abu Dawud  (3376); al-Tirmizi (1230); al-Nasa’i (4518); Ibn Majah (2194).

Al-Baji menjelaskan, apabila hal ini telah diketahui dengan baik, maka ketahuilah bahawa gharar dapat terjadi daripada tiga sudut: akad, harga atau barang yang diperjual-belikan dan tempoh pembayaran atau penyerahan barang. (Lihat al-Muntaqa, 5/41).

Ibn al-Rusyd lebih terperinci menegaskan, antara akad jual beli yang terlarang ialah pelbagai jenis akad jual beli yang berpotensi menimbulkan kerugian pada orang lain, kerana adanya ketidakjelasan status. Dan ketidakjelasan status dalam akad jual beli dapat ditemukan pada:

  •     Ketidakpastian dalam penentuan barang yang diperjual-belikan.
  •     Ketidakpastian akad.
  •     Ketidakpastian harga.
  •     Ketidakpastian barang yang dijual belikan.
  •     Ketidakpastian kadar harga atau barang.
  •     Ketidakpastian tempoh pembayaran atau penyerahan barang.
  •     Dan ketidakpastian sepenuhnya pada barangan yang diperjual-belikan. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, 2/148).

Imam al-Mawardi menyebutkan, hakikat gharar yang terlarang dalam akad jual beli ialah suatu keadaan yang memiliki dua kemungkinan, akan tetapi kemungkinan buruklah yang paling besar peluangnya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 5/25).

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa permainan ‘mesin tikam’ ini adalah haram dan dilarang. Hal ini kerana kami melihat wujudnya elemen berikut padanya iaitu:

  1. Gharar (ketidaktentuan semasa aqad akan apakah barangan yang akan diperolehi secara tepat dengan bayaran yang dibuat).
  2.     Jahalah (ketidaktahuan barangan yang diperolehi).
  3. Perjudian kerana terdapat elemen zero sum game iaitu satu pihak untung dan satu pihak akan rugi, yang untung atas kerugian orang lain.

Bukan itu sahaja, jika pemain atau pembeli menyatakan redhanya dengan perolehan barang melalui mesin tikam tersebut, ia tetap tidak diharuskan oleh syarak sebagaimana keredhaan pemain judi akan menang atau kalahnya.

Selain itu, permainan tersebut secara langsung dilihat sebagai menafikan serta mengabaikan hak pemain selaku pembeli untuk memilih barangan yang dikehendakinya setimpal dengan harga yang dibayar. Justeru, jaminan confirm mendapat barang apabila duit dimasukkan tidak menjadikannya jual beli yang diharuskan apabila prinsip-prinsip jual beli yang sepatutnya ada dilanggar atau dinafikan. Begitu juga, permainan seperti ini dilihat lebih kepada keberuntungan nasib pemain semata-mata. Maka, oleh sebab itu jelas ia mirip kepada perjudian dan tidak dibenarkan di dalam Islam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply