Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada beberapa persoalan. Adakah kita boleh meletak sesuatu amalan sebagai penyebab kita mendapat sesuatu nikmat? 

  • Contoh 1 : Oleh sebab saya selalu beristighfar, saya mudah mendapat parking kereta walau di tempat sesak. Orang sentiasa memberi laluan semasa beratur atau berurusan dikaunter kerajaan. Semuanya seperti “dilorongkan” supaya mudah. 
  • Contoh 2 : Dulu bisnes saya teruk. Selepas mengamalkan zikir (tertentu), perniagaan saya bertambah maju.
  • Contoh 3 : Dulu anak saya agak nakal, selepas saya amalkan zikir (tertentu) anak saya sudah tidak nakal lagi. 

Adakah kita boleh meletak sesuatu amalan sebagai penyebab kita mendapat sesuatu nikmat? Perkara sebegini banyak berlegar dikalangan rakan-rakan FB saya. Adakah dalil Al-Quran atau Hadith Nabi mengenai perkara ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Segala sesuatu diciptakan dengan takdir. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan takdir.

(Surah al-Qamar: 49)

Al-Maraghi berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang terjadi dalam kehidupan dunia ini, adalah ketentuan Allah SWT dan pembentukannya, menurut ketentuan hikmah-Nya Yang Maha Bijaksana dan aturan-Nya yang menyeluruh dan sesuai dengan sunnah-sunnah yang Dia letakkan pada makhluk-Nya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 27/101)

Ayat ini menunjukkan bahawa makna qadar atau takdir itu ialah suatu peraturan yang tertentu yang telah dibuat oleh Allah SWT untuk segala yang ada di alam semesta yang maujud ini.

Oleh itu, peraturan-peraturan tersebut merupakan undang-undang umum atau kepastian yang diikatkan di dalamnya sebab dan musababnya, juga antara sebab dan akibatnya. Imam al-Nawawi Rahimahullah memberikan definisi takdir itu dan berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT sudah digariskan sejak zaman dahulu lagi. Allah SWT Maha Mengetahui setiap yang terjadi pada segala sesuatu tersebut dalam waktu-waktu yang telah ditentukan, sesuai dengan garis yang ditetapkan oleh-Nya. Oleh itu, terjadinya hal ini, pasti akan sesuai menurut sifat-sifat dan keadaannya yang khusus, tepat seperti yang digariskan oleh Allah SWT itu.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/154)

Selain itu, Allah SWT telah menjadikan doa sebagai sebab untuk meraih apa yang diinginkan. Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

(Surah Ghafir: 60)

Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 183/24)

Kita disuruh berdoa kerana besarnya kesannya terhadap apa yang akan berlaku. Daripada Ibn Umar R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ

Maksudnya: “Sesungguhnya doa bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (3548)

Manakala dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW menjelaskan betapa besarnya kuasa doa sehingga mampu mengubah sesuatu takdir. Daripada Thauban R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ ، وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang itu boleh terhalang dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa.”

Riwayat Ibn Majah (4022), Ahmad (22745) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9752)

Seseorang yang tidak berdoa merupakan orang yang keliru dengan konsep takdir dan doa. Di dalam kitab Majmu’ Fatawa dijelaskan: “Sesiapa yang berkata: ‘Saya tidak berdoa dan tidak memohon kerana hanya bersandar dengan takdir, maka orang itu keliru. Ini kerana Allah SWT telah menjadikan doa dan permohonan sebagai sebab untuk meraih keampunan dan rahmat-Nya serta memberinya petunjuk dan pertolongan serta rezeki-Nya. Jika seseorang telah ditakdirkan kebaikan dengan doa, maka kebaikan tersebut tidak akan dapat diraih kecuali dengan doanya. (Lihat Majmu’ Fatawa, 8/69)

Dalam menghadapi musibah, doa dan permohonan kepada Allah SWT mampu menolong seseorang dalam menghadapi musibah. Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi menyebut: “Doa merupakan ubat yang paling bermanfaat. Ia merupakan musuh bagi musibah. Ia dapat mengubati dan mengatasinya, mencegah turunnya musibah atau mengangkatnya atau meringankannya. Ia merupakan senjata orang beriman. Doa dalam menghadapi musibah terbahagi kepada tiga tingkatan:

  • Doa lebih kuat dari musibah, maka ia dapat mengusirnya.
  • Doa lebih lemah dari musibah, maka musibah dapat mengalahkannya sehinggalah seseorang ditimpa musibah. Akan tetapi boleh jadi doa dapat meringankannya walaupun doanya lemah.
  • Keduanya saling berlawanan antara satu sama lain, saling mencegah terjadinya pada orang tersebut. (Lihat al-Jawab al-Kafi, hlm. 4)

Selain itu, Allah SWT menjadikan sesuatu berdasarkan hukum dan sebab sebagaimana firman-Nya:

 وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا 

Maksudnya: “Dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang disebabkannya.”

(Surah al-Kahfi: 84)

Imam al-Tabari berkata: Firman-Nya “ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا” iaitu, apa yang menjadi sebab kepadanya iaitu ilmu. (Lihat Tafsir al-Tabari, 18/94)

Syeikh al-Sa’di pula berkata: “Allah memberikan kepadanya sebab-sebab yang membantu dia mencapai apa yang dia capai. Dengan itu, dia menggunakan sebab-sebab tersebut untuk menaklukkan negara-negara dan memudahkan akses ke perkotaan yang jauh. Dia menggunakan sebab-sebab yang Allah berikan kepadanya. Tidak semua orang yang memiliki sebab-sebab akan menggunakannya, dan tidak semua orang mampu melaksanakan sebab-sebab tersebut. Jika kemampuan untuk menggunakan sebab-sebab yang sebenarnya dan bertindak mengikutnya bergabung, maka tujuan akan tercapai. Jika tidak, maka tidak akan tercapai tujuan tersebut atau hanya salah satunya tercapai.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 485)

Tambahan pula, hukum sebab dan musabab ini adalah perkara biasa, banyak nas yang menggabungkan antara sabab dan musabab seperti firman Allah SWT:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),”

(Surah al-Talaq: 2)

Imam Al-Qurtubi menukilkan daripada Hussain bin Fadhl: “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah pada menunaikan segala kewajipan Fardhu maka akan diberikannnya jalan keluar daripada segala balasan seksa dan diberikan rezeki iaitu pahala daripada yang tidak disangka-sangka iaitu Alah Taala akan memberkati setiap apa yang diberikan kepadanya.” (Lihat Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/160)

Ayat ini menunjukkan bahawa setiap sebab dan musabab saling berkait antara satu sama lain, seperti “وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ” yang merupakan syart dan “يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا” merupakan jawab syart. Hal ini seolah-olah menunjukkan bahawa taqwa itu adalah penyebab kepada ditunjukkan jalan keluar dalam permasalahan seseorang.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kita hanya boleh meletak sesuatu amalan sebagai penyebab kita mendapat sesuatu nikmat secara umum sahaja tanpa mengkhususkan kepada sesuatu amalan kecuali sekiranya terdapat nas yang secara jelas mengkhususkan perkara tersebut. 

Hal ini kerana ia mungkin menyebabkan kita terlalu bergantung harap dalam penentuan amalan tersebut sehingga kita lupa bahawa Allah sahaja yang boleh menyebabkan sesuatu itu berlaku dengan izin-Nya. Apa yang terbaik adalah dengan menyerahkan segala sesuatu itu kepada Allah SWT di samping kita berusaha yang terbaik berdasarkan kemampuan kita sebagai makhluk.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply