Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada kemusykilan tentang jamak dan qasar, saya menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Abu Dhabi pada jam 7.00 petang Malaysia (waktu Abu Dhabi jam 3.00 petang), ketika itu waktu Maghrib belum masuk di Kuala Lumpur. Dan jangkaan tiba di Abu Dhabi pula pada jam 10.00 malam (waktu Kuala Lumpur 2.00 Pagi).

Perlukah saya menunaikan solat fardhu Maghrib di atas kapal terbang, atau dibolehkan untuk melakukan jamak dan qasar apabila sampai di Abu Dhabi nanti?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Jamak dan qasar merupakan rukhsah (keringanan) yang Allah SWT berikan kepada hambanya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang.”

(Surah al-Nisa’: 101)

Terdapat juga hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.”

Riwayat al-Bukhari (1107)

Jamak dan Qasar Solat Ikut Waktu Negara Berlepas atau Negara Mendarat?

Kewajipan mengerjakan solat bagi seseorang itu bermula apabila masuknya waktu  solat, dan bagi setiap waktu solat pula adanya permulaan dan pengakhirannya.

Perincian mengenai waktu solat telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW. Secara umumnya, waktu solat ini adalah mengikut pergerakan matahari yang merujuk kepada satu titik tertentu. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتِ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرِ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلاَةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبِ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلاَةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلاَةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعِ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتِ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنِ الصَّلاَةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ.

Maksudnya: “Waktu Zohor bermula apabila matahari tergelincir sehingga bayang-bayang seseorang sama panjang dengan badannya selama waktu Asar belum tiba. Waktu Asar pula selama cahaya matahari belum warna kekuningan. Waktu Maghrib pula selama mega merah belum lenyap, dan waktu Isyak berterusan sehingga tengah malam kedua. Sedangkan waktu Subuh bermula sejak terbit fajar hingga matahari terbit. Jika matahari terbit, maka hentikanlah solat kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”

Riwayat Muslim (612)

Melihat kepada persoalan di atas, oleh kerana saudara yang bertanya berlepas daripada Kuala Lumpur sebelum masuknya waktu solat fardhu Maghrib, maka belum diwajibkan ke atasnya untuk menunaikan solat fardhu Maghrib. Ini kerana solat fardhu pada asalnya dilakukan hanya pada waktu yang telah ditetapkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah Al-Nisaa’: 103)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Ini bermakna bahawa hukum Allah ini adalah kefardhuan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu dengan segera yang mungkin. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya ataupun melakukan dalam keadaan cuai dan leka. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 5/143-144)

Adapun perihal melakukan solat jamak dan qasar di dalam kapal terbang, tidak menjadi masalah untuk saudara yang bertanya melakukannya jika diyakini telah masuk waktu solat pada waktu tempatan yang kapal terbang tersebut sedang lalui, akan tetapi perlu cakna bahawa seseorang itu perlu sentiasa menghadap kiblat sepanjang menunaikan solat fardhu.

Sekiranya kapal terbang tersebut membelok dan berlaku perubahan arah kiblat, maka saudara perlu memusingkan badan dan menghadap arah kiblat. Imam al-Nawawi mengatakan bahawa sesiapa solat (ke arah kiblat) berdasarkan ijtihad, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblat itu salah, maka dia wajib qadha’ solatnya, menurut pendapat yang lebih kuat. Dan ketika dia tahu kesalahannya ketika sedang solat, dia wajib mengulangi semula solatnya. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 24)

Isu solat di dalam kapal terbang ini juga telah kami bahaskan secara panjang lebar, saudara boleh rujuk pautan ini: https://maktabahalbakri.com/776-menghadap-kiblat-di-dalam-kapal-terbang/#_ftnref4.

Manakala persoalan saudara sama ada solat qasar dan jamak boleh di lakukan apabila tiba di Abu Dhabi, maka jawapannya adalah boleh dan itulah yang sebaiknya. Ini kerana rukhsah melakukan jamak dan qasar ada 2 keadaan, sama ada secara taqdim atau ta’khir. Oleh kerana saudara tiba di Abu Dhabi pada jam 10.00 malam, kebarangkalian besar telah masuknya waktu solat fardhu Isyak. Saudara boleh niat melakukan jamak ta’khir apabila tibanya di lapangan terbang Abu Dhabi.

Ini lebih baik dan selesa buat saudara agar dapat menunaikan solat dengan tenang dan tidak bersesak-sesak di dalam kapal terbang. Tidak semua syarikat penerbangan menyediakan ruangan khas untuk penumpang menunaikan solat dan kompas kiblat, hal ini menyukarkan sebahagian muslim untuk berijtihad tentang arah kiblat.

Akhir kalam, Islam adalah agama yang mudah dan tidak membebankan. Oleh yang demikian, jika kita menghadapi kesukaran melaksanakan suatu kewajipan, ambillah rukhsah seperti yang telah ditetapkan oleh syara‘. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah al-Baqarah:185)

Allah SWT juga berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply