Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Abang ipar saya merupakan mualaf (orang asli) semalai. Apakah hukumnya abang ipar saya, di hari kematian ibunya yang tidak beragama Islam telah ditepung tawar oleh tok batin di upacara kematian ibunya dan diikuti oleh sedikit jampi / bacaan yang tidak diketahui maknanya . Apakah perlu abang ipar saya membuat solat taubat atau apakah bentuk perkara yang harus beliau lakukan ? Yang kedua , apakah ada doa khusus untuk ibu bapa yang bukan beragama islam (yang telah meninggal dunia) Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, hubungan anak dan ibu sekalipun berlainan agama tetap kekal. Allah perintah kepada orang Islam, jika kedua ibu bapanya tidak memeluk Islam, agar bermuamalah dengan sebaiknya secara yang makruf sepanjang kedua ibu bapanya hidup. Hal ini berasarkan firman Allah:
وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya: “Dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”
(Surah Luqman: 15)
Dalam menjawab persoalan di atas, saya cuba memahaminya dan menoktahkan beberapa noktah:
- Dengan sebab kematian ibunya dalam keadaan bukan Islam, maka dibiarkan cara mengikut kepercayaan agamanya.
- Tindakan abang ipar yang mengunjungi dan menziarahi ibu yang sudah meninggal dunia sekalipun dalam agama yang berlainan adalah terpuji. Ini sebagai menghormati hak ibu dan sebagai seorang anak.
- Jika maksud bomoh atau tok batin membuat upacara terhadap ibu, maka itu adalah berdasarkan kepercayaan dan anutan masing-masing. Islam berlepas diri dan tidak ada kena mengena.
Firman Allah SWT:
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
Maksudnya: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”
(Surah al-Kafirun: 6)
- Jika sekiranya tok batin membaca doa jampi serapah kepada abang ipar atau anak ibu tersebut yang Islam, jika sekiranya kita memahami maksud dan makna yang tidak bercanggah, maka biarkanlah mengikut kepercayaannya. Tetapi jika ada unsur-unsur syirik dan seumpamanya, ada beberapa cadangan:
- Kalau boleh elak, elakkan.
- Jika terpaksa, jangan mempercayai sebarang bentuk khurafat.
iii. Pamerkan akhlak yang mulia sebagai orang Islam dengan sakhsiah Islamiyyah yang unggul.
- Belajar dan tanyalah ulama agar dapat membuat satu keputusan yang terbaik dalam sebarang tindakan seperti itu.
- Berkenaan dengan doa khusus untuk ibu atau bapa yang telah mati sedangkan dia tidak Islam, sejujurnya saya tidak mengetahui. Ini kerana nas doa kepada si mati adalah untuk sesama Islam. Sebagaimana firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.
(Surah al-Hasyr: 10)
Akhir kalam, saya berdoa kepada Allah, semoga Allah tetapka kita atas agama dan ketaatan kepada-Nya.
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H