Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ingin kepastian berkenaan dengan kaedah ulum kalam di sisi ulama mutakallimin berkenaan dengan al-Quran.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, saya kemukakan terlebih dahulu maksud mutakallimin atau ahli kalam. Ahli kalam ialah mereka yang bercakap atau berhujah secara dialektik. Ia menandakan seorang ahli teologi Islam yang mengemukakan kandungan iman dalam bentuk yang rasional, deduktif, dan mempertahankannya kepada mereka yang mempunyai kepercayaan lain.

Antara jawapan yang terbaik adalah apa yang dinyatakan oleh guru kami Fadhilatul Syeikh Dr Mustafa al-Khin, katanya: 

Kaedah ‘ulama’ kalam dan guru-guru mereka yang berlainan daripada kaedah ‘ulama’ salaf berpegang kepada kaedah al-Qur’an sebagai kaedah mereka. ‘Ulama kalam juga beriman dengan Allah dan segala yang dibawa oleh Rasul-Nya. Akan tetapi mereka ingin membuktikannya dengan dalil-dalil logik akal. Mereka memindahkan segala sesuatu keadaan daripada fitrah, perasaan, dan daripada interaksi dengan kedua-duanya ketika melihat tanda-tanda keagungan ‘alam ini kepada lingkungan ‘akal dan penelitian, daripada seni yang indah kepada ‘ilmu dan logik, dan daripada perasaan kepada ‘akal fikiran. Di samping pendekatan al-Qur’an dalam firman Allah yang berikut,

فِي اللَّهِ شَكٍّ فَاطِرِ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya: “Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi?”

Surah Ibrahim (10)

Mereka membuat kaedah yang menerangkan ‘alam ini baharu hingga membawa sebahagian daripada mereka menyatakan bahawa jisim terdiri daripada bahagian-bahagian yang paling halus dan mengemukakan dalil yang menunjukkan bahawa ia tidak dapat terjadi dengan sendirinya yang akhirnya menthabitkan kewujudan Allah. Demikianlah, mereka menggunakan pendekatan ini untuk menthabitkan keesaan Allah SWT dan segala sifat-Nya. Setiap langkah akan menimbulkan persoalan dan perdebatan serta membuka tajuk-tajuk baharu, dan mereka berterusan begitu sampailah ke akhirnya.

Dalam aspek lain pula mereka berasa tidak memadai beriman dengan perkara-perkara yang kesamaran secara umum sahaja. Justeru mereka mengumpulkan beberapa ayat yang ada kalanya tampak bertentangan antara satu dengan yang lain seperti ayat-ayat penegasan, dan ayat-ayat yang menunjukkan pilihan, dan ayat-ayat yang menyebutkan tangan, wajah, arah, tempat, melihat Allah dan seumpamanya. Mereka membuka ruang berfikir dan melakukan sesuatu yang tidak berani dilakukan oleh golongan Salaf al-Soleh. Setiap masalah yang mereka teliti dirumuskan dalam sesuatu pendapat kemudian mereka melihat ayat-ayat yang tampak bertentangan dengan ayat-ayat sebelumnya lalu mentakwilkannya. Justeru pentakwilan adalah antara ciri-ciri utama ‘ulama’ kalam. Apabila kajian mereka menafikan adanya arah (الجِهَة) bagi Allah SWT maka pastilah mata manusia tidak dapat melihat-Nya. Ini adalah kerana mata dicipta khusus untuk melihat sesuatu yang mempunyai arah (الجِهَة). Justeru mereka mentakwilkan hadith-hadith tentang manusia melihat Allah. Demikianlah, pentakwilan adalah antara ciri-ciri utama dan yang membezakan mereka dengan golongan salaf.

Kecenderungan mentakwil dan memberikan ‘akal kebebasan untuk mengkaji, meneliti dan membuat keputusan mengikut pandangannya sudah semestinya menyebabkan perselisihan pendapat yang ketara. Contohnya, jika penelitian sesuatu golongan membawa kepada menerima ayat-ayat yang memberi pilihan (الاخْتِيَارُ) dan mentakwil ayat-ayat yang tegas (الْجَبْرُ) maka penelitian golongan yang lain pula mungkin menerima ayat-ayat yang tegas dan mentakwilkan ayat-ayat yang memberi pilihan.

Kedua-dua perkara ini, iaitu pegangan kepada dalil- dalil ‘akal dan pentakwilan nas menyebabkan berleluasanya perselisihan pendapat dan dalil-dalil yang tidak terhingga banyaknya pada sepanjang zaman ‘ulama’ kalam. Perselisihan ini tidak pernah wujud semasa hayat Nabi dan pada zaman permulaan Islam.

Kenyataannya, yang mendorong ‘ulama’ kalam merentasi kaedah ini adalah sebagaimana yang dikemukakan dalam tajuk Perkembangan Ilmu Kalam, iaitu golongan mereka yang awal-awal telah melibatkan diri dalam perbahasan yang mendalam bersama-sama penganut agama lain di kalangan Nasrani dan penyembah berhala yang Yahudi, Nasrani dan pemikiran mereka dipengaruhi oleh falsafah. Kepada mereka tidak memadai dengan menyebut ayat-ayat al-Qur’an atau hadith daripada sunnah Rasulullah sahaja, tetapi mahu merujuknya melalui kaedah yang bersandarkan kekuatan ‘akal. Justeru keadaan ini menyebabkan ‘ulama’ kalam menggunakan kaedah dan jalan mereka itu serta mengumpulkan bukti-bukti akal tentang kewujudan Allah. Untuk tujuan itu, mereka mengarang kitab-kitab sepertimana yang telah diusahakan oleh al-Jahiz untuk menthabitkan kenabian secara umum dan kenabian Muhammad secara khusus.

Hal ini adalah kerana terdapat golongan yang mengingkari prinsip-prinsip ketuhanan yang dikenali sebagai golongan al-Tobii’i dan golongan al-Dahri, golongan yang golongan yang tidak mengi’tiraf kenabian, dan mengi’tiraf kenabian tetapi mengingkari kenabian Muhamamad. Isu-isu ini menyebabkan mereka melibatkan diri dalam perdebatan yang hangat dan menggunakan hujjah-hujjah falsafah selari dengan hujjah-hujjah mereka yang mengingkarinya. (Lihat Dhuha al-Islam, 1/1-17)

Justeru daripada kedua-dua kaedah ini pendekatan manakah yang lebih utama, lebih kuat bagi menjelaskan hal-hal ‘aqidah, dan lebih selamat?

Tidak syak lagi bahawa yang paling utama dan lebih berhikmah ialah pendekatan golongan salaf yang berpegang kepada kaedah al-Quran pimpinan Ilahi. Memadailah jika dinukilkan penjelasan Ibn Khaldun dalam bukunya Muqaddimah, “Oleh yang demikian syarak melarang kita mengkaji sebab-sebab sesuatu. Sebaliknya menyuruh kita mengesakan-Nya semata-mata.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT,

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدُ اللهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; la tidak beranak dan la tidak pula diperanakkan; Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya.”

Surah al-Ikhlas (1-4)

Justeru janganlah mempercayai bahawa pemikiran mampu menyelami segala kejadian dan sebab-musababnya. Lantaran itu cuba menghuraikan hakikat wujud keseluruhannya.

Ketahuilah bahawa hakikat wujud yang difahami oleh seseorang menurut pandangan awalnya adalah terbatas dalam jangkauan mindanya sahaja sedangkan keadaan sebenarnya berlainan daripada itu. Tidakkah kamu tahu bagaimanakah orang pekak mengetahui sesuatu melalui indera yang empat dan mengetahui perkara-perkara yang boleh difikirkan? Dia telah kehilangan deria pendengaran buta kehilangan deria penglihatan. sebagaimana si buta kehilangan Seandainya mereka tidak diajar oleh ibu bapa mereka, orang tua-tua zaman mereka dan masyarakat tentulah mereka tidak dapat menyatakannya. Akan tetapi mereka hanya mengikut pandangan orang ramai untuk menthabitkan segala jenis tersebut, dan bukan bergantung kepada fitrah dan pengetahuan semula jadi mereka.

Jika ditanya binatang yang tabi’atnya tidak boleh berkata-kata, tiba-tiba ia menjawab sudah tentu tidak boleh diterima oleh ‘akal bahkan ditolak sama sekali. Justeru apabila diamati berkemungkinan terdapat satu daya mengetahui yang lain selain daripada keupayaan pengetahuan. Hal ini adalah kerana keupayaan pengetahuan itu kejadian yang dicipta sedangkan ciptaan Allah lebih banyak daripada ciptaan manusia, sempadannya tidak diketahui dan kewujudannya lebih luas daripada itu. Allah sahajalah yang mengetahui hakikatnya. Justeru berwaspadalah dengan pengetahuan dan keupayaan berfikir yang terbatas itu dan ikutlah apa yang disuruh oleh syara’ sama ada dari aspek aqidah ataupun ‘amalan. Dia lebih menjamin kebahagiaan kamu dan lebih mengetahui apa-apa yang terbaik untuk kamu kerana Dia mengatasi kekuatan pengetahuan kamu yang lebih luas daripada ruang litup pemikiran kamu. Hal ini tidaklah merendah-rendahkan ‘akal dan kemampuannya bahkan ia merupakan neraca yang tepat yang keputusannya menyakinkan dan tiada kepalsuan. Sayangnya kamu tidak berminat menggunakannya sebagai timbang tara perkara-perkara tauhid, akhirat, hakikat kenabian, hakikat sifat-sifat ketuhanan dan lebih jauh daripada itu.

Hal yang demikian merupakan keinginan mencapai sesuatu yang mustahil. Contohnya, seseorang yang melihat dacing penimbang emas bercita-cita menggunakannya untuk menimbang gunung. Hal ini bukanlah bererti keputusan timbangannya tidak betul tetapi tidak terjangkau oleh ‘akal untuk menerimanya. sehinggalah ia menyerahkannya kepada kekuasaan Allah dan kesempurnaan sifat-sifat-Nya kerana ia adalah ciptaan-Nya.

Sesungguhnya dalam kesilapan tersebut adalah bijak sesiapa yang mendahulukan ‘akal pendengarannya, mendahulukan ‘akal daripada kecetekan fahaman dan kecelaruan pemikirannya. Dengan itu, terserlahlah segala kebenaran.” (Lihat Muqaddimah Ibnu Khaldun, 8/ 558-559).

(Lihat al-Aqidah al-Islamiyyah oleh Dr Mustafa Sai’d al-Khin hlm. 186-192)

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply