Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada sedikit kemusykilan dan persoalan dan memerlukan pandangan daripada pihak ustaz mengenai faraid. 

Kisahnya begini : Arwah mak saya telah meninggal dunia tahun lepas dan segala urusan harta perlu diuruskan. Selepas perbincangan sesama ahli waris iaitu adik beradik saya, ada pihak yang tidak bersetuju untuk pembahagian dibuat sama rata dan diminta mengikut faraid. 

Masalahnya timbul apabila terdapat 2 orang ahli waris mempunyai hutang wang dengan arwah yang belum pun dilunaskan. Ada ahli waris kata mereka tidak layak dapat bahagian faraid dan tidak mahu si pemiutang dimasukkan nama sebagai penerima. saya ingin mohon pandangan ustaz tentang perkara ini? 

Adakah anak yang berhutang ini layak mendapat bahagian faraidnya, jika ia layak dapat, apakah hukum jika ahli waris lain menidakkan hak waris tersebut? Adakah dosa itu akan jatuh pada pemegang tabir harta kerana gagal menjalankan tanggungjawab dengan adil.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ilmu faraidh pada syarak bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”                

(Surah al-Nisa’: 7)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.

Banyak hadith-hadith Nabi SAW yang membincangkan isu pusaka dan faraid serta bentuk pembahagiannya. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/284-286), antara lain menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.

Ia merupakan syariat Allah yang Maha Bijaksana dan Terpuji. Ia memelihara kepentingan semua orang. Walau bagaimana pun manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, namun undang-undang Allah SWT tetap merupakan undang-undang yang terbaik.

Allah SWT berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِين

Maksudnya: “Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”

(Surah al-Nisa’: 13-14)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Iaitu, perincian yang disebut dalam pewarisan harta adalah had-had Allah yang perlu dihormati dan tidak boleh dilanggar atau ditinggalkan. Ini merupakan petunjuk bahawa wasiat kepada waris telah dihapuskan menurut takdir-Nya, sebagai langkah yang dibuat oleh Allah untuk menguji waris-waris tersebut. Kemudian Allah berfirman, ‘Itulah had-had Allah.’ Oleh itu, jika waris menerima lebih daripada haknya, itu adalah pelanggaran terhadap had-had tersebut, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW, ‘Tidak ada wasiat bagi waris.’ Kemudian disebut ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, serta pelanggaran kepada keduanya secara umum, untuk memasukkan kepatuhan terhadap hukum waris dan meninggalkan pelanggaran tersebut. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 170)

Justeru, dalam hal ini bahawa pembahagian harta mestilah mengikut kaedah faraid yang telah ditetapkan oleh Islam melainkan sekiranya semua ahli waris bersetuju untuk melepaskan haknya dengan membahagikan sama rata. Tetapi sekiranya seorang daripada ahli waris tidak bersetuju, maka ia mestilah diselesaikan dengan kaedah faraid.

Suka untuk kami tegaskan bahawa apa yang Allah putuskan sudah tentu mempunyai hikmah tersendiri. Terkadang-kadang tercapai oleh akal kita dan kadang-kadang di luar jangkauan akal kita. Justeru, amat perlu seseorang memahami apa yang telah diputuskan oleh Allah.

Kami cadangkan perkara pertama apabila berlaku kematian, mulakan dengan urusan yang membabitkan harta si mati mengikut apa yang telah ditetapkan oleh para ulama’. Antaranya:

  • Gunakan harta tersebut untuk penyelesaian berkenaan dengan urusan pengebumian si mati.
  • Sebarang bentuk hutang yang ditanggung oleh si mati hendaklah diselesaikan terlebih dahulu.
  • Sebarang bentuk acara ibadat membabitkan harta yang belum dilaksanakan oleh si mati hendaklah dilaksanakan dahulu seperti badal haji, zakat, nazar dan lain-lain.
  • Jika si mati pernah berwasiat berkenaan hartanya seperti ingin berwakaf atau memberi kepada seseorang, maka hendaklah dilaksanakan. Tetapi jangan melebihi satu pertiga daripada jumlah nilaian harta.
  • Selepas selesai semuanya, maka barulah harta tersebut berhak dibahagi mengikut faraid yang telah ditetapkan oleh syarak.
  • Sekiranya harta itu ingin dibahagikan secara sama rata, hendaklah dilakukan secara faraid terlebih dahulu, dan kemudian masing-masing berhak untuk tanazul atau mengurangkan haknya dengan pembahagian secara sama rata. Ini kerana selepas dimiliki, maka menjadi milik sepenuhnya oleh seseorang itu. Justeru, berhaklah ia untuk bertindak membahagikan kepada kaum keluarganya yang lain.
  • Kami juga cadangkan supaya pembahagian pusaka dilakukan secepat mungkin supaya tidak timbul kematian ahli waris yang lain pula sebelum diberikan hak kepada mereka. Ini sudah pasti akan menyukarkan dan menyusahkan untuk pembahagian dan kadang-kadang membawa kepada ketidakadilan dalam pembahagian. Hal ini juga menyebabkan pembahagian terpaksa dibuat secara beberapa lapis yang dikenali sebagai hukum munasakhah.

Adakah Hutang Termasuk dalam Pewarisan Harta?

Dalam bahasa Arab hutang disebut sebagai al-qardh (القَرضَ). Al-Qardh dari segi bahasa bermaksud potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir: ‘قَرَضْتُ الشَّيْءَ قَرْضًا’ bermaksud saya memotong sesuatu. Kata nama perkataaan ini pula membawa maksud satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Perkataan ini digunakan dalam bahasa Arab kerana ia  (hutang) memotong hak pemilik terhadap barangan tersebut. (Lihat al-Misbah al-Munir, 2/497)

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. Dalam bahasa Arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada kepada penghutang. Ini sesuai dengan makna qardh dari segi bahasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Hutang yang dipinjam wajib dilunaskan dalam jumlah yang sama dengan yang diterima daripada pemiliknya dalam tempoh yang disepakati. Orang yang berhutang wajib melunaskan hutang dan apabila telah sampai tempoh yang disepakati dan setelah dia merasa berkemampuan untuk melunaskannya. Rasulullah SAW melarang daripada menangguhkan pembayaran hutang. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِىِّ ظُلْمٌ وَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِىءٍ فَلْيَتْبَعْ

Maksudnya: “Penangguhan orang yang telah berkecukupan adalah perbuatan zalim, dan apabila tagihanmu dipindahkan kepada orang yang berkecukupan, maka hendaknya dia pun menurutinya.”

Riwayat Muslim (4085)

Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa semua ahli waris berhak mendapatkan faraid mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syara’ dan tidak ada sesiapa pun yang boleh menidakkan hak ahli waris yang lain walaupun orang tersebut berhutang

Dalam hal ini, kami katakan bahawa hutang oleh ahli waris itu termasuk dalam harta yang perlu diwariskan, maka sejumlah hutang tersebut perlu diselesaikan atau hutang tersebut dikira sebagai harta si mati sebelum ia difaraidkan kepada ahli waris. Selain itu, sekiranya ada dalil atau bukti yang menunjukkan bahawa hutang tersebut telah dihalalkan oleh si ibu sebelum kematiannya, maka tidaklah perlu dibayar hutang tersebut, tetapi sekiranya hutang tersebut masih lagi dianggap hutang sehingga si ibu meninggal dunia, maka hutang itu wajib dilunaskan, dan sekiranya hutang itu terlalu banyak, maka berundinglah dengan cara yang baik dengan ahli waris yang lain supaya isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Maka menjadi tanggungjawab setiap ahli waris untuk memberikan kerjasama dalam menyelesaikan isu faraid ini termasuklah orang yang menjadi pemegang tadbir harta. Hal ini kerana faraid adalah hukum yang Allah jelaskan secara terperinci di dalam al-Quran sebagai panduan kepada kita sebagai manusia.

Semoga jawapan yang kami kemukakan ini mendapat perhatian yang sewajarnya dalam berinteraksi dengan harta pusaka atau peninggalan si mati. Kami berdoa kepada Alah, semoga Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang benar dan diredhai-Nya:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply