Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Soalan ini lebih kepada sejarah, terpulang kepada Dr untuk jawab ataupun tidak: Zaman dulu Masjid dan surau di Nusantara banyak menggunakan Beduk yang diketuk (diikuti dengan azan) untuk menandakan telah masuknya waktu solat. Bolehkah Dr perjelaskan akan rasional penggunaannya yang meluas di Nusantara dan tanah air kerana selain di Nusantara agak kurang penggunaan gendang?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan takrifan beduk. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, beduk adalah sejenis gendang besar di surau, masjid dan lain-lain. Atau juga dikenali sebagai tabuh. 

Ia merupakan sebuah gendang yang digunakan bagi menandakan masuk waktu solat di surau atau masjid pada zaman dahulu di serata rantau Nusantara, Asia Tenggara; ia juga digunakan sebagai alat muzik semasa upacara rasmi pada suatu masa dahulu. Alat ini sering dipukul mengikut rentak yang semakin menaik lajunya atau accelerando.

Pada kebiasaannya ia diperbuat daripada bingkai kayu batang pokok nangka yang ditebuk, dan hanya sebelah bukaan dipasang kulit baik dari lembu atau kerbau.

Pensyariatan azan 

Pada asasnya, azan merupakan zikir yang khusus, di mana Islam mensyariatkannya sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ‘ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/337)

Para ulama bersepakat bahawa mengumandangkan azan merupakan syiar Islam yang disyariatkan Allah SWT ketika masuknya waktu solat lima waktu, berdasarkan – antaranya – hadis Nabi SAW:

إِذَا حَضَرَتْ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

Maksudnya: “Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dalam kalangan kamu.” 

Riwayat al-Bukhari (6705) dan Muslim (1567)

Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan melakukan azan. Antaranya sabda Nabi SAW:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا

Maksudnya: “Kalaulah orang ramai tahu tentang kelebihan azan, dan berada di saf pertama kemudian tiada ruang bagi mereka kecuali melalui mengundi nescaya mereka sanggup mengundi.” 

Riwayat al-Bukhari (615)

Rasulullah SAW juga bersabda:

فَإِذَا كُنْتَ فِي غَنَمِكَ أَوْ بَادِيَتِكَ فَأَذَّنْتَ بِالصَّلَاةِ فَارْفَعْ صَوْتَكَ بِالنِّدَاءِ فَإِنَّهُ لَا يَسْمَعُ مَدَى صَوْتِ الْمُؤَذِّنِ جِنٌّ وَلَا إِنْسٌ وَلَا شَيْءٌ إِلَّا شَهِدَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu, dan engkau berazan untuk sembahyang, hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.” 

Riwayat al-Bukhari (609)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/338) menyebut: Azan disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar RA katanya: Ketika orang Islam sampai di Madinah mereka berkumpul dan menantikan waktu bersolat. Tidak ada cara yang diserukan bagi solat tersebut. Suatu hari mereka berbincang tentang perkara itu. Sebahagian daripada mereka mencadangkan loceng digunakan sepertimana loceng orang Nasrani, dan sebahagian yang lain pula mengatakan serunai digunakan seperti terompet tanduk yang digunakan oleh orang Yahudi. Umar RA pula berkata: “Kenapakah kamu tidak menyuruh seseorang menyerukan solat? Lalu Rasulullah SAW bersabda:

يَا بِلَالُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلَاةِ

Maksudnya: “Wahai Bilal, berdirilah dan serukan solat.”

Riwayat al-Bukhari (579) dan Muslim (377)

Manakala berkenaan asal usul lafaz azan, terdapat dua orang sahabat yang telah mendapat mimpi yang sama tentang azan ini, iaitu Abdullah bin Zaid R.A dan Umar bin al-Khattab R.A. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan dalam satu hadis yang panjang, daripada Abdullah bin Zaid R.A katanya:

لَمَّا أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِالنَّاقُوسِ يُعْمَلُ لِيُضْرَبَ بِهِ لِلنَّاسِ لِجَمْعِ الصَّلاَةِ طَافَ بِي وَأَنَا نَائِمٌ رَجُلٌ يَحْمِلُ نَاقُوسًا فِي يَدِهِ ، فَقُلْتُ : يَا عَبْدَ اللهِ أَتَبِيعُ النَّاقُوسَ ؟ قَالَ : وَمَا تَصْنَعُ بِهِ ؟ فَقُلْتُ : نَدْعُو بِهِ إِلَى الصَّلاَةِ ، قَالَ : أَفَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ مِنْ ذَلِكَ ؟ فَقُلْتُ لَهُ: بَلَى ، قَالَ : فَقَالَ : تَقُولُ : اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ…رُ

قَالَ : ثُمَّ اسْتَأْخَرَ عَنِّي غَيْرَ بَعِيدٍ ، ثُمَّ ، قَالَ : وَتَقُولُ : إِذَا أَقَمْتَ الصَّلاَةَ ، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ…

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW meminta loceng supaya orang boleh memukulnya bagi menghimpunkan (orang ramai) untuk solat, tiba-tiba saya teringat ketika sedang tidur, seorang lelaki mengelilingi saya (dalam mimpi) dengan memegang loceng di tangannya. Lalu saya berkata: “Wahai hamba Allah, adakah kamu mahu menjual loceng tersebut? Katanya: “Apakah kamu hendak lakukan?” Saya menjawab: “Untuk menyeru orang ramai supaya menunaikan solat.” Dia berkata kembali: “Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan cara yang lebih baik?” Saya jawab: “Sudah tentu.” Katanya: “Sebutkanlah ‘: اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ’……. (sehingga akhir azan).

Tidak lama selepas itu, dia berkata lagi: “Ketika kamu berdiri untuk mengerjakan solat, sebutkan ‘، اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ’ …. (hingga akhir iqamat).

Riwayat Abu Dawud (449)

Setelah terjaga, saya segera menemui Rasulullah SAW dan menceritakan mimpi ini. Lalu Baginda SAW bersabda:

إِنَّهَا لَرُؤْيَا حَقٌّ إِنْ شَاءَ اللَّهُ ، فَقُمْ مَعَ بِلاَلٍ فَأَلْقِ عَلَيْهِ مَا رَأَيْتَ ، فَلْيُؤَذِّنْ بِهِ ، فَإِنَّهُ أَنْدَى صَوْتًا مِنْكَ فَقُمْتُ مَعَ بِلاَلٍ ، فَجَعَلْتُ أُلْقِيهِ عَلَيْهِ ، وَيُؤَذِّنُ بِهِ ، قَالَ : فَسَمِعَ ذَلِكَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ ، وَهُوَ فِي بَيْتِهِ فَخَرَجَ يَجُرُّ رِدَاءَهُ ، وَيَقُولُ : وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ يَا رَسُولَ اللهِ ، لَقَدْ رَأَيْتُ مِثْلَ مَا رَأَى ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : فَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Maksudnya: “Dengan izin Allah, ia adalah mimpi yang benar. Berdirilah bersama bilal dan sampaikan kepadanya apa yang kamu lihat supaya dia boleh melaungkan azan kerana suaranya lebih baik daripada kamu. Lalu saya bangun bersama Bilal dan menyampaikan kepadanya. Lantas dia pun melaungkan azan. Umar al-Khattab yang berada di rumahnya mendengar laungan azan tersebut, lalu keluar sambil menarik jubahnya. Katanya: “Demi Tuhan yang mengutus engkau dengan kebenaran wahai Rasulullah, saya juga melihat seperti apa yang dilihatnya (Abdullah). Baginda menjawab: “Segala puji bagi Allah.”

Riwayat Abu Daud (449)

Sejarah Penggunaan Beduk Di Nusantara

Beduk sebenarnya berasal dari India dan China. Menurut legenda Cheng Ho dari China, ketika Laksamana Cheng Ho datang ke Semarang, Jawa Tengah, mereka mendapat sambutan baik dari Raja Jawa pada ketika itu itu. 

Ketika Cheng Ho hendak pergi dan memberikan hadiah, raja dari Semarang mengatakan bahawa mereka ingin mendengarkan suara beduk dari masjid. Hal ini sama seperti fungsi beduk di China, Korea, dan Jepun, di mana alat tersebut diletakkan di kuil-kuil sebagai alat komunikasi ritual keagamaan.

Menurut catatan sejarah, beduk juga pernah berfungsi sebagai media untuk mengumpulkan penduduk dari berbagai desa dalam rangka persiapan perang. Tambahan lagi beduk juga berfungsi sebagai pemberi tanda atau petanda bunyi. 

Pada masa penjajahan Belanda, sebuah catatan pelayaran Belanda yang pertama ke Nusantara oleh Cornelis de Houtman mencatat keberadaan beduk, bonang, gendang, dan gong. Di dalam catatan tersebut, Houtman menuliskan bahawa beduk popular di daerah Banten, Jawa Barat.

Selepas itu, beduk dikaitkan dengan Islamisasi yang dilakukan oleh Wali Songo sekitar abad ke-15 atau abad ke-16. Beduk mula diletakkan di masjid-masjid dan berfungsi untuk mengajak umat Islam melaksanakan salat lima waktu. Terdapat masjid-masjid yang meletakkan beduk di beranda atau lantai atas. Namun, ada pula yang diberi rumah kecil, terpisah dari masjid. 

Pada 1659, memukul beduk sudah menjadi satu tradisi. Ketika seorang doktor kapal Belanda, Wouter Schouten berlayar ke Ternate, ia mencatat penggunaan beduk ketika itu untuk memanggil orang-orang datang ke masjid. 

Dua tahun kemudian, ketika dia berada di Banten, dia melihat sebuah beduk yang tinggi dan lebar sebesar kaki di tepi menara masjid. Bunyi paluan beduk dapat didengari hingga bermil-mil hingga ke pergunungan. Kini, beduk diketuk untuk memberi tahu waktu solat sudah tiba dan sebagai tanda awal dan akhir waktu untuk berpuasa.

Justeru, dalam menjawab persoalan di atas kami katakan bahawa sebaik-baiknya adalah dengan azan. Tetapi, perlu difahami situasi mungkin berubah dari satu zaman ke zaman yang lain atau dari sebahagian tempat. 

Kami katakan situasi tiga atau empat puluh tahun dahulu dan ke belakangnya, masyarakat ketika itu khususnya di Tanah Melayu dan di kampung-kampung bersifat konvensional dan traditional. Jarak antara satu rumah dengan satu rumah boleh jadi jauh. Dan walaupun dengan nama kampung masih tebal dengan pohon kayu, belukar yang menghalang suara muazzin atau bilal untuk melaungkan azan sehingga didengari oleh penduduk kampung. 

Tambahan pula, ketika itu pembesar suara di sebahagian masjid atau surau tiada. Begitu juga, kalau ada pun suaranya limited atau terbatas untuk sampai kepada penduduk kampung yang jauh. Inilah punca mereka menggunakan beduk pada pendapat saya. 

Mereka sekali-kali tidak akan cuba menyamakan dengan apa yang dilakukan oleh agama lain ketika menggunakan naqus, beduk, trompet, loceng atau sebagainya. Matlamat mereka lebih mengiklankan dan memanggil orang ramai untuk berhimpun, hatta apabila berlaku kematian juga ditabuhkan beduknya. 

Akan tetapi, saya berpendapat pada zaman kini, beduk kurang sesuai kerana untuk menyampaikan ke pendengaran azan yang dilaungkan oleh muazzin dapat didengari dengan jelas dengan adanya pembesar suara yang terbaik sesuai dengan perubahan zaman dan bersifat up to date. 

Justeru, memadai sahaja untuk bilal dan muazzin melaungkan azan tanpa perlu menabuh kepada beduk seperti zaman dahulu. Semoga pencerahan ini memberi kefahaman kepada kita untuk terus menghayati agama Islam mengikut neraca syariah yang sebenar berpandukan al-Quran al-Karim dan Sunnah al-Nabawiyah.

Kami akhiri dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply