Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memakan balut? Balut ialah telur itik atau telur ayam yang berisi embrio yang hampir sempurna dan ia direbus lalu dimakan.  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif balut. Ringkasnya, balut ialah telur itik atau ayam yang berisi embrio itik yang hampir sempurna yang direbus dan dimakan. Makanan ini sangat sering ditemui di Asia Tenggara, seperti Filipina, Kamboja, dan Vietnam. Makanan ini dipercayai sebagai afrodisiak[1] dan dianggap berprotein tinggi. Bahasa Tagalog dan bahasa Melayu (termasuk bahasa Indonesia), balut (balot) bererti “membungkus”.[2]

Pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Balut | Traditional Street Food From Philippines, Southeast Asia

Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Terlebih dahulu, secara umumnya semua jenis telur adalah halal dan harus untuk dimakan melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan sebaliknya seperti ia memberi mudarat kepada pemakannya dan seumpamanya. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak. Manakala telur daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya pula, padanya terdapat dua pendapat. Pendapat yang kuat dalam hal ini adalah ia dikira suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/555).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kita sudah mengetahui sebagaimana takrifan di atas bahawa balut ialah telur itik (atau ayam) yang berisi embrio itik yang hampir sempurna lalu ia direbus dan dimakan. Jadi, para ulama ada membahaskan dan menyebutkan hukum memakannya. Hal ini sebagaimana Ibn Hazm menyebutkan, sekiranya dimasak telur dan kemudian didapati ada sejumlah daripada bahagian telur telah rosak seperti ia telah menjadi darah atau anak ayam, maka dibuang bahagian yang rosak dan dimakan bahagian yang masih berbaki (yang masih elok). Ini berasaskan firman Allah SWT:

وَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya: Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).

(Surah al-An‘am: 164)

Maka yang halal kekal halal. Ia tidak dirosakkan oleh perkara haram yang berhampiran dengannya. Demikian yang haram tetap haram, ia tidak akan elok dengan perkara halal yang berhampiran dengannya. (Lihat al-Muhalla bi al-Athar, 6/95).

Begitu juga Syeikh Nawawi Banten al-Syafi‘i turut menyebutkan, sekiranya telur haiwan yang boleh dimakan itu pecah, dan didapati di dalamnya anak ayam yang belum sempurna kejadiannya atau telah sempurna kejadiannya akan tetapi belum lagi ditiupkan roh padanya, maka harus untuk memakannya. Berbeza halnya apabila ia telah ditiupkan roh dan hilang nyawanya tanpa sebarang sembelihan syar‘i, maka ketika itu ia menjadi bangkai. (Lihat Nihayah al-Zin, hlm. 40).

Reasons Why You Should Be Eating Balut

Selain itu, Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyatakan, sekiranya telur burung yang boleh dimakan itu pecah, dan didapati di dalamnya terdapat anak burung yang belum sempurna kejadiannya seolah-olah ia menjadi seketul daging seperti mudghah ataupun ia telah lengkap kejadiannya tetapi telur tersebut pecah dan ia keluar sebelum ditiupkan roh padanya, maka dibolehkan untuk memakannya kerana ia suci dan tidak dianggap menjijikkan sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama mengenai mudghah yang keluar dari haiwan yang boleh dimakan bahawa ia adalah suci dan ia dikira halal melalui penyembelihan ibunya. Bahkan anak burung itu lebih utama dari segi kesuciannya berbanding mudghah kerana ia berubah daripada benda suci tanpa ada khilaf (dalam kalangan ulama), berbeza halnya dengan mudghah yang berubah daripada air mani yang mana padanya terdapat pendapat yang mengatakan ia dihukumkan sebagai najis. (Lihat Fath al-Jawad, hlm. 71-72).

Selain daripada itu, Dr. Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Jibrin pernah ditanya berkenaan sebahagian manusia apabila telur hampir menetas dalam tempoh sehari sebelumnya atau seumpamanya, lalu mereka memasaknya dan memakannya. Jadi, adakah ia halal, sedangkan diketahui bahawa anak ayam (dalam telur itu) telah lengkap pembentukannya?

Beliau menjawab dengan menyebutkan, aku tidak pernah mendengar sesuatu pun dalam hal ini. Akan tetapi jiwa seseorang akan tidak suka kepada perkara tersebut. Hal ini kerana telur apabila hampir menetas padanya terdapat bau busuk. Sekiranya anak ayam yang terdapat dalam telur itu masih bergerak, maka hendaklah ia disembelih. Sebagaimana disembelih jika ia keluar semasa menetas kerana ia merupakan haiwan yang hidup. Justeru, tidak halal dimakan melainkan dengan disembelih (menurut syarak). Adapun jika ia tidak bergerak, maka sesungguhnya ia adalah cebisan daging yang telah sempurna pembentukannya. Maka aku berpandangan hukum memakannya adalah makruh dan aku tidak mengharamkannya.[3]

Eating Vietnamese balut is not a nightmare as you think

 

Soalan yang sama turut diajukan kepada Lajnah Da’imah Arab Saudi, di mana penyoal menyifatkan bahawa ‘Balut’ ialah telur ayam yang diletakkan di tempat penjagaannya sehinggalah sampai ke tahap lengkapnya anggota badan anak ayam di dalam telur tersebut. Tiga hari sebelum telur menetas, ia direbus di dalam air panas sehinggalah ke tempoh tertentu. Kemudian telur itu dipecahkan dan mereka memakan anak ayam (yang sudah sempurna) yang terdapat di dalamnya.

Mereka menjawab, sekiranya keadaannya sama seperti yang dinyatakan, maka anak ayam atau itik (yang masih di dalam telur) tersebut dianggap sebagai bangkai yang tidak boleh untuk dimakan. Hal ini kerana ia sudah terbentuk di dalam telur. Manakala pengharaman bangkai merupakan sesuatu yang telah diketahui dalam agama secara jelas (ma‘lum min al-din bi al-dharurah). (Lihat Fatwa al-Lajnah al-Da’imah, 22/305).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa memakan balut adalah diharuskan tetapi makruh. Akan tetapi keharusan itu terikat selagi mana tidak ada dalil yang menyatakan sebaliknya seperti ia memberi mudarat kepada pemakannya dan seumpamanya. Hal ini kerana sabitan hidup dan bernyawa pada embrio tersebut masih belum nyata sebagai satu haiwan yang bersifat hidup dengan sempurna. Ia juga menepati kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dalam Fatawa Nur ‘ala al-Darb (20/2) ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Selain itu, ini juga menunjukkan kepada sifat keluasan Syariah Islamiyyah dan samahah al-islam sendiri kerana yang halal itu nyata dan yang haram juga nyata seperti yang terdapat di dalam hadith Nabawi yang sahih. Sekalipun begitu, jika hati seseorang itu ragu-ragu untuk memakannya, maka meninggalkannya adalah lebih baik dan lebih menenangkan jiwa. Apatah lagi, adat dan uruf masyarakat Malaysia tidak memakan telur yang terdapat padanya embrio anak ayam atau itik yang belum sempurna dan belum menetas. Ini bertepatan dengan saranan Rasulullah SAW sendiri, di mana Baginda bersabda:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Afrodisiak adalah zat atau berbagai bentuk rangsangan yang mampu meningkatkan ghairah seksual. (Lihat https://id.wikipedia.org/wiki/Afrodisiak. Diakses pada 11 Julai 2023).

[2] Lihat https://id.wikipedia.org/wiki/Balut_(makanan). Diakses pada 11 Julai 2023.

[3] Lihat http://cms.ibn-jebreen.com/fatwa/home/section/2818. Diakses pada 11 Julai 2023.

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply