Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya sedang mengandungkan anak kedua, saya dan suami berkenan untuk menamakan anak dengan nama Hannan. Kami ingin mengetahui apakah maksud nama ini, dan adakah maksudnya baik?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik. Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Saya ucapkan syabas dan tahniah kerana dikurniakan rezeki dan anak, semoga ia termasuk di kalangan anak-anak yang soleh.

Nama Hannan dieja di dalam bahasa arab dengan huruf nun yang bersabdu (حَنَّانٌ). Ibn Manzur menyatakan di dalam kamusnya bahawa الحَنَّانُ merupakan salah satu daripada nama-nama Allah SWT. Beliau menukilkan daripada Ibn al-A‘rabi bahawa, الحَنَّانٌ dengan nun yang bersabdu bermaksud الرَحِيمُ (sifat rahmah). Dan dinukilkan daripada Ibn al-Athir bahawa الحَنَّانٌ bermaksud sifat rahmah Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya.

Al-Azhari mengatakan, ejaannya dengan nun yang bersabdu adalah tepat. Adapun sebahagian gurunya mengatakan bahawa tanda sabdu pada ejaan الحَنَّانٌ membawa kepada maksud الحَنِينُ (kerinduan), dan sangatlah asing jika ia menjadi salah satu daripada sifat-sifat Allah. Bahkan (sebetulnya) الحَنَّانُ bermaksud الرَحِيمُ (sifat rahmah) itu sebenarnya berasal daripada الحَنَانُ (tanpa tanda sabdu) seperti mana dalam firman Allah SWT:

وَحَنَانًا مِّن لَّدُنَّا

Maksudnya: “Dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami.”

(Surah Maryam: 13)

Yakni, Allah SWT mengurniakan Rahmat dari sisi-Nya. Ibn Manzur kemudiannya menyatakan bahawa الحَنَّانُ (dengan tanda sabdu) dan الحَنَانُ (tanpa tanda sabdu) membawa maksud yang sama, iaitu rahmat dan belas kasihan. Makna lain bagi الحَنَانُ (tanpa tanda sabdu) juga adalah rezeki dan keberkatan. (Lihat Lisan al-Arab, 12/129; Mukhtar al-Sihah, hlm. 83)

Nama Allah al-Hannan ini thabit dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A dengan lafaz yang dibawakan oleh Ibn Hibban, bahawa seorang lelaki telah berdoa setelah selesai bacaan tasyahhud:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ، بِأَنَّ لَكَ الْحَمْدَ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الْحَنَّانُ الْمَنَّانُ، بَدِيعُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ يَا حَيُّ يَا قَيَّامُ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, aku memohon kepada-Mu, yang mana buat-Mu segala pujian dan tiada tuhan melainkan Engkau yang Maha Merahmati dan Maha Memberi, yang menciptakan langit dan bumi, duhai yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan, yang Maha Hidup dan Maha Kekal. Wahai Tuhanku, aku memohon kepada-Mu.”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ بِمَا دَعَا؟ قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ فَقَالَ: وَاَلَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ دَعَا بِاسْمِهِ الْعَظِيمِ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ وَإِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى

Maksudnya: “‘Adakah kalian tahu dengan apa lelaki tersebut berdoa?’ Sahabat menjawab: ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui’, Rasulullah SAW bersabda: ‘Demi Tuhan yang mana diriku berada di dalam genggaman-Nya, dia telah berdoa dengan dengan nama Allah yang Maha Agung, yang mana jika seseorang berdoa dengannya maka akan dikabulkan, dan jika dia meminta dengannya maka akan diberikan.’”

Riwayat Ibn Hibban (793)

Kesimpulan

Kami katakan bahawa Hannan merupakan satu nama yang membawa maksud yang baik, dan ia juga merupakan salah satu dari nama-nama Allah SWT.

Menamakan anak dengan nama-nama Allah SWT perlulah didahulukan dengan nama Abdul, yang berasal dari perkataan عَبْدٌ yang membawa maksud hamba. Maka kami cadangkan, yang terbaik adalah dengan menamakan anak tersebut dengan nama Abdul Hannan (عَبْدُ الحَنَّانِ) yang bermaksud hamba Yang Maha Merahmati.

Sebaliknya, jika ingin mengekalkan dengan nama Hannan maka saya cadangkan supaya digunakan dengan Hanan tanpa sabdu. Ini sudah tentu keluar daripada khilaf dan maknanya juga adalah baik. 

Semoga Allah jadikan zuriat kita penuh dengan ketakwaan dan juga zuriat yang soleh dan solehah. Amin. 

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply