Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah minyak zaitun disuruh kita makan atau minumnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ ‎

Maksudnya: “Demi buah Tiin dan Zaitun,

Surah al-Tin (1)

Firman Allah SWT juga:

اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ ۖ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ

Maksudnya: “Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya.”

Surah al-Nur (35)

Ibn Kathir berkata: ‘يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ ’, yakni dinyalakan daripada minyak zaitun, pohon yang diberkati. Firman Allah, ‘زَيْتُونَةٍ’ adalah pengganti daripada perkataan ‘شَجَرَةٍ’, atau perkataan ‘زَيْتُونَةٍ’ sebagai penjelas kepada perkataan ‘شَجَرَةٍ’. Ertinya pohon yang berkat ini adalah pohon Zaitun. Firman Allah, ‘زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ’, maksudnya Zaitun ini bukan tumbuh di sebuah kawasan yang terletak di sebelah timur, sehingga sinar matahari waktu pagi tidak dapat mengenainya, dan bukan pula di kawasan sebelah barat sehingga sinar matahari ketika terbenam tidak dapat mengenainya. Akan tetapi, zaitun ini tumbuh di wilayah antara timur dan barat, yang selalu terkena sinar matahari dari pagi hingga petang. Sehingga, minyak yang dihasilkannya pun jernih, seimbang dan berkilau.

Berkenaan firman Allah SWT, ‘زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ’, terdapat beberapa pendapat, antaranya:

  • Ibn ‘Abbas menjelaskan bahawa pohon zaitun ini pohon zaitun yang berada di padang sahara, yang tidak terhalang daripada sinar matahari oleh pohon-pohon lain, tidak tertutup oleh gunung-gunung dan tidak pula berada di dalam gua. Ringkasnya, pohon ini tidak terhalang oleh apa pun daripada pancaran sinar matahari. Sehingga, pohon zaitun seperti ini menghasilkan minyak terbaik.
  • Ikrimah pula mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa pohon tersebut adalah pohon zaitun yang tumbuh di padang sahara. Apabila matahari terbit, pohon zaitun ini langsung terkena pancaran sinarnya. Apabila matahari terbenam, pohon zaitun ini juga masih terkena sinarnya sebelum gelap malam datang. Sehingga pohon zaitun ini menghasilkan minyak yang paling jernih.
  • Mujahid menjelaskan bahawa pohon zaitun ini tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat. Jika tumbuh di kawasan timur, pohon zaitun ini tidak terkena sinar matahari ketika terbit. Jika tumbuh di sebelah barat, ia tidak terkena sinar matahari ketika terbenam. Akan tetapi, pohon zaitun ini tumbuh di sebuah wilayah antara timur dan barat. Sehingga, ia selalu terdedah kepada sinar matahari, sama ada ketika matahari terbit mahupun ketika matahari terbenam.
  • Sebahagian ulama lain memberi pendapat berbeza, di mana mereka mengatakan bahawa makna firman Allah itu adalah bahawa pohon zaitun itu berada di tengah-tengah pepohonan yang lain. Sehingga, pohon zaitun itu tidak terlihat dari sebelah timur mahupun sebelah barat.
  • Ubai bin Ka’ab berkata bahawa maknanya adalah, pohon zaitun ini hijau lagi lembut, kerana tidak terkena sinar matahari sama sekali, sama ada ketika matahari terbit mahupun ketika matahari terbenam. 
  • Sa’id bin Jubair berkata, bahawa maksudnya adalah minyak di tengah pohon, tidak terkena matahari di timur dan di barat.
  • Al-Hasan al-Basri berpendapat bahawa yang dimaksudkan dalam ayat bukan pohon tertentu, akan tetapi ia adalah permisalan yang dibuat oleh Allah SWT. Katanya, “Seandainya pohon ini ada di bumi, pasti di timur atau di barat. Akan tetapi ia adalah sebuah perumpamaan yang dibuat Allah untuk cahaya-Nya.”

Berdasarkan beberapa pendapat di atas – menurut Ibn Kathir – pendapat yang kuat adalah pendapat yang pertama, iaitu bahawa ia di satu tempat dari bumi ini, di tempat yang luas, nampak, terlihat, terkena cahaya matahari, terkena panasnya daripada awal siang sehingga akhir. Hal itu agar minyaknya lebih jernih dan lebih lembut, sebagaimana dinyatakan oleh beberapa ulama’. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/811)

Mengikut tafsiran Ibnu Abbas pohon zaitun yang terbaik untuk dibuat minyak, mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  • Berada di padang pasir.
  • Tidak dilindungi oleh apa-apa pokok lain.
  • Tidak terlindung dengan apa-apa bukit, gunung atau gua.

Diriwayatkan daripada Umar al-Khattab R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُوا الزَّيْتَ وادَّهِنُوا بِهِ فإنَّهُ مِن شَجَرَةٍ مُبارَكَةٍ

Maksudnya:Makanlah minyak zaitun dan berminyaklah dengannya. Minyak zaitun berasal daripada pohon yang diberkati.

Riwayat al-Tirmizi (1851)

Kami kemukakan pendapat pakar dan khasiat minyak zaitun:

  • Pakar Pemakanan, Hospital Columbia Asia, Iskandar Puteri Johor, Yap Pau Lin berkata, minyak zaitun mengandungi lemak mono tidak tepu (MUFA)  yang menyihatkan, di samping lemak tepu dan juga lemak poli tidak tepu (PUFA) termasuk omega 3 dan omega 6.
  • Ia juga terkandung bahan antioksida seperti hydroxytyrosol, oleocanthal, squalene dan beta karotin selain vitamin E tokoferol dan juga vitamin K.
  • Melindungi organ jantung – Diet Mediterranean lazimnya mencampurkan minyak zaitun dalam setiap hidangan bagi mengurangkan risiko penyakit jantung.
  • Minyak zaitun bertindak melindungi organ jantung dengan menurunkan tekanan darah, mencegah penggumpalan darah, melindungi dinding pembuluh darah, menurunkan radang dan menjaga kadar kolesterol dalam tubuh badan manusia.
  • Mengatasi penyakit Alzheimer dan diabetes – Minyak zaitun mampu menghilangkan plak beta-amyloid yang dipercayai boleh memicu penyakit Alzheimer. Praktis dalam Diet Mediterranean juga dikatakan boleh mencegah diabetes tahap dua. Namun, kedua-duanya masih belum dibuktikan secara saintifik.
  • Mencegah strok – Berdasarkan penyelidikan, menikmati minyak zaitun dengan kerap dapat merendahkan risiko strok. Sekali lagi, ia masih memerlukan kajian lebih terperinci.
  • Menurunkan berat badan – Minyak zaitun merupakan salah satu daftar makanan sihat yang boleh dikonsumsi untuk menjaga kesihatan dan menurunkan berat badan.
  • Memiliki kadar antiradang yang tinggi – Kandungan (antiradang) dalam minyak zaitun dikatakan menyamai ubat antiradang ibuprofren. Sumber semula jadi minyak itu dipercayai boleh meringankan radang sendi (rheumatoid arthritis).
  • Mencegah pankreatitis akut (keradangan pankreas) – Keradangan pankreas atau pankreatitis akut mudah meragut nyawa manusia dengan mudah. Kandungan asam oleat dan hydroxytyrosol dalam minyak zaitun mampu menghindarkan sesiapa daripada penyakit itu.
  • Mengurangi risiko depresi (stres) – Dibandingkan dengan individu yang menggunakan lemak trans, mereka yang mengambil minyak zaitun akan mengalami masalah depresi yang lebih rendah iaitu sebanyak 48 peratus.
  • Bersifat antibakteria – Minyak zaitun boleh membunuh bakteria H.pylori. Mereka yang menikmati 30 gram minyak zaitun extra virgin setiap hari, dapat merawat 10 hingga 40 peratus jangkitan H.pylori selama kira-kira dua minggu. 
  • Tinggi antioksidan – Minyak zaitun yang terkandung vitamin K dan E bantu cegah seseorang menghidap penyakit kronik kerana mempunyai antioksidan yang tinggi. 
  • Mencegah penyakit radang usus besar (ulcerative colitis) – Kita boleh mencegah radang pada usus besar jika makan dua hingga tiga sudu minyak zaitun setiap hari.[1]

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa semga Allah SWT sentiasa memberi kepada kita kesihatan dan ‘afiyat:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

[1] Lihat https://www.columbiaasia.com/malaysia/health-articles/10-khasiat-luar-biasa-minyak-zaitun-termasuk-turunkan-berat-badan

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply