Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah Déjà vu perkara yang ada dan benar dalam Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Déjà vu adalah perkataan Perancis yang bermaksud ‘sudah lihat’. Ia dikatakan adalah suatu fenomena mengalami perasaan kuat bahawa sesebuah peristiwa atau pengalaman yang sedang dialami itu telah dilalui seseorang pada masa lalu. Fenomena ini mungkin muncul secara tiba tiba dan seseorang itu akan merasakan keadaan itu sudah dialaminya, seperti peristiwa di dalam mimpi dan ia menjadi benda yang nyata.[1]

Adapun fenomena Déjà vu ini, ia tidak pernah disebutkan di dalam mana-mana nas syara‘ seperti al-Quran atau Sunnah Nabawiyyah, dan tidak pernah juga datang dalam tafsiran para ulama’, dalam kalam para Salafussoleh, atau kalam ulama’ syari‘ah yang lain.

Berkenaan perkaitan fenomena ini dengan mimpi seseorang, Islam ada menyebutkan beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seorang muslim. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada ‘Auf bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ: مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam; Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

Riwayat Ibn Majah (3907)

Kemudian, datang pula sebuah hadith lain yang menerangkan tentang langkah yang boleh diambil oleh seseorang muslim apabila mendapati salah satu daripada mimpi-mimpi di atas.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الرُؤْيَا ثَلَاثَةٌ، فَرُؤْيَا صَالِحَة بُشْرَى مِنَ اللهِ، وَرُؤْيَا تَحْزِين مِنَ الشَّيْطَانِ، وَرُؤْيَا مِمَّا يَحْدُثُ المَرْءُ نَفْسَهُ، فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يُكْرِهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ وَلَا يَحْدُثُ بِهَا النَّاسَ

Maksudnya: “Sesungguhnya mimpi itu mempunyai tiga jenis. Mimpi yang baik itu merupakan berita gembira itu yang datang daripada Allah SWT. Mimpi yang buruk dan membawa kesedihan itu adalah daripada syaitan. Dan mimpi yang disebabkan oleh apa yang berlaku ke atas seseorang itu. Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain.”

Riwayat Muslim (2263)

Daripada hadith di atas dapat difahami bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

1) Al-Ru’ya al-Hasanah (mimpi yang baik dan benar): Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. Atau mimpi ketuhanan iaitu yang datang dan ilham daripada Tuhan.

2) Al-Ru’ya al-Sayyi’ah (mimpi yang buruk dan dusta): Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

إِنَّمَا النَّجْوَىٰ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ الَّذِينَ آمَنُوا وَلَيْسَ بِضَارِّهِمْ شَيْئًا إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.”

(Surah al-Mujadalah: 10)

Mereka yang mengalami mimpi buruk ini, Nabi SAW telah ajarkan untuk mendirikan solat dan tidak menceritakan mimpi buruk tersebut kepada orang lain.

3) Mimpi berdasarkan adat kelakuan seseorang: Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga. Apabila tidur lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya. (Lihat Tafsir al-Ahlam, 3-4)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani pula menukilkan daripada Ibnu Battal, katanya bahawa mimpi terbahagi  kepada dua jenis:

Pertama, mimpi yang jelas-jelas menjadi nyata, seperti seseorang yang bermimpi memberi seseorang kurma, dan pada siang harinya ia memberi seseorang kurma. Mimpi seperti ini tidak memerlukan takwil.

Kedua, mimpi yang hadir dengan beberapa petanda. Untuk memahami mimpi seperti ini harus ada seseorang yang memiliki ilmu dan pengalaman mentakwil mimpi untuk memahaminya kerana kadang-kadang petanda tersebut sangat halus dan rumit. (Lihat Fath al-Bari, 19/451)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan yang kami bawakan, jelas bahawa tiada nas yang jelas daripada syara‘ yang menyebutkan tentang fenomena Déjà vu.

Manakala gambaran mimpi yang menyerupai fenomena Déjà vu yang kami temukan adalah seperti mana yang disebutkan oleh Ibn Battal, iaitu mimpi-mimpi yang menjadi kenyataan. Kami cenderung memilih pandangan beliau yang mengatakan bahawa mimpi seperti ini tidak memerlukan kepada takwilan kerana telah jelas bahawa ianya berlaku.

Adapun jika benar fenomena ini merupakan sesebuah peristiwa yang seakan-akan pernah dilalui oleh seseorang pada masa lalu, maka yang terbaik bagi seorang muslim itu adalah merenung kebesaran nikmat Allah SWT kepadanya. Bagaimana Allah SWT mengekalkan ingatan tersebut dalam dirinya, dengan memelihara kesihatan akalnya daripada berlakunya ketidakseimbangan dan gangguan mental.

Ini juga merupakan bukti bahawa ilmu Allah SWT meliputi segala yang telah berlaku dan apa yang bakal berlaku. Maka benarlah seperti mana yang warid dalam firman-Nya:

وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Baqarah 231)

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/D%C3%A9j%C3%A0_vu#cite_note-1. Diakses pada 14 Julai 2023.

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply