#2317: Doa Berkahwin Dengan Artis Bukan Beragama Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah berdoa untuk kahwin dengan artis luar negara bukan beragama Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takrifan doa:

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4)

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِ أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat in dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Ak akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al- Quran, 15/292)

Kemudian Allah SWT berfirman dalam ayat yang sama:

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Surah Ghafir (60)

Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 24/183)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الدُّعَاء يَنفَعُ لِما نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللَّهِ بِالدُّعَاءِ

Maksudnya: “Sesungguhnya doa itu bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Oleh itu, hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (3548)

Dalam menghadapi musibah, doa dan permohonan kepada Allah SWT mampu menolong seseorang untuk menghadapinya. Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi menyebut bahawa doa merupakan ubat yang paling bermanfaat. Ia merupakan musuh bagi musibah. la dapat mengubati dan mengatasinya, mencegah turunnya musibah atau mengangkatnya atau meringankannya. Ia merupakan senjata orang beriman.

Doa dalam menghadapi musibah terbahagi kepada tiga tingkatan:

  • Doa lebih kuat dari musibah, maka ia dapat mengusirnya.
  • Doa lebih lemah dari musibah, maka musibahdapat mengalahkannya sehinggalah seseorang ditimpa musibah. Akan tetapi boleh jadi doa dapat meringankannya walaupun doanya lemah.
  • Keduanya saling berlawanan antara satu sama lain, saling mencegah terjadinya pada orang tersebut. (Lihat al-Jawab al Kafi, hlm. 4)

Justeru, marilah kita sama-sama mengamalkan doa memohon kepada Allah SWT dalam apa jua urusan dalam kehidupan kita. (Lihat Inilah Doaku, hlm. 5-7)

Berkenaan dengan persoalan di atas, kami katakan alangkah baiknya saudara memulakan doa agar orang artis luar negara yang bukan beragama Islam itu didoakan agar mendapat hidayah terlebih dahulu kerana Rasulullah SAW abnayak berdoa ke arah hidayah dan selepas itu doalah sebagaimana yang saudara harapkan. 

Sesungguhnya, kehidupan ini bukan semata-mata dilihat dari segi lahiriah atau zahir semata-mata tetapi ia juga membabitkan batin dan akhlak. Ini amat penting dalam melayari bahtera kehidupan agar kebahagiaan menjadi milik kita. 

Kisah seorang sahabat Nabi SAW. Apabila turunnya ayat ini (surah al-Nur ayat 3), Nabi SAW pun membacakannya kepada Martsad bin Abu Martsad tadi, lantas Baginda mengusulkan: Janganlah kamu berkahwin dengannya! (Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan al-Tirmizi) daripada sini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mahukan setiap orang mempunyai pasanagn yang baik, soleh dan solehah dalam melayari kehidupan.

Kami akhiri dengan doa agar saudar dikurniakan pasangan yang terbaik dan soleh. Marilah sama-sama kita berdoa:

 

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتَّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتِتَابَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *