Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang yang sudah mati diambil anggotanya dengan izinnya untuk diberi kepada yang masih hidup?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dengan perkembangan moden mutakhir ini, banyak kita dapati penemuan cara rawatan di mana anggota juga boleh dipindahkan. Sebahagiannya menunjukkan kejayaan yang luar biasa, sehingga hal ini menjadi perbahasan di kalangan fuqaha’. Kami nyatakan di sini pandangan ulama terdahulu antaranya:

  • Dalam Fatawa al-Hindiyyah menyebut:  “Tidak harus berintifa’ dengan mana-mana juzuk anggota badan anak adam sama ada kerana najisnya, atau kerana kemuliaan insan dan ia pendapat yang sahih.” (Lihat al-Fatawa al-Hindiyyah, 5/354)
  • Al-Khatib al-Syarbini berkata: “Anak adam haram kita manfaat dengannya, dan segala anggota badannya kerana kemuliaannya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/191)

Bersandarkan kepada mukadimah di atas, kami dapati dua pandangan fuqaha’:

Pertama: Mazhab Hanafi, Maliki dan Zahiri berpendapat bahawa tidak harus mengambil manfaat dengan mana-mana juzuk anggota manusia yang mati di mana tegahan tersebut kerana menceroboh hak anak Adam. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: “Mematahkan tulang orang yang telah mati sama seperti mematahkannya ketika dia hidup.”

Riwayat Abu Dawud (3207)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Diambil faedah dari hadis ini, bahawa sesungguhnya kehormatan seorang mukmin kekal selepas matinya dia. Sebagaimana kehormatannya semasa hayatnya. (Lihat Fath al-Bari, 9/142)

Kedua: Pendapat jumhur iaitu sebahagian mazhab Hanafi, sebahagian mazhab Maliki dan mazhab Syafi’i, mazhab Hanbali dan Zaidi berpendapat harus mengambil manfaat dengan anggota mayat anak Adam. Mereka berhujahkan bahawa penghormatan anak dam yang hidup lebih besar daripada penghormatan yang telah mati. Justeru, keharusan mengambil manfaat dengan anggota anak adam yang mati kerana darurat untuk meghidupkan jiwa atau manusia yang lain serta memanjangkan bagi sebab kekalnya. (Lihat Majallah Majma’ al-Fiqhi al-Islami, Bil. 4, 1/262-263)

Tarjih

Berdasarkan kepada perbincangan, maka keputusan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah seperti kata Setiausaha Agungnya Syeikh Sami al-Sya’rawi bahasa harus memindahkan daripada manusia yang telah meninggal dunia kepada yang hidup berasaskan kaedah:

 الضَّرَرُ الْأَشَدُّ يُزَالُ بِالضَّرَرِ الْأَخَفِّ

Maksudnya: “Bahawa mudarat yang berat hendaklah dihilang dengan mudarat yang lebih ringan.”

Sebagaimana telah datang Dar Ifta Misriyyah (no. 1323 bertarikh 15 Muharram 1400 H) bahawa harus memotong anggota atau juzuk daripada si mati jika dia wasiatkan demikian itu sebelum wafatnya atau dengan keizinan keluarganya. Ini kami dasarkan kepada kitab-kitab fiqh islami khususnya dalam fiqh mazhab Abu Hanifah dan Syafi’i yang mengharuskan membelah perut mayat sama ada untuk mengeluarkan janin atau mengeluarkan harta. 

Begitu juga telah ditarjihkan oleh Dar al-Ifta’ pada zaman Syeikh Mufti Jad al-Haq Ali Jad al-Haq dengan pendapat yang sama. (Lihat al-Fatwa oleh Syeikh Husain Muhammad Mallah, hlm. 858)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita berkenaan agama dan sentiasa menunjukkan kepada kita jalan yang terbaik:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.” 

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply