Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mohon pencerahan daripada Dato’ Seri tentang pelaburan pasaran masa hadapan seperti Crude Palm Oil (CPO). 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara asasnya, berkenaan hukum pelaburan, ia mestilah disandarkan dengan beberapa dawabith (garis panduan), di mana antaranya adalah mestilah melabur dalam pelaburan patuh Syariah, kerana pelaburan yang tidak patuh Syariah berpotensi besar mengandungi unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan sebagainya yang wajib bagi seseorang individu Muslim menjauhkan diri daripadanya.

Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356) Al-Baidhawi di dalam tafsirnya menyebutkan: Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan berjual beli dan larangan melakukan riba. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/162) Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata, bahawa mereka yang makan riba’ tidak akan bangkit dari kuburnya pada hari kiamat, melainkan sebagaimana orang yang menghidapi sakit sawan itu bangkit ketika dia menderita terkena sawan, dan (rasukan) syaitan membuatnya terhuyung-hayang. Dan itu adalah kerana dia berdiri dalam kehinaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/708)

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT telah menyatakan larangan bagi orang Islam untuk beramal dengan perbuatan riba. Dan Allah SWT juga menjanjikan balasan serta azab yang pedih bagi mereka yang melanggarinya. Begitu juga hukumnya bagi pelaburan dalam bank konvensional iaitu haram hukumnya kerana pelaburan tersebut tidak dibangunkan mengikut konsep pelaburan Islam dan turut melabur di dalam sektor-sektor tidak patuh Syariah yang melibatkan perjudian, riba dan juga gharar.

Justeru, wajib bagi setiap individu muslim untuk melaburkan wang mereka di dalam pelaburan yang patuh Syariah, agar tidak tergolong dalam golongan mereka yang dijanjikan azab pedih lagi menyeksakan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Definisi Futures Crude Palm Oil (FCPO) 

Futures Crude Palm Oil (FCPO) atau dalam bahasa Melayu, Pasar Hadapan Minyak Mentah Kelapa Sawit adalah salah satu dari produk futures yang ditawarkan oleh Bursa Malaysia Derivatives (BMD).

FCPO didefinisikan sebagai suatu kontrak derivatif (yang diperakui undang-undang Malaysia) di antara pembeli dan penjual untuk menerima atau menghantar minyak sawit mentah (1 lot FCPO bersamaan dengan 25 Tan Metrik minyak sawit mentah) pada suatu masa tertentu di masa hadapan.

Market niaga hadapan CPO adalah penanda aras harga minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit di seluruh dunia. Pada awalnya ia menggunakan sistem open outcry dan kemudiannya pada tahun 2001 ditukar kepada platform elektronik yang membolehkan urusniaga yang lebih efisien dan mampu menarik lebih ramai pelabur.

FCPO diniagakan dalam Ringgit Malaysia. Satu pergerakan minima harga (satu tick) bagi FCPO adalah RM1 di futures yang membawa nilai sebenar RM25.00. Oleh itu jika harga FCPO bergerak sebanyak RM5.00, ini bermakna nilai sebenar kepada trader adalah RM25.00 X RM5.00 = RM125.00.

Dalam menjawab persoalan di atas, perlu dilihat terlebih dahulu. Jika tiada unsur gharar, tiada ribawi dan telah disahkan, maka hukumnya adalah dibolehkan. 

Kami kemukakan juga di sini Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang telah ditetapkan bertarikh 31 Disember 2019 seperti berikut:

“KONTRAK NIAGA HADAPAN MINYAK SAWIT ISI RONG MENTAH [CRUDE PALM KERNEL OIL FUTURES CONTRACT (FPKO)]

Pengenalan: Kontrak niaga hadapan komoditi merujuk kepada perjanjian untuk membeli atau menjual sejumlah komoditi yang telah ditetapkan pada harga tertentu dan tarikh tertentu pada masa hadapan. Di Malaysia, antara kontrak niaga hadapan komodit yang diniagakan di pasaran ialah (FCPO)] dan Kontrak Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah [Crude Palm Oil Futures (FCPO)] dan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Isi Rong Mentah [Crude Palm Kernel Oil Futures (FPKO)]

Kontrak FCPO telah diputuskan oleh MPS sebagai salah satu produk patuh Syariah. Namun, Kontrak FPKO memerlukan penentuan status kepatuhan Syariahnya sama ada Shariah membenarkannya atau tidak.

Keputusan: “MPS telah memutuskan bahawa kontrak FPKO adalah dibenarkan kerana ia selaras dengan prinsip-prinsip Syariah.” (Lihat Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, hlm. 29)

Berdasarkan kenyataan yang telah dikemukakan di atas, dapat difahami bahawa Kontrak FCPO adalah urusniaga yang patuh syariah (syariah compliance).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply