Soalan:

Assalamualaikum Dr. Saya mempunyai satu soalan berkaitan permainan video. Apakah hukum bermain permainan video yang mana watak utama yang anda mainkan perlu menyembah satu patung? Adakah permainan video ini haram? Terima Kasih Dato Dr.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 48 )

Ibn Kathir berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik yaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/129 )

Menurut Ibn al-Jauzi, Allah tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan. (Lihat Zad al-Masir, 2/103)

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

Maksudnya: “Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”

 Riwayat al-Bukhari (6919) 

Merujuk kepada persoalan di atas kami nyatakan bahawa, hukum bermain video game adalah diharuskan namun sekiranya terdapat dalam permainan tersebut perkara yang mensyirikkan Allah SWT maka ia tidak dibolehkan. Ini kerana terdapat larangan keras daripada nas al-quran dan hadith tentang larangan mensyirikkan Allah SWT seperti yang telah dinyatakan di atas maka, menghindari perkara yang mensyirikkan Allah adalah lebih utama.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

Maksudnya: Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.

(Surah al-Furqan:72)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyatakan: Mereka tidak hadir ke tempat-tempat yang melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT  iaitu ucapan dan tindakan yang dilarang. Oleh kerana itu, mereka menjauhi semua majlis yang mengandungi perkataan atau tindakan yang dilarang  seperti berdebat dengan ayat-ayat Allah dengan perdebatan yang batil, bergosip, fitnah, menghina, mencaci, mencela, mengolok-olok, menyanyi, minum arak, menggunakan kain sutera, gambar-gambar, dan seumpamanya. Jika mereka tidak menghadiri tempat tersebut, maka lebih baik dan lebih utama bagi mereka untuk tidak mengucapkannya dan melakukannya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.587)

Unsur syirik yang terdapat dalam permainan tidaklah menjadikan pemainnya itu jatuh kafir. Namun sebagai muslim tidak dibenarkan untuk bermain dengan jenis permainan yang berunsur syirik . Seharusnya bagi individu muslim hendaklah menolak segala bentuk kesyirikan semampu yang boleh walau dengan hati sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sai’d al-Khudri bahawa rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

Maksudnya: Barangsiapa dari kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Sekiranya tidak mampu lagi, maka dengan hatinya kerana ia merupakan selemah-lemah iman.

Riwayat Muslim(49)

Justeru kami nasihatkan agar berhati-hati apabila melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan iman kita agar tidak terjatuh ke lembah kesyirikan dan  Ingatlah bahawa perbuatan syirik merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini, dan menjauhkan kita daripada perkara yang boleh menyerongkan akidah dan pegangan kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply