Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ada pertanyaan sedikit.. Kaki kanan saya patah di pergelangan dan masuk besi dan agak sukar untuk saya membengkokkan kaki ketika duduk antara dua sujud dan ia amat sakit. Saya sudah lama sembahyang di atas kerusi. Saya teringin hendak sujud di sejadah. Persoalan saya boleh ke duduk antara dua sujud itu, saya duduk seperti duduk Tahiyat akhir dimana posisi kaki saya tidak perlu bengkok hanya dapat bengkokkan sedikit saja. Terima Kasih banyak ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 Kami mulakan dengan hadith daripada Malik bin al-Huwairith, sabda Rasulullah SAW:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Imam al-Nawawi berkata: Hadis ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘, 4/521)

Duduk Tawarruq

Duduk secara tawarruq ketika tahiyat akhir adalah seseorang yang duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak, dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat. Manakala kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan, dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah termasuk dalam perkara yang disunatkan ketika tasyahhud akhir sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dan Habib Hasan al-Kaff. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 246; al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/180).

Duduk Iftirasy

Seseorang itu duduk dengan meletakkan bahagian punggungnya di atas kaki kirinya. Manakala tapak kaki kanan itu ditegakkan jari jemarinya menghadap ke arah kiblat.

Berkenaan isu ini, kami telah jelaskan dalam artikel sebelum ini:

#1506: Duduk Sewaktu Tahiyat Akhir[1]

#115 Cara Duduk Ketika Tasyahud Akhir[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan seseorang yang tidak mampu untuk melipat kaki kanan sewaktu tahiyat akhir sebagaimana cara duduk tawarruq, lalu dia hanya melipat sekadar yang termampu, maka solat yang didirikan dalam keadaan ini adalah tetap dikira sah kerana yang wajibnya adalah untuk dia duduk ketika tahiyat akhir, tidak kira dengan apa bentuk duduk sekalipun. Lebih-lebih lagi, duduk tawarruq itu hanyalah perkara yang disunatkan ketika tasyahhud akhir dan bukannya diwajibkan. Hal ini juga sepertimana sabda Nabi SAW:

 وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.

Riwayat al-Bukhari (7288)

Imam al-Nawawi menjelaskan dalam syarahnya: فإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ (“Maka jika aku perintahkan kalian dengan suatu perkara, maka tunaikanlah semampu kalian”) ini termasuk Qawaa’id al-Islamiy (kaedah Islam) yang penting dan merupakan kalimat yang ringkas tapi padat oleh Rasulullah SAW, merangkumi hukum-hukum syarak yang tidak terhitung banyaknya, termasuklah solat dan semua yang terkait dengannya. Oleh itu, jika seseorang itu tidak mampu menunaikan sebahagian rukunnya atau sebahagian syaratnya, maka hendaklah ia tunaikan bakinya (yang mampu dia tunaikan). (Lihat Syarh al-Nawawi, 4/78)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a‘lam.

 

[1] https://maktabahalbakri.com/1506-duduk-sewaktu-tahiyat-akhir/

[2] https://maktabahalbakri.com/115-cara-duduk-ketika-tasyahud-akhir/

 

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply