Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang kelebihan orang yang menjadi bilal atau muazzin? Saya dengar ada banyak kelebihan yang mereka dapat. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh…”

(Surah al-Fussilat: 33)

‘Aisyah R.Anha berkata, “Mereka yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah tukang azan (muazzin). Ketika dia mengumandangkan kalimat ‘حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ’, sesungguhnya dia telah mengajak kepada Allah.”   (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/731; al-Iklil fi Istinbat al-Tanzil, hlm. 228; al-Asas fi al-Tafsir, 9/5047)

Ibn Kathir berkata: “Tidak ada seorang pun yang paling baik perkataannya daripada orang yang mengajak saudaranya untuk beribadah kepada Allah, beramal soleh dan mengatakan, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang beriman.”

Ayat tersebut berlaku umum, bagi setiap orang yang mengajak kepada kebaikan, yang secara peribadi telah menjadi baik. Rasulullah adalah orang yang telah memiliki keutamaan dalam hal ini. Baginda adalah orang yang mencintai kebaikan bagi dirinya dan juga orang lain. Sehingga beliau layak dijadikan sebagai imam dalam berdakwah kepada Allah.

Ayat tersebut juga sesuai dengan keadaan para muazzin yang selalu mengumandangkan azan serta mengingatkan orang untuk beramal soleh (mendirikan solat). (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/731)

Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan melakukan azan. Antaranya:

Daripada Muawiyah RA, bahawa aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 الْمُؤَذِّنُونَ أَطْوَلُ النَّاسِ أَعْنَاقًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Para muazzin merupakan manusia yang panjang lehernya pada hari kiamat.”

Riwayat Muslim (387)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan mengatakan bahawa para ulama’ salaf dan khalaf telah berselisih pendapat dalam memahami makna hadith ini, dikatakan bahawa hadith ini bermaksud ramai orang yang melihat rahmat Allah SWT kerana orang yang melihat ini akan memanjangkan lehernya untuk melihat apa yang mampu dicapainya. Ini bermaksud, mereka (para muazzin) memanjangkan leherkan mereka bagi melihat pahala (yang disediakan buat mereka). (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/92)

Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا

Maksudnya: “Kalaulah orang ramai tahu tentang kelebihan azan, dan berada di saf pertama kemudian tiada ruang bagi mereka kecuali melalui mengundi nescaya mereka sanggup mengundi.”

Riwayat al-Bukhari (615), Muslim (437), al-Nasa’ie (540) dan Ahmad (7738)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Sabda Baginda, ‘إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا’ (kecuali dengan mengundi), yakni mereka tidak mendapatkan satu sisi pun yang dapat melebihkan salah seorang di antara mereka. Adapun pada azan, mungkin mereka memiliki kesamaan dalam hal pengetahuan akan masuknya waktu serta suara yang bagus dan hal-hal lain yang merupakan syarat-syarat azan mahupun kesempurnaannya. Manakala pada saf pertama, mungkin mereka datang secara bersamaan serta tidak ada perbezaan dalam hal keutamaan. Oleh sebab itu diadakan undian di antara mereka, apabila tidak ada yang mahu mengalah dalam kedua-dua hal tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 4/31)

Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW juga bersabda:

فَإِذَا كُنْتَ فِي غَنَمِكَ أَوْ بَادِيَتِكَ فَأَذَّنْتَ بِالصَّلَاةِ فَارْفَعْ صَوْتَكَ بِالنِّدَاءِ فَإِنَّهُ لَا يَسْمَعُ مَدَى صَوْتِ الْمُؤَذِّنِ جِنٌّ وَلَا إِنْسٌ وَلَا شَيْءٌ إِلَّا شَهِدَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu, dan engkau berazan untuk sembahyang, hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.

Riwayat al-Bukhari (3296), al-Nasa’ie (644) dan Ahmad (11305).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Sabda Baginda, ‘لَا يَسْمَعُ مَدَى صَوْتِ الْمُؤَذِّنِ ’ (“Tidak ada yang mendengar akhir suara muazzin”), yakni batas akhir suaranya. Al-Baidhawi berkata: “Apabila orang yang berada di tempat yang jauh dapat menjadi saksi pada hari Kiamat, apatah lagi orang yang lebih dekat tempatnya, tentu lebih dapat menjadi saksi.”  Sabda Baginda, ‘جِنٌّ وَلَا إِنْسٌ وَلَا شَيْءٌ’ (“Jin dan tidak pula manusia serta sesuatu). Secara zahir, termasuk juga haiwan serta benda-benda mati, dan ini termasuk gaya bahasa yang menyebut lafaz yang bersifat umum, setelah lafaz yang bersifat khusus. 

Apakah rahsia di sebalik persaksian yang dilakukan di hadapan Zat Yang Maha Mengetahui apa-apa yang tersembunyi dan yang zahir? Al-Turbiysti menyatakan bahawa maksud persaksian ini adalah untuk memaklumkan keutamaan dan ketinggian darjat orang itu pada hari Kiamat.

Antara pelajaran yang dapat diambil daripada hadith ini adalah bahawa disukai untuk melaungkan azan dengan kuat agar semakin ramai yang menghadiri solat jemaah, selama mana tidak menyusahkan atau mengganggu yang lain. Selain itu, disukai juga mengumandangkan azan bagi orang yang solat sendirian, meskipun tidak ada orang lain yang akan solat bersamanya, kerana makhluk lain yang mendengarkannya akan menjadi saksi. (Lihat Fath al-Bari, 4/21)

Selain itu, Rasulullah SAW turut mendoakan keampunan untuk muazzin. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الإِمَامُ ضَامِنٌ وَالْمُؤَذِّنُ مُؤْتَمَنٌ ، اللَّهُمَّ أَرْشِدِ الأَئِمَّةَ وَاغْفِرْ لِلْمُؤَذِّنِينَ.

Maksudnya: “Imam itu penjamin (bertanggungjawab terhadap solat makmumnya), tukang azan adalah orang yang dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada imam-imam dan ampunilah tukang azan.”

Riwayat Abu Daud (517), al-Tirmizi (207) dan Ahmad (7169). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Selain itu, terdapat juga hadith yang menyebut ganjaran khusus buat para muazzin sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَذَّنَ ثِنْتَىْ عَشْرَةَ سَنَةً وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ وَكُتِبَ لَهُ بِتَأْذِينِهِ فِي كُلِّ يَوْمٍ سِتُّونَ حَسَنَةً وَلِكُلِّ إِقَامَةٍ ثَلاَثُونَ حَسَنَةً

Maksudnya: “Barangsiapa yang melaungkan azan selama dua belas tahun, diwajibkan ke atasnya syurga, dan ditulis setiap laungan azannya pada setiap hari 60 kebaikan dan setiap iqamah yang dilaungkan 30 kebaikan.”

Riwayat Ibn Majah (728) dan al-Bazzar (5933). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (600)

Saidina Umar RA pernah menyebut:

 لَوْ كُنْتُ أُطِيقُ الأَذَانَ مَعَ الْخِلافَةِ لأَذَّنْتُ

Maksudnya: “Sekiranya aku mampu untuk (melakukan kerja) melaungkan azan dalam masa yang sama (melakukan tugas) khilafah, akan aku azan”

Riwayat al-Baihaqi (1858)

Penutup

Alhamdulillah, betapa besarnya dan mulianya muazzin. Ini kerana beliau menyeru orang ramai ke arah kebaikan serta bersyahadah di samping membesarkan kalimah Allah dan mentauhidkannya. Justeru, kami katakan, muazzin dipandang mulia dalam Islam. Cukuplah Sayyidina Bilal bin Rabah al-Habasyi sebagai seorang hamba asalnya, bertukar menjadi salah seorang sahabat yang mulia kerana seruan azannya. 

Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah sentiasa memberi kebaikan kepada kita.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply