Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sekadar ingin tahu, bolehkah kaum wanita melaungkan azan? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, azan tidak sunat bagi kaum wanita. Hal ini kerana menyaringkan suara mereka, dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.

Allah SWT berfirman:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ 

Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita.” 

(Surah al-Nisa’: 34) 

Al-Alusi berkata: “Sesungguhnya telah datang khabar bahawa wanita-wanita itu bersifat kurang akal dan agama. Hal ini berlainan dengan lelaki. Justeru, dikhususkan lelaki dengan kerasulan dan kenabian. Dan mengikut pendapat yang paling masyhur, dengan pemerintahan yang besar atau kecil, mendirikan segala syiar agama seperti azan, iqamah, khutbah Jumaat dan takbir-takbir hari tasyriq di sisi Imam Hanafi.” (Lihat Ruh al-Ma’ani, 5/32).

Al-Sabuni menukilkan kenyataan Abu al-Su’ud berkenaan kelebihan lelaki. Katanya: “Dan kelebihan bagi lelaki adalah kerana kesempurnaan akalnya, baik urusan tadbirnya dan tajam dalam pandangannya. Dan yang demikian itu dikhususkan dengan kenabian, pemerintahan, perwalian, syhadah, penyaksian, jihad dan lain-lain.” (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/274)

Golongan wanita sunat melakukan iqamah sahaja untuk mengingatkan para jemaah, tanpa menyaringkan suara seperti azan masuk waktu, sepertimana sabda Rasulullah SAW: 

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ 

Maksudnya: “Apabila tiba waktu solat, maka hendaklah seorang dalam kamu melaungkan azan.”

Riwayat al-Bukhari (602) dan Muslim (674) 

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada menyebutkan: “Disunatkan bagi orang perempuan untuk iqamah. Ini kerana ia (iqamah) bertujuan untuk  mengajak mereka yang telah hadir (untuk mendirikan solat) serta tidak ada padanya meninggikan suara seperti azan.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/115)

Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Tidak disunatkan azan menurut pendapat yang masyhur kerana pada laungan dengan suara yang tinggi dibimbangi menimbulkan fitnah dan menyerupai perbuatan kaum lelaki. Oleh itu, diharamkan melaungkan suara jika di situ terdapat terdapat lelaki ajnabi asing yang mendengar.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/466)

Para fuqaha’ juga telah menyebut bahawa antara syarat sah azan adalah seorang lelaki. Justeru, tidak sah azan perempuan untuk lelaki, sebagaimana tidak sah orang perempuan menjadi imam kepada orang lelaki. 

Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Syarat untuk menjadi muazzin (orang yang melaungkan azan) adalah lelaki.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/471)

Hal ini berdasarkan riwayat al-Baihaqi daripada Asma’ binti Yazid, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

لَيْسَ عَلَى النِّسَاءِ أَذَانٌ وَلاَ إِقَامَةٌ 

Maksudnya: “Tidak (boleh) bagi wanita untuk melakukan azan dan juga iqamah.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (1/408) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (5187)

Penutup

Sesungguhnya, Allah istimewakan kaum wanita sebagai peneman lelaki dan sebagai suri rumah kepada suami. Sifatnya yang berada di belakang suami sentiasa dihormati dan dijaga maruah serta penampilannya. Sedangkan ibadat azan perlu ke depan seta menzahirkannya dengan suaranya yang gagah serta kuat. 

Hal seperti ini amat tidak sesuai azan ditaklifkan kepada perempuan kerana menyalahi sifat fitrah yang Allah ciptakannya. Makanya, azan tidak ditaklifkan kepada wanita sekalipun untuk memanggil jemaah, tetapi sebaliknya ia dibenarkan untuk mengiqamatkan jika sesama wanita untuk solat berjemaah.

Kami akhiri dengan doa:

‏ رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ 

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply