Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum menjawab laungan azan? Ini kerana, saya perhatikan, sebahagian orang terus bercakap-cakap ketika azan dikumandangkan? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, hukum menjawab azan adalah sunnah muakkadah (sunat yang dituntut). Ketika azan dilaungkan, kita sebagai umat Islam dianjurkan agar meninggalkan segala aktiviti yang sedang dilakukan serta dalam masa yang sama perlulah menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan. Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ ، لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya: “Apabila kamu semua mendengar muazzin (melaungkan azan), maka sebutlah sebagaimana yang muazzin itu laungkan. Kemudian selawatlah ke atasku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat sekali kepadaku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali. Kemudian mohonlah kepada Allah agar aku mendapat wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di syurga yang hanya layak kepada seorang hamba Allah. Aku berharap agar aku adalah orang tersebut. Sesiapa yang memohon wasilah untuk aku, maka syafaatku akan diberikan kepadanya.”

 Riwayat Muslim (384), Abu Daud (523) dan al-Nasa’ie (678)

Selain itu, dalil perintah menjawab azan yang dikumandangkan dengan cara mengulangi apa yang telah disebutkan oleh muazzin adalah berdasarkan sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya:Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.” 

Riwayat Muslim (383)

Berdasarkan hadis di atas, sebahagian para fuqaha mengatakan bahawa hukum menjawab azan adalah wajib. Ini kerana, di sana terdapat kata perintah dari Rasulullah SAW iaitu: “Maka ucapkanlah”. Ayat perintah ini kata mereka menunjukkan kepada wajib.

Manakala majoriti fuqaha berpendapat, hukum menjawab azan adalah sunnah mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis yang sahih daripada Anas bin Malik R.A beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُغِيرُ إِذَا طَلَعَ الْفَجْرُ وَكَانَ يَسْتَمِعُ الأَذَانَ فَإِنْ سَمِعَ أَذَانًا أَمْسَكَ وَإِلاَّ أَغَارَ فَسَمِعَ رَجُلاً يَقُولُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ عَلَى الْفِطْرَةِ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ قَالَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ خَرَجْتَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menyerang musuh apabila terbitnya fajar dan baginda meneliti untuk mendengar seruan azan. Sekiranya baginda mendengar azan baginda berhenti sebentar dan jika tidak baginda teruskan menyerang. Maka baginda mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Allahu Akbar Allahu Akbar”. Maka Rasulullah SAW mengatakan: “(Dia) berada di atas fitrah”. Kemudian lelaki itu mengatakan: “Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang selain Allah”. Maka baginda mengatakan: “Kau telah keluar daripada neraka.”

Riwayat Muslim (382)

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW apabila mendengar azan baginda tidak mengikut atau mengulangi ucapan azan sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin. Ini menunjukkan bahawasanya hukum menjawab atau mengulangi azan adalah sunat sahaja di sisi majoriti fuqaha.

Diriwayatkan oleh Ibn Sa’d, daripada Musa bin Talhah bin Ubaidullah, dia berkata: “Aku melihat Uthman bin ‘Affan R.A berbincang-bincang dengan orang-orang yang bertanya dan meminta maklumat tentang harga dan berita-berita lain, sedangkan ketika itu muazzin sedang melaungkan azan. (sanadnya sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim, al-Thamar, 1/180)

Pendapat jumhur, inilah yang terpilih, bahawa menjawab azan itu sunat. Akan tetapi, yang perlu kita perhatikan adalah, meskipun hukumnya sunat, ia tidaklah bermaksud ketika dilaungkan azan – tanpa ada sebarang keperluan atau hajat – maka kemudian ditinggalkan begitu sahaja dan tidak dijawab azan tersebut. Ini sebagaimana dilakukan oleh orang ramai pada hari ini. (Lihat al-Muhalla, 2/184; Bada’i’ al-Sana’i’, 1/486; Subul al-Salam, 2/62; Nail al-Autar, 1/511)

Menurut Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili, disunatkan kepada sesiapa yang mendengar azan untuk menjawabnya, tidak kira orang tersebut dalam keadaan suci ataupun berhadas, orang yang berjunub atau perempuan yang sedang haid, orang dewasa mahupun kanak-kanak. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/190) Hal ini kerana mereka itu kesemuanya termasuk dalam kalangan ahli zikir. Dikecualikan daripada hal ini — yakni menjawab azan — orang yang sedang mendirikan solat, yang sedang berada di dalam tandas dan yang sedang berjimak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/118)

Antara sunnah bagi orang yang mendengar azan adalah:

  • Diam ketika mendengar azan dan menjawabnya samada dalam keadaan bersih atau berhadas, junub atau haidh, besar atau mumayyiz. Kemudian perlu menjawab apa yang diucapkan oleh muazzin kecuali pada lafaz (“حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ”) dan (“حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ”).
  • Selawat kepada Nabi SAW dengan suara yang perlahan, kemudian memohon kepada Allah wasilah dan berdoa kepada-Nya selepas selesai azan dengan jarak yang tidak lama.
  • Berdoa untuk diri sendiri kerana waktu tersebut adalah waktu yang mulia, berkat dan mustajab. Disunatkan berdoa selepas azan dan sebelum iqamah. (Lihat al-Wasith, 1/82-83)

Imam al-Nawawi berkata: “Sunat menjawab azan ini berlaku bagi orang yang di atas taharah, bagi yang berhadas, orang junub, wanita haid, dan selain mereka, selagi mana tidak ada halangan untuk menjawabnya seperti sedang menunaikan hajat di tandas, sedang berhubungan intim dengan isterinya, atau sedang mengerjakan solat.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/309; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/125)

Penutup

Oleh kerana bilal diberi pahala kerana azannya itu, maka rahmat daripada Allah juga memberi pahala kepada orang yang menjawab azan. Sementelahan lagi mereka menyahut seruan azan tersebut untuk pergi melaksanakan solat berjemaah di masjid atau surau. Ini adalah sebahagian daripada pemurahnya Islam ini bagi memberi pahala kepada umatnya. 

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply