Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah seseorang itu tetap dituntut untuk melaungkan azan sekalipun dia bersendirian tanpa jemaah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, azan merupakan salah satu dari syiar agama Islam yang bertujuan untuk memberitahu bahawa telah masuknya waktu bagi solat-solat fardhu. Demikian juga iqamah dilaungkan dengan tujuan untuk memberitahu bahawa solat akan didirikan. Azan disyariatkan apabila masuk sahaja waktu solat seperti yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin al-Huwairith R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ
Maksudnya: “Maka apabila waktu solat telah masuk, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan.”
Riwayat al-Bukhari (628)
Syeikh Abdullah bin Hamid menyatakan, para fuqaha telah bersepakat mengenai pensyariatan azan dan iqamah secara umumnya, dan kedua-duanya termasuk dalam syiar zahir bagi agama Islam. Kalaulah penduduk suatu tempat bersepakat untuk meninggalkan kedua-duanya, maka mereka hendaklah diperangi. Sesungguhnya telah dinukilkan ijma‘ ulama ke atas perkara tersebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Qurtubi, Imam al-Nawawi dan lain-lain. (Lihat Ikhtiyarat al-Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’uhu al-Fiqhiyyah, 1/244).
Hal ini adalah sepertimana dinyatakan dalam al-Majmu‘ bahawa azan dan iqamah disyariatkan bagi solat fardhu lima waktu berdasarkan nas-nas yang sahih dan ijma‘. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/83). Begitu juga menurut Ibn Qudamah, umat telah bersepakat mengenai azan disyariatkan bagi solat fardhu lima waktu. (Lihat al-Mughni, 2/56).
Seterusnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum azan dan iqamah secara umumnya kepada tiga pendapat:
Pendapat pertama, azan dan iqamah adalah sunat muakkad. Ini adalah pendapat yang kuat (rajih) di sisi ulama mazhab Hanafi, salah satu pendapat bagi sebahagian ulama mazhab Maliki, pendapat yang paling sahih (asah) di sisi ulama mazhab Syafi‘i dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 1/146-147; Fath al-Qadir, 1/240; Mawahib al-Jalil, 1/422-423; al-Fawakih al-Dawani, 1/171; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/88, 3/90; Mughni al-Muhtaj, 1/317; al-Mughni, 1/250, 2/72).
Pendapat kedua, azan dan iqamah fardhu kifayah. Ini merupakan pendapat sebahagian ulama mazhab Hanafi dan ulama mazhab Maliki pada masjid al-Jama‘at, salah satu pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i, dan pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab hanbali bagi orang yang tidak bermusafir. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 1/147; Mawahib al-Jalil, 1/422; al-Taj wa al-Iklil, 2/68; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/88; Kassyaf al-Qina‘, 1/232).
Pendapat ketiga, azan dan iqamah fardhu kifayah bagi solat Jumaat dan sunat bagi selainnya. Ini merupakan salah satu pendapat ulama mazhab Syafi‘i, dan salah satu pendapat bagi sebahagian ulama mazhab Hanbali. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/88; al-Insaf, 1/407).
Setiap daripada pendapat-pendapat ini terdapatnya dalil-dalil yang dikemukakan bagi menguatkannya. Akan tetapi kami fokuskan perbincangan ini pada soalan yang diajukan iaitu hukum azan dan iqamah pada hak orang yang mendirikan solat secara sendirian. Adapun mereka yang berpendapat azan dan iqamah secara umumnya adalah sunat muakkad, maka adalah lebih utama untuk ia turut dihukumkan sebagai sunat muakkad pada hak orang yang mendirikan solat secara sendirian.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara ringkasnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum azan dan iqamah pada hak orang yang mendirikan solat secara bersendirian kepada dua pendapat:
Pendapat pertama, azan dan iqamah adalah tidak diwajibkan. Ini merupakan pendapat jumhur ulama daripada kalangan Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi‘iyyah dan Hanabilah. (Lihat al-Mabsut, 1/133; Badai‘ al-Sanai‘, 1/152; Mawahib al-Jalil, 1/451; al-Taj wa al-Iklil, 1/421; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/93; al-Insaf, 1/408; al-Mughni, 2/74).
Di antara dalilnya adalah hadith Abu Hurairah R.A mengenai al-Rajul al-Musi’ Solatahu (الرجل المسئ صلاته), di mana Nabi SAW bersabda kepadanya:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا
Maksudnya: “Apabila kamu hendak mendirikan solat hendaklah kamu mengucapkan takbir kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu daripada al-Quran, kemudian rukuk hingga (ada) tamakninah pada rukuk itu. Kemudian bangkitlah daripada rukuk hingga iktidal berdiri lurus (ada tamakninah), kemudian hendaklah kamu sujud hingga (ada) tamakninah pada sujud itu, kemudian kamu bangkitlah daripada sujud hingga (ada) tamakninah duduk antara dua sujud. Kamu buatlah demikian dalam setiap solat kamu.”
Riwayat al-Bukhari (757)
Dalam hadith di atas, Nabi SAW memerintahkan (mengajarkan) kepada orang tersebut dengan rukun-rukun solat dan perkara-perkara wajibnya, serta tidak menyebutkan kepadanya mengenai azan dan iqamah. Justeru, ini menunjukkan bahawa kedua-duanya tidak diwajibkan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/89; al-Mughni, 2/74).
Selain itu, diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa beliau solat bersama ‘Alqamah dan al-Aswad tanpa azan dan iqamah (sebelumnya). Beliau berkata: “Memadai buat kita azan setempat dan iqamat mereka.” (Lihat al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi, 1/406).
Tambahan lagi, laungan azan adalah untuk memberitahu kepada orang ramai (tentang waktu solat sudah masuk) sehinggalah mereka berkumpul (bagi mendirikan solat secara berjemaah), dan perkara itu tidak wujud di sini pada hak orang yang solat sendirian. (Lihat al-Mabsut, 1/133).
Pendapat kedua, azan dan iqamah adalah diwajibkan. Ini merupakan salah satu riwayat di sisi Hanabilah dan pendapat yang diriwayatkan daripada ‘Ata’. (Lihat al-Insaf, 1/408; Fath al-Bari, 2/111).
Di antara dalilnya adalah hadith Malik bin al-Huwairith bahawa Nabi SAW bersabda:
فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ أَحَدُكُمْ، وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْثَرُكُمْ قُرْآنًا
Maksudnya: “Apabila tiba waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan kamu ialah seorang yang paling banyak (menghafal) al-Quran hendaklah mengimami kamu.”
Riwayat al-Bukhari (4302)
Dalam hadith di atas, Nabi SAW memerintahkan untuk azan dan suatu perintah menunjukkan bahawa ia adalah wajib. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/134; al-Mughni, 2/72).
Begitu juga terdapat riwayat daripada ‘Ata’ bahawasanya dia berkata: “Aku masuk bersama Ali bin al-Husain menemui Jabir bin Abdullah, lalu waktu solat telah masuk. Maka dia melaungkan azan dan iqamah (sebelum solat). (Lihat Musannaf Ibn Abi Syaibah, 1/199; al-Ausat oleh Ibn al-Munzir, 3/60).
Syeikh Abdullah bin Hamid ketika syarahan beliau terhadap teks dalam al-Raudh al-Murbi‘ menyatakan: Adapun seorang lelaki yang bersendirian, hendaklah dia melaungkan azan sekalipun seorang diri. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith ‘Uqbah bin ‘Amir, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
يَعْجَبُ رَبُّكَ مِنْ رَاعِي غَنَمٍ فِي رَأْسِ شَظِيَّةِ الْجَبَلِ يُؤَذِّنُ بِالصَّلاَةِ وَيُصَلِّي فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: انْظُرُوا إِلَى عَبْدِي هَذَا يُؤَذِّنُ وَيُقِيمُ الصَّلاَةَ يَخَافُ مِنِّي قَدْ غَفَرْتُ لِعَبْدِي وَأَدْخَلْتُهُ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Tuhanmu kagum (redha) kepada seorang penggembala kambing yang berada tinggi di atas gunung yang mengumandangkan azan untuk solat lalu dia mendirikan solat. Allah Azza wa Jalla berfirman: ‘Lihatlah hamba-Ku ini, dia mengumandangkan azan dan mendirikan solat kerana takut kepada-Ku. Sesungguhnya Aku telah mengampuni hamba-Ku dan memasukkannya ke dalam syurga.’”
Riwayat al-Nasa’i (666); Abu Daud (1203) dan Ahmad (17442) dengan sedikit perbezaan lafaz.
Syeikh Abdullah bin Hamid menyatakan lafaz “يَعْجَبُ رَبُّكَ” dalam hadith di atas menunjukkan kepada keutamaan dan kelebihan melaungkan azan bagi orang yang solat sendirian. Adapun berkenaan kami tidak mewajibkan ke atasnya, hadith ini, meskipun menunjukkan kepada besarnya pahala bagi orang yang solat bersendirian yang melaungkan azan bahkan Allah mengagumi tindakannya ini kerana dia berdiri melaungkan azan. Tidaklah dia berdiri untuk melakukannya melainkan terdapatnya kekuatan iman dalam hatinya. Begitu juga kerana dia tidak melihat sesiapapun dan tidak ada orang yang hadir kepadanya (untuk solat bersama). Namun, dia tetap memelihara waktu, apabila masuknya waktu solat, dia bangun secara bersendirian, lalu melaungkan azan, kemudian iqamat dan mendirikan solat. Allah mengagumi perbuatan orang lelaki ini, yang berada di atas puncak gunung ketika menggembala kambing, tetapi tetap tekun mendirikan solat dengan memelihara azan dan iqamat. Justeru, ini menunjukkan kepada pensyariatan azan kepada orang yang solat secara sendirian. Manakala pendapat yang menyatakan bahawa tidak wajib ke atasnya memerlukan kepada dalil dan tidak ada dalil yang menggugurkan kewajipan azan daripadanya. Oleh itu, lebih utama untuk dia melakukannya. Apa yang dituntut ialah dia melaungkan azan sebagai menzahirkan syiar-syiar Islam dan untuk mendapatkan keutamaan dan kelebihan yang terkait dengannya. (Lihat Ikhtiyarat al-Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’uhu al-Fiqhiyyah, 1/243).
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa azan dan iqamah bagi orang yang mendirikan solat fardhu secara sendirian juga adalah sunat muakkad dan bukannya wajib sebagaimana halnya solat fardhu secara berjemaah. Bahkan jika orang yang solat secara sendirian itu dapat melaungkan azan sebelum solat sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf, maka itu adalah lebih baik dan utama.
Begitu juga meninggalkan azan dan iqamah sebelum mendirikan solat fardhu, hukumnya adalah makruh kerana meninggalkan perkara yang sunat dan terlepas daripada mendapatkan fadhilat dan kelebihan-kelebihannya. Akan tetapi solatnya yang didirikan tetap sah. Adapun bagi solat-solat sunat, tidak disyariatkan azan dan iqamah padanya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Akhir kalam, kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H