Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada yang mengatakan bahawa sunat untuk melakukan solat Istikharah sebelum tidur. Apakah benar adanya pengkhususan waktu untuk melakukan solat Istikharah ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ibn Manzur menyebutkan, asal bagi perkataan istikharah ialah daripada perkataan khair (خَيْرٌ) yang membawa makna kebaikan. Istikharah (اسْتِخَارَةٌ) membawa makna memohon pilihan. (Lihat Lisan al-Arab, 4/266)

Istikharah merupakan satu cara untuk memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapi. Ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya: 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الِاسْتِخَارَةَ فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآنِ يَقُولُ: إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالْأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ. 

ثُمَّ لِيَقُلِ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ. قَالَ: وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah  mengajar  kami  bagaimana membuat pilihan (beristikharah) yang terbaik dalam semua perkara seperti mengajar satu surah dalam al-Quran. Baginda bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu ingin melakukan sesuatu perkara, maka kerjakanlah solat dua rakaat iaitu selain daripada solat fardhu. 

Kemudian hendaklah dia berdoa: ‘Ya Allah, aku memohon pilihan yang terbaik daripada-Mu menurut ilmu-Mu. Aku juga mohon takdir yang terbaik menurut takdir-Mu. Aku mohon limpah kurnia-Mu yang agung, kerana hanya Engkau sahaja yang mentakdirkan bukan aku yang mentakdirkan. Hanya Engkau sahaja yang tahu dan aku tidak tahu. Hanya Engkau sahaja yang mengetahui ilmu ghaib. Ya Allah, jika Engkau tahu perkara ini baik untuk  diriku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau baginda bersabda; Untuk urusanku di dunia dan akhirat, takdirkanlah ia untukku kemudian berkatilah aku dalam urusan ini. Jika Engkau tahu perkara ini tidak baik untukku, untuk agamaku, untuk hidupku dan untuk matiku’, atau Baginda bersabda: ‘Untuk urusanku di dunia dan akhiratku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah diriku daripadanya. Takdirkanlah diriku beroleh kebaikan yang sepatutnya kemudian buatkanlah diriku redha dengannya.’ Kemudian Baginda bersabda: Seterusnya nyatakanlah hajatnya.”

Riwayat al-Bukhari (1162)

Al-Bujairimi meyebutkan bahawa, solat Istikharah tidak dilakukan untuk membuat pilihan pada perkara-perkara yang wajib dan sunat atau haram dan makruh, akan tetapi ia hanya untuk perkara harus apabila  terdapat 2 pilihan yang bertentangan antara satu sama lain, mana satu yang perlu didahulukan. (Lihat Tuhfah al-Habib, 1/428)

Berdasarkan hadith di atas, dapat difahami bahawa solat Istikharah itu dilakukan kerana  adanya hajat yang khusus dan mempunyai ciri-ciri yang berikut:

  • Istikharah bertujuan agar dikurniakan petunjuk oleh Allah SWT untuk memulakan sesuatu tindakan yang memerlukan pilihan terbaik. Dan tidak ada yang lebih tahu apa yang terbaik bagi dirinya melainkan Allah SWT.
  • Istikharah dimulai dengan solat sunat 2 rakaat, kemudian diikuti dengan bacaan doa seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, dan diakhiri dengan menyatakan hajat yang diinginkan.
  • Selepas melakukan solat Istikharah, barulah seseorang itu melakukan pilihan berdasarkan apa yang dia rancang dan pada pengamatannya lebih sesuai, dan ianya disertakan dengan tawakkal kepada Allah SWT.

Berkenaan dengan waktu khusus untuk melakukan solat Istikharah, kami tidak menjumpai mana-mana dalil yang disebutkan oleh syara‘. Maka dibolehkan untuk melakukan solat Istikharah pada bila-bila masa, kecuali pada waktu-waktu yang dilarang untuk solat. 

al-Bujairimi menyebutkan, solat Istikharah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa melainkan pada waktu yang dilarang untuk solat. Hal ini kerana solat ini terikat dengan sebab selepasnya. (Lihat Tuhfah al-Habib, 1/428) 

Antara dalil bahawa solat ini tidak mempunyai waktu khusus adalah berdasarkan lafaz hadith Istikharah yang telah kami bawakan. Rasulullah SAW mengajarkan para sahabatnya untuk melakukan Istikharah apabila ingin melakukan sesuatu perkara, tanpa mengkhususkan Istikharah tersebut pada waktu tertentu. Hal ini kerana hajat seseorang itu tidak datang pada waktu tertentu, bahkan ia boleh datang pada bila-bila masa.

Berdoa dan Minta Pada Waktu Mustajab

Yang lebih afdhal bagi seseorang yang mempunyai hajat untuk meminta pada waktu-waktu yang dimustajabkan berdoa. Antaranya:

Pada satu pertiga akhir malam, berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَىَ كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَىَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا. حِينَ يَبْقَىَ ثُلُثُ اللَّيْلِ الاَخِرُ، فَيَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرُ لَهُ

Maksudnya: “Tuhan kami (Allah) Tabaraka wa Ta‘ala pada setiap malam turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu pertiga malam. Maka Allah berfirman: ‘Siapakah yang sedang berdoa kepada aku supaya dapat aku menjawabnya dan siapakah yang sedang meminta daripada aku supaya aku dapat mengabulkannya dan siapakah yang sedang meminta ampun daripada aku supaya dapat aku ampuni dia?’.”

Riwayat al-Bukhari (1145) dan Muslim (758)

Pada hari Jumaat selepas asar sehinggalah terbenamnya matahari, berdasarkan riwayat daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah SWT akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas asar.”

Riwayat Ahmad, (7688). Hadith ini adalah sahih dengan syawahidnya dan sanad hadith ini adalah dhaif menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth.

Diriwayatkan juga daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَوْمُ الْجُمُعَةِ اثْنَتَا عَشْرَةَ سَاعَةً، لَا يُوجَدُ فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا إِلَّا آتَاهُ إِيَّاهُ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Hari Jumaat mempunyai 12 jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas asar.”

 Riwayat al-Nasa’ie (1389)

Apabila terjaga dari tidur pada malam hari, berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ubadah bin al-Samit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَعَارَّ مِنَ اللَّيْلِ فَقَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ‏.‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ‏.‏ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي‏، أَوْ دَعَا اسْتُجِيبَ، فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang terbangun dari tidurnya pada malam hari, kemudian dia mengucapkan, ‘Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian, dan Dia berkuasa membuat segala sesuatu, segala puji bagi Allah, maha suci Allah, tiada tuhan selain Allah, Allah Maha Besar, Tiada daya mahupun tenaga kecuali dengan Allah.’ Kemudian dia berkata: ‘Ya Allah, ampunilah aku’ atau dia memanjatkan doa, maka akan dikabulkan. Kemudian jika dia berwudhu’ lalu mendirikan solat, solatnya tersebut akan diterima (di sisi Allah).”

Riwayat al-Bukhari (1154)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, kami katakan bahawa tidak dijumpai apa-apa asas yang menggalakkan solat Istikharah sebelum tidur atau mana-mana waktu khusus. Hal ini mungkin timbul kerana salah faham sebahagian pihak yang mengatakan jawapan kepada Istikharah kita itu hanya melalui mimpi. Isu ini telah kami bahaskan, boleh rujuk perinciannya di (411: Jawapan Istikharah Melalui Mimpi).

Sebaliknya, jawapan kepada Istikharah itu apabila semua urusan kita dipermudahkan dan dilancarkan oleh Allah SWT. Sekiranya perkara itu baik baginya, maka Allah SWT akan mempermudah jalan untuk mencapai perkara tersebut. Sebaliknya, jika rancangan itu bukanlah yang terbaik baginya, maka Allah SWT pasti akan menggantikan baginya sesuatu yang lebih baik, kerana Dia jua lah sebaik-baik perancang dan penentu.

Fiqh berdoa juga amatlah luas, dan kita digalakkan untuk perbanyakkan berdoa pada waktu-waktu mustajab agar hajat kita diterima oleh Allah SWT. Maka perbanyakkanlah berdoa pada waktu mustajab yang telah kami sebutkan, moga ia menjadi asbab hajat kita diterima dan dipermudahkan segala urusan kita. Amin.

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H

Leave a Reply