#2611: Ruqyah Menggunakan Air Dan Diminum Daripadanya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Saya ingin bertanya, adalah dibolehkan untuk ruqyah dengan menggunakan air  yang dibacakan zikir-zikir kemudian diminum air tersebut ?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya,”

(Surah al-Isra’: 82)

Qatadah mentafsirkan firman Allah SWT: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat, dengan berkata: Firman Allah SWT ini didengar oleh orang yang beriman, lalu mereka dapat mengambil manfaat daripadanya, bahkan menghafal dan memerhatikannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4014)

Imam al-Nawawi berkata: Sunat membaca kepada orang yang sakit dengan al-Fatihah berdasarkan hadith yang diriwayatkan Abi Sa’id al-Khudri bahawa  Nabi SAW:

وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ؟

Maksudnya: “Tidakkah kamu ketahui bahawa surah Fatihah bersifat ruqyah.”

Riwayat al-Bukhari (5736) dan Muslim (2201)

Menjawab bagi persoalan di atas kami kitakan dibolehkan untuk meruqyah dengan menggunakan air dan dibaca padanya ayat-ayat suci al-quran kemudian diminium selagimana perbuatan tersebut tidak di tokok tambahkan dengan perbuatan-perbuatan syirik dan munkar. Ini sebagaimana umum hadith yang telah diriwayatkan daripada Auf Bin Malik al-Asyjai’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إعرِضوا عليَّ رُقاكم، لا بأس بالرُّقى ما لم يكن فيه شركٌ.

Maksudnya: Perlihatkanlah jampi kalian kepadaku, tidak mengapa degan jampi selagimana ia bukan dari  perbuatan syirik.”

Riwayat Muslim(220)

Hadith ini menunjukkan kepada kita keharusan ruqyah dalam merawat segala jenis penyakit ,seperti  luka,bisul,gigitan serangga, penyakit ain dan sebagainya sekiranya ruqyah tersebut difahami dan tidak mengandungi sebarang bentuk syirik serta perkara-perkara yang terlarang. Cara yang terbaik dan berkesan adalah ruqyah dengan menggunakan nama allah SWT dan kalamNya serta kalam Rasulullah SAW. (Lihat  Kaukab al-Wahhaj Syarah Sahih Muslim, 22/212)  

Begitu juga sebagaimana yang dikisahkan daripada hadith yang diriwayatkan daripada Thabit Bin Qais Bin Syammas masuk menemuinya yang sedang sakit kemudian Baginda berdoa:

اكشِفِ البأسَ ربَّ النّاسِ عن ثابتِ بنِ قيسِ بنِ الشَّمّاسِ ثمَّ أخَذ تُرابًا مِن بُطحانَ فجعَله في قَدَحٍ فيه ماءٌ فصبَّه عليه

Maksudnya: Hilangkanlah penyakit wahai tuhan manusia daipada Thabit Bin Qais Bin Shammas kemudian baginda mengambil tanah dari Bathhan dan memasukkannya dalam gelas yang terisi air lalu menuangkan ke atasnya.”

Riwayat Ibnu Hibban(6069)

Ibn Baz dalam isu ini beliau menyatakan: Tidak ada masalah dalam meruqyah dengan membaca ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa) dalam air, kemudian air itu diminum oleh orang yang sakit, atau dia mandi dengan air tersebut. Semua itu tidak ada masalah. Ruqyah dapat dilakukan dengan meniupkan nafas ke atas orang yang sakit, atau dapat dilakukan dalam air yang diminum oleh orang yang sakit, atau digunakan untuk mandi. Semua itu tidak ada masalah padanya.[1]

Salih bin Imam Ahmad berkata: “Kadang-kadang aku jatuh sakit, kemudian ayahku mengambil bekas berisi air, lalu membacakan ayat-ayat Al-Quran padanya, sambil berkata kepadaku: ‘Minumlah daripadanya dan basuhlah muka dan tanganmu’. (Lihat Mu’jam al-Tauhid,241)

Justeru kami katakan menggunakan air yang diruqyahkan dan diminum dengan air tersebut adalah diharuskan dan ia merupakan salah satu cara untuk merawat penyakit yang diamalkan semenjak turun temurun. Suka juga untuk kami nasihati supaya meruqyah dengan ruqyah yang syari’e seperti membaca zikir-zikir mathur  dan ayat-ayat al-Quran.

Akhir kalam semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a’lam

[1] https://binbaz.org.sa/fatwas/16000 حكم-الرقية-على-ماء-وشربه-والاغتسال-به# 

Diakses pada 7 Ogos 2023  

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *