#2718: Mengucapkan In Syaa Allah (إن شاء الله) Selepas Doa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bilakah masa yang sesuai untuk mengucapkan In syaa Allah? Saya khuatir jika saya menggunakan perkataan tersebut pada waktu yang salah. Sebagai contoh, bolehkah menggunakan perkataan  In syaa Allah sebagai tambahan setelah mengatakan “Semoga Allah merahmati” atau “Semoga dia menutup aurat dengan sempurna” dan lain-lainnya. Hal ini kerana maksud perkataan  In syaa Allah tersebut sendiri ialah “Jika Allah mengizinkan,” dan Allah SWT sentiasa mahu yang terbaik untuk hamba-Nya. 

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah kisah tentang seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Itban bin Malik R.A, seorang lelaki Ansar yang pernah menyertai peperangan Badar. Dia menemui Rasulullah SAW seraya berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَدْ أَنْكَرْتُ بَصَرِي، وَأَنَا أُصَلِّي لِقَوْمِي، فَإِذَا كَانَتِ الأَمْطَارُ سَالَ الْوَادِي الَّذِي بَيْنِي وَبَيْنَهُمْ، لَمْ أَسْتَطِعْ أَنْ آتِيَ مَسْجِدَهُمْ فَأُصَلِّيَ بِهِمْ، وَوَدِدْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَّكَ تَأْتِينِي فَتُصَلِّيَ فِي بَيْتِي، فَأَتَّخِذَهُ مُصَلًّى‏

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, pandanganku sudah buruk sedangkan aku ini sering memimpin solat kaumku. Apabila turun hujan, maka air membanjiri lembah yang menghalangi antara aku dan mereka sehingga aku tidak mampu pergi ke masjid dan memimpin solat. Aku menginginkan engkau mengunjungi aku lalu solat di rumahku yang akan aku jadikan sebagai tempat solat.”

Kemudian, Rasulullah SAW menjawab:

سَأَفْعَلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Aku akan lakukan, jika Allah izinkan.”

Riwayat al-Bukhari (425)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa, disunatkan bagi seseorang itu apabila mengatakan “aku akan lakukannya”, dia menambahkan lafaz In Syaa Allah (إِنْ شَاءَ اللَّهُ) yang bermaksud “Jika Allah izinkan” sebagai bentuk mengambil keberkatan dan menuruti firman Allah SWT:

 وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَٰلِكَ غَدًا ‎﴿٢٣﴾‏ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ ۚ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): ‘Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti’. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): ‘In Syaa Allah’.”

(Surah al-Kahf: 23-24)

Bahkan terdapat banyak lagi contoh lain di dalam al-Quran 

Antaranya kisah Nabi Musa A.S yang mengatakan kepada temannya Nabi Khidir A.S ketika mereka musafir bersama, sepertimana yang dikisahkan dalam firman Allah SWT:

 قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا

Maksudnya: “Nabi Musa berkata: ‘Engkau akan dapati aku, In Syaa Allah, orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu’.”

(Surah al-Kahf: 69)

Ini juga sepertimana kisah Nabi Ismail A.S dengan Nabi Ibrahim A.S ketika Allah SWT memerintahkannya untuk menyembelih anaknya. Lalu disebutkan seperti dalam firman Allah SWT:

سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ 

Maksudnya: “(Nabi Ismail A.S berkata): ‘In Syaa Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar’.”

(Surah al-Saffat: 102)

Apabila diperhatikan dengan baik setiap penggunaan lafaz In Syaa Allah di dalam dalil-dalil di atas, lafaz ini digunakan dalam bentuk khabari (الخَبَرِيُّ), yakni menceritakan atau memberitahu sesuatu, dengan seseorang itu menyuarakan tekad untuk melakukan sesuatu di masa depan, atau mengharapkan terhasilnya sesuatu yang disebutkan itu. Lafaz ini juga mengandungi unsur adab yang tinggi terhadap Allah SWT supaya Dia menunaikan apa yang diharapkan. 

Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 23 dan 24 yang kami bawakan di atas. Imam Ibn Kathir menyebutkan di dalam tafsirnya, Allah SWT mengajarkan kepada Rasulullah SAW tentang adab apabila berazam untuk melakukan sesuatu pada masa depan, agar menyandarkan perkara tersebut kepada keizinan Allah SWT, yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib sama ada yang telah berlaku atau yang akan berlaku, apa yang tidak akan terjadi dan bagaimana sesuatu yang telah terjadi itu berlaku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/135)

Adapun menyebutkan In Syaa Allah selepas berdoa, sama ada untuk diri sendiri atau orang lain, seperti menyebut “Semoga Allah merahmati” atau “Semoga dia menutup aurat dengan sempurna” kemudian ditambahkan In Syaa Allah, maka ini tidak dibolehkan. Hal ini kerana telah thabit dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَقُولَنَّ أَحَدُكُمْ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ، اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ، لِيَعْزِمِ المَسْأَلَةَ، فَإِنَّهُ لاَ مُكْرِهَ لَهُ

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu berkata: Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunilah aku sekiranya Engkau mahu, Ya Allah Ya Tuhan kami, kasihanilah aku sekiranya Engkau mahu. Akan tetapi hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam meminta kerana sesungguhnya Allah sama sekali tidak ada yang memaksa.” 

Riwayat al-Bukhari (6339) dan Muslim (2679)

Imam Ibn Hajar al- ‘Asqalani mengatakan, hadith ini jelas menunjukkan kepada kita larangan berdoa dalam keadaan tidak yakin. Imam Ibn Abd al-Bar menyatakan tidak dibenarkan seseorang itu berdoa dengan lafaz tersebut dalam memohon kepada Allah berkaitan hal agama dan dunia dan itu termasuk di dalam ucapan yang mustahil. Adapun Imam al-Nawawi menyatakan hukum bagi orang yang berdoa sedemikian adalah makruh tanzih. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu perlu bersungguh-sungguh dalam berdoa serta dalam masa yang sama mengharapkan agar Allah SWT menerima doanya dan janganlah ada rasa putus asa dengan rahmat Allah kerana dia sedang berdoa dengan Yang Maha Pemurah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Batthal. (Lihat Fath al-Bari, 11/12)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan, kami katakan bahawa menyebutkan lafaz In Syaa Allah yang membawa maksud “jika Allah izinkan” adalah disunatkan sebagai bentuk adab dengan Allah SWT ketika menyuarakan tekad untuk melakukan sesuatu di masa depan, atau mengharapkan terhasilnya sesuatu yang disebutkan.

Adapun menyebutkan lafaz In Syaa Allah selepas berdoa, maka perbuatan ini tidak dibolehkan kerana terdapat larangan yang jelas daripada Rasulullah SAW. Bahkan sebaiknya apabila berdoa kita sertakan kepercayaan, tawakkal dan pengharapan kepada Allah SWT agar ianya diperkenankan.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah: 127)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *