Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum menggugurkan kandungan pada bulan pertama masa kehamilan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Anak-anak merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada sesiapa yang Dia kehendaki, sebagaimana yang difirmankan-Nya:

يَهَبُ لِمَنْ يَشَاء إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاء الذُّكُورَ

Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.”

(Surah al-Syura: 49)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/198)

Menggugurkan anak atau janin yang berada di dalam kandungan sebelum ia berusia empat bulan adalah termasuk dalam perkara yang diperselisihkan hukumnya di sisi para fuqaha. Majoriti ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Sebahagian lain mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Manakala sebahagian lain pula berpendapat bahawa hukumnya adalah harus sekiranya terdapat keuzuran. Kami cenderung kepada pendapat majoriti fuqaha berkenaan keharaman menggugurkan janin yang berusia kurang daripada empat bulan.

Berkenaan isu menggugurkan janin ini juga, kami ada menjawab dengan isu yang hampir sama sebelum ini dalam artikel:

  • #1700: Gugurkan Janin Kerana Miskin[1]
  • #344 Gugurkan Janin Sebab Sibuk Bekerja[2]

Berkenaan persoalan di atas, kami nukilkan juga kenyataan Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menyebut:

Menggugurkan kandungan pada masa awal bergantungnya nutfah di dalam rahim seorang wanita atau dari masa pertama kehamilannya adalah haram dan termasuk pembunuhan kerana jika dibiarkan, tentu janin tersebut akan menjadi seorang manusia.

Kecuali jika dalam keadaan yang sangat darurat seperti hasil pemeriksaan doktor yang menyatakan bahawa janin tidak dapat hidup disebabkan tidak sempurnanya pembentukan otaknya, atau disebabkan penyakit misalnya, atau kehamilan itu sendiri akan membahayakan nyawa si ibu.

Manakala dalam keadaan selain daripada itu, maka tidak boleh menggugurkan kandungan kerana pada saat janin memulakan pembentukannya, dia telah memiliki hak untuk hidup. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 43)

Penutup

Seperti yang mana kami tegaskan bahawa gugurkan kandungan semata-mata tanpa tujuan yang dibenarkan oleh syar’ie maka hukumnya adalah haram kerana menafikan hak untuk hidup bagi kanak-kanak dalam permulaan ciptaan Allah SWT tetapi jika sekiranya dengan sebab kesihatan atau sebab yang diizinkan oleh syarak jika masih dalam peringkat kurang daripada 4 bulan maka hukumnya adalah harus.

Walaupun begitu, keperluan melihat dan mendapat nasihat pakar yang thiqah lagi dipercayai perlulah diambil kira. Ingatlah, sesungguhnya anak itu adalah kurniaan Allah SWT yang amat berharga bagi pasangan suami isteri. Kadang-kadang kita tidak mengetahui amna yang boleh mmeberi manfaat kepada kita.

Benarlah firman Allah SWT:

 آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا ۚ

Maksudnya: “ lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu.

(Surah al-Nisa’: 11)

Akhir kalam, marilah kita berdoa semoga dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa

(Surah al-Furqan:74)

Wallahu a’lam

[1] https://maktabahalbakri.com/1701-gugurkan-janin-kerana-miskin/

[2] https://maktabahalbakri.com/344-gugurkan-janin-sebab-sibuk-bekerja/

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply