Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Burung kakak tua atau Cockatoo itu halal dimakan ataupun tidak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu burung kakak tua atau Cockatoo itu. Burung kakak tua atau cockatoo, (keluarga Cacatuidae), adalah salah satu daripada 21 spesies burung nuri berjambul (order Psittaciformes) yang terdapat di Australia serta di New Guinea dan Kepulauan Solomon. Kebanyakan berwarna putih dengan sentuhan merah atau kuning; ada juga yang berwarna hitam. Semua memiliki paruh yang besar dan berbentuk seperti pedang untuk memecahkan kacang, menggali akar, atau mengorek ulat dari kayu; pemakanan dibantu oleh lidah yang kuat. Burung kakak tua adalah burung pohon yang bersarang di lubang; kadang-kadang mereka membentuk kumpulan besar yang berisik.[1] Oleh kerana mereka menunjukkan penampilan yang menarik, kreatif, dan penyayang, banyak yang dipelihara sebagai haiwan kesayangan. Sesetengahnya boleh hidup lebih dari 50 tahun.

Kakaktua Jambul Kuning - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas

Gambar atas: Burung kakak tua Jambul Sulfur

Salah satu jenis yang sangat popular sebagai haiwan peliharaan ialah kakak tua Jambul Sulfur (Cacatua galerita), yang memiliki panjang sekitar 50 cm (20 inci) dengan jambul indah terdiri daripada bulu emas yang sempit, menekuk ke hadapan. Ini dan spesies Cacatua lainnya — ditemui di utara dan timur Australia, New Guinea, dan Tasmania — kebanyakan berwarna putih. Burung-burung sosial yang tinggi, kakak tua Jambul Sulfur mencari makan dalam kumpulan yang beranggotakan dari puluhan hingga 100 ekor dan berkumpul pada waktu malam di tempat-tempat bersarang yang tetap, sering kali di pokok-pokok berdekatan dengan air. Semasa kumpulan sedang makan, beberapa individu akan berdiri sebagai penjaga di pokok-pokok berdekatan untuk memberi amaran kepada yang lain tentang bahaya dengan panggilan berisik. Burung cockatiel (Nymphicus hollandicus) adalah burung kayak tua lain yang popular sebagai burung dalam sangkar. Ia adalah burung biasa yang hidup di sebahagian besar Australia.

Gambar Burung Nuri Dengan Bulu Kuning Dan Putih Duduk Di Atas Sangkar, Cockatiel Betina, Gambar Fotografi Hd, Burung Latar belakang untuk Muat turun Percuma

Gambar atas: Burung cockatiel betina

Spesies burung kakak tua yang paling meluas dan banyak ialah galah (Eolophus roseicapillus) dengan panjang sekitar 35 cm (14 inci). Ia berwarna merah jambu dengan sayap kelabu dan terbang melalui langit Australia dalam kumpulan yang bising dan suka berkumpul. Galah, juga dikenali sebagai burung kakak tua merah jambu, berpasangan sepanjang hayat dan mempertahankan lubang sarang bersama-sama daripada penceroboh. Mereka juga bekerjasama dalam mengeram dan memberi makan kepada anak-anak mereka yang berjumlah dua hingga enam ekor. Galah yang baru sahaja mula terbang akan berkumpul di taman pokok atas hingga 100 ekor, menunggu kembalinya ibu bapa mereka dengan makanan—rumput, pucuk, buah, dan serangga.

Galah - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas

Gambar atas: Burung galah

Burung kakak tua Mejar Mitchell (C. leadbeateri) dengan panjang sekitar 38 cm (15 inci), yang mendiami sebahagian besar kawasan dalaman Australia, juga berwarna merah jambu, dengan jalur kuning dan merah yang melintasi bulu kuncirnya yang menyapu ke depan. Ia antara yang paling cantik di kalangan kakatua dan yang paling sukar untuk dilatih.

9 Fakta Menarik Mayor Mitchell, Kakaktua Tercantik di Dunia

Gambar atas: Kakak Tua Mejar Mitchell

Kakak tua terbesar dan dengan paruh terbesar di kalangan burung psittaciform ialah kakak tua jenis palma, atau kakak tua hitam besar (Probosciger aterrimus), berukuran 65 hingga 75 cm (kira-kira 25 hingga 30 inci) panjang. Burung yang suka bersendirian ini hidup di timur laut Australia, New Guinea, dan Kepulauan Aru dan ia mempunyai jambul erektil seperti benang. Ia mempunyai panggilan seperti wisel yang menusuk telinga, dan bagi yang jantan, burung ini akan menggenggam kayu dengan kakinya dan mengetuk batang pokok untuk menghasilkan bunyi gendang yang kuat. Seperti kebanyakan burung kakak tua, ia diancam oleh perdagangan burung sangkar haram.[2]

5 Jenis Burung KakaTua - niadi.net

Gambar atas: Kakak Tua Palma

Hukum memakan burung kakak tua

Pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam bahasa Arab burung kakak tua dipanggil sebagai babgha’ (بَبْغَاءٌ) atau babbagha’ (البَبَّغَاءُ),[3] dan Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi berpendapat, ia adalah haram untuk dimakan. (Lihat Kamus Idris al-Marbawi, 1/39).

Ini adalah sebagaimana pendapat ulama mazhab Syafi‘i bahawa pendapat yang paling sahih (asah) ialah haram untuk memakan burung kakak tua. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa pada burung kakak tua dan burung merak terdapat dua pendapat (dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i). Al-Baghawi dan selainnya menyatakan, pendapat yang paling sahih antara kedua pendapat itu ialah haram memakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/21).

Begitu juga al-Damiri turut menyatakan, diharamkan untuk memakan burung kakak tua mengikut pendapat yang paling sahih pada al-Rafi‘i dan beliau menukilkannya dalam al-Bahr daripada al-Saimari serta bersetuju dengannya. Beliau menyatakan bahawa sebab ia haram dimakan kerana kejijikan dagingnya.

Namun, ada yang berpendapat (iaitu pendapat kedua dalam mazhab Syafi‘i) bahawa ia adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana ia hanya memakan benda-benda yang baik, tidak termasuk dalam jenis haiwan beracun, bukan daripada jenis burung yang memiliki kuku mencengkam (yang memburu makanan dengannya) dan tidak terdapat perintah untuk membunuhnya mahupun larangan daripada membunuhnya. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/383-384).

Taqiyuddin al-Subki ada menjelaskan lagi bahawa tidak ada dalil bagi orang yang berpendapat burung kakak tua dan burung merak haram (dimakan) melainkan orang Arab dahulu menganggapnya sebagai jijik dan kotor (istikhbath). Secara zahirnya, perkara itu telah menguatkan lagi pendapat orang yang mengharamkannya iaitu al-Baghawi dan juga dinukilkan daripada selainnya. (Lihat Qadha’ al-Arab fi As’ilah Halab, hlm. 519).

Namun, al-Mardawi al-Hanbali menyebutkan, termasuk dalam perkataan pengarang: “Seluruh burung,” burung merak, dan ia adalah harus (untuk dimakan) tanpa diketahui adanya khilaf mengenainya. Selain itu, turut termasuk di dalamnya burung kakak tua dan ia juga adalah harus (untuk dimakan). Beliau menjelaskan perkara itu dalam al-Ri‘ayah. (Lihat al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 27/226).

Selain itu, al-Buhuti pula dalam al-Raudh al-Murbi‘ (7/430) menyebutkan, ia menyerupai haiwan-haiwan yang halal dimakan (dagingnya) seperti zirafah dan yarbu‘ (jerboa), begitu juga burung merak dan burung kakak tua. Kemudian, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin memberi komentar ke atas kenyataan tersebut dengan menyatakan, kesemua haiwan ini adalah halal (untuk dimakan) berdasarkan kepada hukum asalnya. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/33).

Begitu juga al-Buhuti dalam al-Raudh al-Murbi‘ (7/429) selepas menyebutkan mengenai kehalalan burung merak dan burung kakak tua menyatakan, ini kerana perkara tersebut dianggap sebagai makanan yang baik-baik. Maka ia termasuk dalam keumuman firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ

Maksudnya: “Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa permasalahan burung kakak tua ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama. Kami lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa ia adalah halal untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Kaedah fiqh menyatakan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Apatah lagi ia juga bukanlah burung yang memiliki kuku mencengkam yang digunakan untuk memburu haiwan sebagai makanan. Larangan untuk memakan burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam (yang digunakan untuk memburu) adalah jelas melalui riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)

Selain itu juga mereka yang berpendapat ia adalah halal untuk dimakan menyatakan alasannya adalah kerana ia hanya memakan benda-benda yang baik, tidak termasuk dalam jenis haiwan beracun, bukan daripada jenis burung yang memiliki kuku mencengkam (yang memburu makanan dengannya) dan tidak terdapat perintah untuk membunuhnya mahupun larangan daripada membunuhnya.

Walaupun begitu, kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia, apakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburunya kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Jika tiada, maka dibolehkan untuk mendapatkan dan makan burung tersebut.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

[1] Berisik ialah bising dan riuh. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=berisik. Diakses pada 16 Ogos 2023).

[2] Lihat https://www.britannica.com/animal/cockatoo. Diakses pada 16 Ogos 2023.

[3] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/380.

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445

Leave a Reply